Isnin, 3 Januari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Pentas terbuka bertemu peminat

Posted:

Pentas terbuka bertemu peminat

Pentas terbuka bertemu peminat

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan SOFIATUL SHIMA WAN CHIK



MOHD. ARIF KENDUT mengambil tempat di atas pentas, tangannya leka membetulkan kedudukan kaki mikrofon di hadapannya.

Mata lelaki berkumis tebal itu melirik ke belakang pentas. Beberapa ahli kumpulannya, Julian Mokhtar, Ghani Abu Talin, Jim Madasamy, Shaik Karim tampak sudah bersedia dengan peralatan muzik masing-masing, mereka hanya menunggu isyarat daripadanya.

Kira-kira 10,000 hingga 15,000 penonton sudah mula bersesak-sesak di kawasan sekitar pentas utama. Ada penonton yang telah tiba sejak tengah hari, biarpun persembahan hanya bermula sekitar pukul 4 petang.

Mohd. Arif atau lebih popular dengan panggilan Ito berasa terharu dan bangga. Bukan mudah sebuah kumpulan muzik baru seperti Blues Gang, mampu menghimpunkan penonton seramai itu.

Ini peluang terbaik kumpulan itu jika mahu membuktikan kebolehan mereka bermain muzik di samping menghiburkan ribuan penonton yang hadir.

Satu-persatu lagu bahasa Inggeris yang dipetik daripada album pertama, Another Time Any Day mula berkumandang di corong pembesar suara. Gabungan suara 'jantan' Ito berjaya menggegarkan kawasan Panggung Anniversari yang terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu.

Peminat-peminat kumpulan itu nyata terpesona dengan irama blues yang didendangkan. Bait-bait lirik lagu Don't You Hide, Parasit People, Another Time Any Day seakan-akan meniti di bibir mereka.

Bagi Ito, biarpun ia hanyalah konsert percuma, namun dia tetap berpuas hati dengan sambutan hangat yang diberikan. Lagi pun, irama berentak blues masih baru dan jarang sekali menjadi genre pilihan penyanyi ketika itu.


GABUNGAN elemen moden dan futuristik menyerlahkan kehebatan Panggung Anniversari.


Populariti Blues Gang

Tambah Ito, ketika di awal kemunculan Blues Gang sekitar tahun 1976, acara berbentuk hiburan agak terhad di negara ini.

"Dulu selain radio dan televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), pentas terbuka merupakan platform terbaik untuk bertemu peminat sambil mempromosikan lagu dan album baru.

"Lebih-lebih lagi di sekitar Kuala Lumpur, ketika itu hanya Panggung Anniversari sahaja yang wujud. Tidak hairanlah ia sentiasa dibanjiri warga kota yang dahagakan hiburan santai pada hujung minggu," katanya mengimbau nostalgia ketika itu.

Lelaki berusia 59 tahun itu tidak berasa janggal memberitahu bahawa populariti Blues Gang yang kini berusia lebih tiga dekad bermula di panggung itu.

Katanya, kumpulan itu sering dijemput mengadakan persembahan bersama beberapa kumpulan lain yang popular pada akhir 70-an dan awal 80-an seperti Sweet Charity dan Carefree.

"Boleh dikatakan, setiap kali Blues Gang mengadakan persembahan terutama membabitkan lagu-lagu popular seperti Apo Nak Dikato, Mak Siti, Khatulistiwa dan sebagainya, kawasan sekitar panggung ini akan penuh sesak sehingga terpaksa dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Hanya selepas kehadiran Dataran Merdeka dan dan beberapa pentas terbuka seperti Taman Tasik Titiwangsa suasananya tidak lagi meriah berbanding sebelumnya," ujarnya yang kali terakhir membuat persembahan sekitar sembilan tahun lalu.

Mengikut sejarah, Panggung Anniversari dibina bersempena sambutan ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara pada 1967.

Kos pembinaannya telah disumbangkan oleh syarikat Tembakau Malaya, Shell Berhad dan Dunlop.

Bagaimanapun, pentas yang pernah melahirkan bintang hiburan pada era 1970-an dan awal 1980-an itu kemudian seolah-olah ditinggalkan apabila banyak pentas lain muncul yang menawarkan hiburan percuma sekitar pertengahan 1980-an.


PADA zaman kegemilangannya, Panggung Anniversari sentiasa dibanjiri warga kota yang mahu menikmati hiburan percuma.


Kesuraman Panggung Anniversari

Sejak itu, panggung itu terus suram dan bersendirian di tengah-tengah tasik yang indah.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan perubahan drastik yang membabitkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit terhadap panggung berusia 43 tahun itu sejak empat tahun lalu.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, kerja-kerja menaiktaraf telah pun selesai dan dijangka dibuka sepenuhnya pada tahun hadapan.

Mengaplikasikan konsep 'burung', Salleh memberitahu, seni bina moden dan futuristik pada bangunan itu bakal menjadi tarikan baru kepada warga kota.

Antara perubahan yang paling ketara, jelasnya, ialah pemasangan bumbung teflon di kawasan amfiteater bagi memastikan penonton dapat menikmati persembahan walaupun dalam keadaan hujan.

Kawasan pentas utama juga diperbesarkan serta dilengkapi sistem bunyi dan cahaya yang sesuai digunakan pada waktu malam.

"Selain itu, panggung itu juga mengandungi ruang niaga, kafe, bilik orang kenamaan serta kemudahan awam seperti tandas, surau, bilik utiliti, laluan pejalan kaki dan ruang tempat kereta," katanya yang berharap panggung itu dapat menjadi tarikan baru kepada pengunjung dan pelancong ke Kuala Lumpur.

Bagi pemilik nama Ahmad Azhar Othman atau lebih popular dengan panggilan Awie, vokalis utama kumpulan Wings berkata, panggung itu banyak menyimpan sejarah dan perjalanan dirinya dalam bidang seni.

Jelas Awie, dia pernah bekerja selama dua bulan sebagai krew teknikal di bawah syarikat Do Re Mi Sound and Light ketika berusia 17 tahun.

Dalam tempoh itu, dia banyak terdedah mengenai dunia hiburan tempatan kerana pernah bekerja dengan beberapa artis seperti Yazid Search, kumpulan Bloodsheed, Lefthanded, Sweet Charity dan Ella and the Boys.

Anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, panggung itu sememangnya sinonim di kalangan warga kota yang mahu menikmati hiburan secara percuma pada hujung minggu.

"Saya selalu menyaksikan persembahan yang diadakan, antara yang terus diingati sehingga kini ialah menonton persembahan artis antarabangsa berasal dari Jepun, Kitaro," katanya yang kini mencecah usia 42 tahun.

Satu kenangan lucu yang tidak dapat dilupakan oleh Awie semasa bekerja di panggung itu ialah dia pernah cuba mengurat kakak penyanyi Ella, Jojie.

"Biasalah jiwa muda la katakan, walaupun tidak menjadi kekasih saya namun kami tetap berkawan baik sehingga ke hari ini," senyumnya.

Pengalaman bertugas di belakang tabir, mendorongnya menyimpan impian untuk bergelar artis satu hari nanti. Di situlah terbentuknya kumpulan Wings sekitar pertengahan 1980-an.

Di bawah kendalian Ali Bakar, Wings terus menempa nama dalam arena muzik rock tempatan bersama Joe, Jojet dan Syam serta kemasukan beberapa anggota baru seperti Eddie dan Black.

"Kami pernah beberapa kali melakukan persembahan di panggung itu, antaranya konsert Wings pada sekitar 90-an.

"Sambutan terhadap muzik rock dan Wings ternyata di luar dugaan, saya terkejut apabila melihat penonton sanggup memanjat pokok semata-mata mahu menyaksikan persembahan kami," katanya yang pernah mengadakan persembahan solo pada tahun 2000.

Nilai sentimental

Kata Awie, biarpun konsert yang diadakan tidaklah semeriah konsert-konsert berbayar seperti di Stadium Negara dan Stadium Merdeka, namun ia sudah memadai untuk menghiburkan orang ramai yang hadir.

"Apa yang pasti, panggung ini mempunyai nilai sentimental kepada saya, tanpanya tidak mungkin saya berada di tahap ini sekarang," ujarnya

Kewujudan Panggung Anniversari juga sangat bermakna dalam hala tuju karier Pengarah Urusan Box-Office Malaysia, Ali Bakar.

Menurutnya, dia banyak belajar mengenai penganjuran dan pementasan pentas ketika bekerja sebagai eksekutif perkhidmatan pemasaran di salah sebuah akhbar tempatan.

"Sejak tahun 1976 sehingga kini, saya telah menganjurkan lebih 40 konsert di sana," katanya.

Ali berkata, antara kejayaan terbesar ialah ketika mengendalikan konsert Sport Aid pada 1988 yang berlaku serentak dengan larian amal di bandar-bandar raya utama di dunia.

Buat julung-julung kalinya, artis-artis membuat persembahan dari panggung itu pada lewat malam untuk disiarkan secara langsung kepada lebih 100 buah negara dan disaksikan 1.1 bilion penonton televisyen.


PENGALAMAN mengendalikan konsert spert Aid pada tahun 1998 sangat bermakna kepada Ali.


Ali berkata, panggung itu berjaya mengetengahkan bakat-bakat baru dalam industri muzik dari era 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.

"Ia telah menjadi saksi kegemilangan artis-artis seperti Datuk M. Daud Kilau, Tan Sri SM Salim, Blues Gang, Carefree, Hail Amir, Uji Rashid dan Latif Ibrahim di samping beberapa kumpulan rock terkemuka seperti Wings, Search, Headwind," jelasnya.

Katanya, faktor usia dan kemunculan banyak siaran televisyen menyebabkan kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan hiburan percuma.

"Bagaimanapun saya yakin proses menaiktaraf yang sudah selesai dijangka mampu mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi satu ketika dahulu," katanya.

Tambah Ali, DBKL dan pihak swasta perlu berganding bahu dalam merancang aktiviti seni yang lebih menyeluruh dan sesuai dengan selera peminat tempatan.

"Kita tidak mahu ia gah kerana seni binanya yang cantik dan moden, namun sunyi tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat untuk masyarakat," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kepulauan Pasifik celik teknologi

Posted:

Kepulauan Pasifik celik teknologi

Kepulauan Pasifik celik teknologi


KEMASUKAN Digicel ke Kepulauan Pasifik telah mencetuskan persaingan sengit.


DARI negara berdataran tinggi, Papua New Guinea ke pulau-pulau terpencil di Tonga, revolusi telekomunikasi di Pasifik mampu membantu meringankan kemiskinan dan isolasi di beberapa negara termiskin di dunia.

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, gelombang liberalisasi menjadikan telefon bimbit dan komputer riba sebagai alat yang mampu dimiliki oleh berjuta orang di situ.

Situasi itu sekali gus meninggalkan kesan yang bermakna untuk perniagaan, kesihatan, pelajaran serta mengelakkan gempa bumi dan tsunami.

Peladang kini boleh menyemak harga terus di pasaran tempatan, orang kampung yang tidak mempunyai pengalaman perbankan boleh mengirim wang menggunakan khidmat telefon bimbit dan mengetahui amaran awal mengenai gelombang besar yang menjadi ancaman utama di kepulauan itu.

"Mereka tidak mempunyai jalan, mereka juga masih ketinggalan, tiada kuasa dan tiba-tiba mereka mempunyai telefon bimbit," kata Gavin Murray dari syarikat kewangan antarabangsa (IFC) iaitu anak syarikat bank dunia swasta.

"Kesimpulannya, ia memberi impak yang besar kepada masyarakat. Tidak kisah kepada siapa anda berkata, mereka mengatakan teknologi itu benar-benar mengubah hidup mereka."

Syarikat dari Ireland, Digicel Pacific bertanggungjawab membawa perubahan besar itu, dengan disokong oleh AS$120 juta (RM370 juta) pinjaman dari IFC, menjadikan enam pulau telah diteroka di seluruh negara sejak tahun 2006 dengan hasil yang menakjubkan.

Menurut Murray, dalam tempoh dua setengah tahun sahaja, kadar penggunaan telefon bimbit di Papua New Guinea meningkat daripada 100,000 kepada tiga juta pengguna, ketika bank pusat menganggarkan liberalisasi industri hanya akan bertambah kepada setengah peratus bagi kadar negara kasar (GDP).

Ketua Pegawai Eksekutif Digicel Pacific, Vanessa Slowey berkata, kadar panggilan meningkat kepada 60 peratus hampir setiap malam di Samoa, lokasi pertama syarikat berkenaan bertapak, di mana rangkaian naik mendadak dari tiga kepada lebih 90 peratus di seluruh kepulauan.


SALAH sebuah restoran dan kafe Internet yang terdapat di Tonga. - Gambar hiasan


Celik Internet

Di kawasan terpencil Nauru, di mana Digicel dilancarkan tahun lalu, meningkat daripada tiada kepada 95 peratus rangkaian, melonjak lebih setengah daripada 10,000 penduduk yang mendaftar pada bulan pertama.

Pada akhir Oktober, 40 peratus isi rumah di Nauru mula celik Internet apabila Digicel melancarkan Internet bergerak WiMax.

"Malah, jangan terperanjat apabila alat telekomunikasi pertama penduduk di sana mungkin adalah BlackBerry. Orang di sana telah merasainya dan anda boleh mencubanya," beritahu Slowey.

Strategi Digicel yang diasaskan oleh usahawan Denis O'Brien adalah untuk menawarkan kualiti yang mampu dimiliki walaupun ia terlalu berisiko kepada sebuah syarikat gergasi.

Di kawasan Pasifik, syarikat itu sangat bergantung kepada 1,200 kakitangan untuk membina dan mengekalkan rangkaian yang luas, kawasan yang dilingkungi gempa bumi ketika ribuan penduduk diambil bekerja sebagai penjual kad tambah nilai.

"Di sini anda bercakap, dalam sesetengah kes ia mengambil masa selama 20 jam perjalanan (untuk membaiki menara) jika berlaku tsunami, gempa bumi atau disambar petir, semua itu berlaku di kawasan Pasifik yang dilingkari gunung berapi.

"Ia sesuatu yang sukar. Bukan kerja mudah. Ia memerlukan semangat yang kental, visi, keyakinan untuk memastikan yang kami akan membinanya dengan binaan yang besar, dan anda berharap yang rundingan anda itu tepat," tambah Slowey.

Kemasukan Digicel telah mencetuskan persaingan sengit apabila pribumi terpaksa menurunkan harga pada saat pelopor komunikasi baru telah melonjakkan pengaruh ekonomi.


ALAT telekomunikasi pertama penduduk di Kepulauan Pasifik adalah BlackBerry.


Lubuk perniagaan

Pesuruhjaya Perdagangan dan Pelaburan Kepulauan Pasifik yang bertapak di Sydney iaitu sebuah badan yang membantu mempromosikan kawasan itu, Caleb Jarvis menamakannya sebagai revolusi yang memberi manfaat kepada perniagaan, membawa kemewahan dan mencantas kemiskinan.

"Saya pasti ia bakal menjadi lubuk perniagaan yang baru dan telah bermula sejak komunikasi di situ dinaiktaraf."

"Syarikat swasta yang dinamik di kepulauan Pasifik sememangnya perlu untuk mengurangkan paras kemiskinan di negara ini.

"Lama-kelamaan, mereka akan membawa perubahan penting untuk mengurangkan kemiskinan dan memperbaiki taraf kehidupan di kalangan penduduk kepulauan Pasifik," ungkap Jarvis.

Inovasi yang dijangka akan dikembangkan ke beberapa negara lain juga akan menambah perkhidmatan seperti 3G, yang akan membuatkan berjuta penduduk di kepulauan itu lebih selamat dengan sistem amaran mengenai gempa bumi dan kemungkinan, tsunami.

Kehadiran telefon bimbit dan Internet menjadi penghubung yang begitu berguna ketika masyarakat di Pasifik dipisahkan oleh lautan yang luas terbentang dengan rakan-rakan, saudara-mara dan juga dunia. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan