Berita Harian: Nasional |
Pendekatan Najib cari maklum balas Posted: 05 Jan 2011 03:33 PM PST Nasional NAJIB berbincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Ab Majid sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama bagi 2011 di pejabatnya di Putrajaya, semalam. KUALA LUMPUR: Pendekatan Datuk Seri Najib Razak melakukan pungutan suara bagi membolehkan rakyat memberi pandangan mengenai bidang perlu diberikan keutamaan kerajaan, dilihat sebagai usaha memastikan rakyat sentiasa mendapat yang terbaik. Langkah Perdana Menteri itu juga dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan rakyat turut sama memastikan penambahbaikan terbaik untuk kemakmuran mereka. Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata pendekatan Perdana Menteri itu menjadi satu lagi mekanisme untuk mengetahui sejauh mana dasar dilaksanakan kerajaan diterima oleh rakyat. "Saya percaya pendekatan seumpama ini berkesan untuk mendapatkan maklum balas bagi menambahbaikkan dasar sedia ada demi memastikan rakyat mendapat yang terbaik."Daripada undian yang dibuat, ia sudah pasti boleh dijadikan input untuk kerajaan merangka program susulan terutama dalam bidang yang mendapat undian tertinggi," katanya ketika dihubungi semalam. Beliau mengulas pungutan suara dalam blog Perdana Menteri, www.1Malaysia.com.my, yang dilancarkan kelmarin bagi memberi peluang rakyat memilih bidang mana yang perlu diberikan perhatian untuk perbaiki kerajaan sama ada ekonomi, infrastruktur awam, sistem pendidikan atau keselamatan awam. Sehingga tengah hari semalam, lebih 31 peratus atau 433 responden memilih sektor ekonomi yang perlu menjalani proses penambahbaikan berbanding kemudahan awam (24 peratus, 333 undi), keselamatan awam (23 peratus, 315 undi) dan sistem pendidikan (22 peratus, 301 undi).
"Banyak kajian di kalangan belia mendapati mereka mahukan aspek ekonomi lebih ditekankan, termasuk menyediakan prasarana sewajarnya bagi membangunkan belia serta penyaluran dana bagi membantu golongan usahawan muda," katanya. Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kementerian kini sedang mengemas kini maklumat, termasuk berusaha menyelaras dana belia dalam memastikan dana diperuntukkan dapat disalurkan dengan lebih berkesan. Pengerusi Persatuan Gabungan Belia India Malaysia, P Mukunta, berkata bebanan ekonomi yang dihadapi rakyat memerlukan perhatian lebih serius daripada kerajaan ketika jurang antara golongan miskin dan kaya semakin melebar. "Kerajaan menyediakan pelbagai langkah dan pendekatan, namun kita mahu melihat penambahbaikkan supaya segala usaha yang dilakukan tidak akan sia-sia," katanya. Pengerusi Program Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizudin Mohd Sani, pula berkata undian tinggi terhadap isu ekonomi membuktikan rakyat mengutamakan faktor ekonomi mapan, inflasi, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan. "Ia menjadi indikator terbaik buat kerajaan menentukan agenda pentadbiran mendapat perhatian ramai kerana ekonomi menjadi teras kepada kestabilan dan pembangunan negara," katanya. |
‘Pengaruh militan terkawal, tak gugat keselamatan’ Posted: 05 Jan 2011 03:33 PM PST Nasional PUTRAJAYA: Pengaruh militan di negara ini termasuk di universiti adalah terkawal dan tidak menggugat keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.Beliau juga mengesahkan, pihak berkuasa sudah menahan beberapa individu tempatan dan rakyat asing dalam usaha mengekang pengaruh militan berkenaan. Katanya, pengaruh militan itu tidak hanya terhad kepada mereka yang beragama Islam, malah turut membabitkan agama lain. "Ia tidak membimbangkan dan tidak memberi ancaman terhadap keselamatan negara. Bagaimanapun, tidak bermakna kita harus leka dengan masalah ini," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa Bagi Migrasi (IOM), William Lacy Swing di pejabatnya di sini, semalam.Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk perisikan antarabangsa seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Perisikan Arab Saudi serta United Kingdom, bagi mengekang pengaruh militan di negara ini. Baru-baru laporan agensi berita asing mendakwa universiti di Malaysia menjadi pusat merekrut militan Islam yang menyasarkan golongan muda. Mengenai pertemuan dengan IOM itu, Hishammuddin memohon bantuan agensi berkenaan untuk melihat undang-undang berkaitan migrasi, termasuk pemerdagangan orang dalam usaha mengekang kegiatan seumpama itu.
Ditanya mengenai tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, yang dianggap menghina Sultan Selangor dalam blognya, Hishammuddin berkata, tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan digunakan terhadap beliau kerana kenyataannya itu tidak memberi ancaman terhadap keselamatan negara. Bagaimanapun, katanya, kenyataan ADUN itu lebih bersifat hasutan dan menyerahkannya kepada Peguam Negara untuk tindakan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan