Utusan Online - Politik |
PKR Sabah makin bergolak, ramai ikut jejak Jeffrey Posted: PKR Sabah makin bergolak, ramai ikut jejak JeffreyKOTA KINABALU 5 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus bergolak apabila semakin ramai ahlinya bertindak mengikut langkah bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meninggalkan parti itu. Hari ini seramai 27 ahli termasuk pemimpin PKR dari seluruh negeri bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Bersatu Borneo (UBF) yang disaksikan oleh Jeffrey. UBF ditubuhkan pada 16 Disember lalu oleh Jeffrey sebagai satu platform bagi membolehkannya memperjuangkan hak serta keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak. Antara pemimpin yang bertindak keluar parti hari ini ialah Pengerusi Pasukan Petugas Kadazandusunmurut PKR Sabah, Daniel John Jambun; bekas Ketua Cabang PKR Putatan, Awang Ahmad Shah Awang Sahari; Timbalan Ketua Cabang Kota Belud, Rubbin Guribah dan Timbalan Ketua Cabang Keningau, Melvin Jaikol. Turut bertindak keluar parti ialah Ketua Pemuda PKR Keningau, Dr. Nicholas Guntobon; Ketua Pemuda PKR Kota Marudu, Dr.Jurin Gunsalam; Setiausaha PKR Kinabatangan, Jalibin Paidi dan Ketua Penerangan PKR Kinabatangan, Yusof Parantis. Menurut Jeffrey, penyertaan ahli PKR di dalam UBF merupakan satu langkah bijak yang dibuat dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah. Katanya, beliau menjangkakan lebih ramai ahli parti itu akan bertindak keluar parti pada masa akan datang. "Sebenarnya ada lagi termasuk lima hingga enam Ketua Cabang PKR yang menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan akan membuat sidang media sendiri. "Jadi saya tidak mahu sebut lain-lain dulu kerana mereka perlu menghabiskan beberapa tugas di sana," katanya. Dalam pada itu Daniel berkata, tindakannya bersama ahli Petugas Kadazandusunmurut PKR Sabah itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tambahnya, tindakan pemimpin PKR di negeri ini yang sering bertelagah sesama sendiri juga menyebabkan parti itu semakin hilang kepercayaan di kalangan akar umbi. Beliau memberitahu, meskipun hanya 27 ahli PKR bertindak keluar parti hari ini, setiap pemimpin PKR berkenaan mempunyai ramai pengikut yang akan turut berbuat demikian. Dalam pada itu Awang Ahmad Shah berkata, beberapa Ketua Cabang PKR akan mengumumkan keluar parti pada 17 Januari ini. "Saya tidak boleh sebut siapa tetapi kita sudah membuat keputusan akan mengumumkannya pada 17 Januari ini," katanya. Sementara itu Melvin berkata, kira-kira 80 peratus ahli PKR Keningau dijangka mengikut jejaknya meninggalkan parti itu dan menyertai UBF. |
'Balik India' - Bukti DAP parti rasis tulen, biadap Posted: 'Balik India' - Bukti DAP parti rasis tulen, biadapKUALA LUMPUR 5 Jan. - UMNO Pulau Pinang menganggap tindakan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik sebagai bukti DAP sebuah parti rasis tulen. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kejadian tersebut jelas menunjukkan apa yang tersirat di dalam perjuangan parti itu yang hanya memperjuangkan kaum Cina semata-mata. ''Perjuangan rasis itu juga terbukti dengan pemilihan DAP baru-baru ini dimonopoli oleh kaum Cina dan ramai pemimpin kaum India yang tewas. ''UMNO Pulau Pinang kesal dengan kebiadaban seorang wakil rakyat yang bertindak seperti samseng dan keadaan amat berbeza semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di mana rakyat sentiasa didahulukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ungkapan "Tutup kedai, balik India," yang diluahkan Ng Wei Aik kepada pengusaha Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, semasa operasi penyitaan di premisnya malam kelmarin. Menceritakan semula kejadian itu, Syed Kassali mendakwa, pada malam kejadian, Wei Aik bertindak kasar seperti samseng apabila tanpa memperkenalkan diri terus bertindak meluru masuk ke restorannya dan 'mengepak' tangan seorang pekerjanya. Zainal Abidin berkata, semua rakyat Malaysia ada hak masing-masing mengikut perlembagaan dan hak tersebut tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Tegas beliau, tindakan mengeluarkan ungkapan seperti itu bukan sahaja menyakitkan hati serta mengguris perasaan orang India Muslim tetapi juga hati seluruh kaum India di negara ini. Katanya lagi, sebarang masalah perlu diselesaikan mengikut peraturan, bukannya bertindak seperti samseng yang tidak tahu undang-undang. ''Sebagai seorang wakil rakyat, Wei Aik seharusnya menjadi perantara rakyat dengan pihak berkuasa dan jika ada sebarang masalah sudah menjadi kewajipan dia untuk membantu bukan sebaliknya. ''Saya berharap pada masa akan datang jika ada sebarang masalah biarkan pihak berkuasa yang selesaikan tidak perlu campur tangan mana-mana pihak kerana ia hanya memburukkan keadaan,"ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan