Ahad, 2 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Surat RM300 ganti pasport

Posted: 01 Jan 2011 09:36 AM PST

JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin bekerja di negara ini 'menjual' surat sokongan kononnya atas nama seorang individu di Pahang, sebagai pasport sah.

Surat terbabit yang dibeli pada harga RM300 kononnya adalah ganti kepada pasport dan boleh digunakan untuk keluar masuk serta bekerja di negara ini.


Pendatang tanpa izin yang ditahan, Abdullah Said, 40-an, berkata dia membayar RM300 bagi mendapatkan surat sokongan itu.

"Surat ini saya peroleh daripada seorang individu ketika mencari kerja di sini, saya diyakinkan surat itu adalah ganti kepada pasport dan sah.


"Saya membayar RM300 untuk mendapatkannya bagi diri saya serta keluarga pada Januari 2008," katanya yang bekerja kilang.


Perkara itu didedahkan selepas Jabatan Imigresen Johor menyerbu lebih 30 rumah di Kampung Mulia, Sungai Tiram di sini, malam kelmarin.

Dalam Ops Sapu kira-kira lima jam itu, 65 Pati warga Kemboja ditahan tetapi ada yang sempat melarikan diri ke ladang getah dan kelapa sawit berhampiran.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Imigresen (2) Johor, Amzari Abdul Jalil berkata, pihaknya yakin aktiviti menjual surat sokongan itu dilakukan sindiket yang membawa masuk pendatang.

"Semua yang ditahan menunjukkan sekeping surat dengan cop juga tandatangan individu berkenaan, tetapi pemeriksaan mendapati ia tidak benar.


"Sindiket menggunakan surat terbabit untuk mengambil kesempatan terhadap Pati yang terdesak mendapatkan kerja," katanya.


Amzari berkata, hanya pasport tulen boleh dijadikan bukti kemasukan seseorang warga asing dan bukan sekeping kertas dengan tandatangan individu tertentu.


Dalam serbuan itu, seorang bayi berusia tiga bulan ditemui dipercayai sengaja ditinggalkan ibu bapanya yang melarikan diri bagi mengelak ditahan.


"Operasi membabitkan 80 pegawai dan anggota dilakukan hasil maklumat awam dan intipan selama dua minggu, seramai 37 wanita, 13 lelaki serta 15 kanak-kanak berusia 10 tahun hingga 40-an ditahan untuk membantu siasatan.


"Bayi berusia tiga bulan itu pula akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan sementara, manakala yang lain dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk tindakan lanjut," katanya.


Menurutnya, semua pendatang tanpa izin itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Maiza keluar hospital Selasa

Posted: 01 Jan 2011 08:50 AM PST

IPOH: "Isteri (Maizawati) dijangka keluar wad Selasa ini. Sepatutnya, dia dibenarkan keluar pagi ini (semalam), namun doktor pakar sakit puan memintanya menjalankan ujian imbasan terakhir bagi memeriksa semula kandungannya sebelum dibenarkan pulang," kata Mohd Yassin Ben @ Abdul Rahim, 23, suami Maizawati Zainal, 35 yang kini terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas terbabit kemalangan baru-baru ini.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, kereta dinaiki Maizawati bersama suami dan tiga anaknya terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, kira-kira jam 5.15 pagi, 28 Disember lalu.


Kejadian itu menyebabkan Maizawati patah tangan kiri dan cedera di kedua-dua kaki dan bengkak di kepala manakala suaminya serta tiga anaknya hanya cedera ringan.

Mohd Yassin berkata, ujian imbasan itu perlu dilakukan sekali lagi bagi membolehkan doktor memastikan kandungan isterinya tidak mengalami masalah selepas ujian pertama dilakukan beberapa hari selepas kemalangan itu.


Katanya, jika semuanya berjalan lancar, Maizawati akan dibenarkan keluar dari wad HRPB pada Selasa ini.


"Ujian imbasan itu akan dilakukan petang ini (semalam). Saya berharap kandungan isteri selamat seperti mana keputusan ujian yang dikeluarkan sebelum ini.

"Selepas dibenarkan keluar dari wad kelak, Maizawati akan berehat beberapa hari di kediaman keluarganya di Taman Utama, Bercham, di sini, sebelum kembali ke Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, buat masa ini Maizawati sibuk mengendalikan beberapa program kebajikan dianjurkan Yayasan Muamalat Belia di Kuala Lumpur.

"Saya tidak pasti sama ada dia boleh menyertai program itu berdasarkan kecederaan dihadapi," katanya.


Mengenai sambutan tahun baru yang diraikan bersama Maizawati semalam, Mohd Yassin berkata, tiada sambutan dilakukan, sebaliknya mereka berdua meluahkan kata-kata semangat antara satu sama lain selain berharap hubungan yang dibina berkekalan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan