Ahad, 8 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Berubah supaya relevan

Posted:

Berubah supaya relevan

Berubah supaya relevan

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

USIA Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) genap 65 tahun pada 11 Mei ini. Seperti yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaannya, parti itu berjuang untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Sebenarnya terdapat enam asas utama dalam perjuangan UMNO yang ditubuhkan pada 1946, antaranya untuk mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial menerusi sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia amnya.

Ia juga berjuang bagi melahirkan bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

UMNO sudah pasti akan kekal dengan segala asas perjuangannya. Bagaimanapun berikutan perubahan zaman yang menyaksikan menurunnya sokongan orang Melayu terutama generasi muda selepas Pilihan Raya Umum 2008, maka mahu tidak mahu ia perlu mengubah pendekatannya.

Seperti yang sering disebut kepimpinan parti itu, cerita-cerita kejayaan UMNO membangunkan Malaysia dan perjuangannya untuk memerdekakan negara sudah tidak lagi berkesan untuk menambat hati orang Melayu terutama generasi muda.

Parti itu tidak boleh terlalu mengharapkan perjuangannya sebelum ini akan dihayati oleh generasi muda yang sudah pasti tidak lagi melihat UMNO dari segi jasa yang telah dicurahkan sebaliknya sama ada ia relevan pada masa kini dan akan datang.

Keperluan supaya parti itu, berubah dibangkitkan sendiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-64 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tahun lalu.

Dalam ucapannya, Najib menyeru seluruh lapisan kepimpinan dan ahli UMNO supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah entiti politik yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Presiden UMNO itu turut mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya tidak leka dalam perjuangan sehingga ia dianggap oleh rakyat jelata hanya memperjuangkan kelompok kecil kumpulan yang berkepentingan sahaja.

''Demi menjadikan UMNO dekat di hati rakyat, para pemimpinnya mesti mengatur program untuk rakyat pada setiap masa dan bukannya secara bermusim menjelang pilihan raya sahaja," katanya.

Najib juga mengingatkan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik yang telah mengetuai Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 12 pilihan raya umum, perlu mengambil iktibar daripada nasib parti pemerintah di luar negara seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang hampir sama usianya yang kini menjadi parti pembangkang.

''Parti terbabit kehilangan kuasa kerana berleluasanya politik berpuak sehingga perkara itu lebih diutamakan daripada berkhidmat kepada rakyat. Parti ini mengutamakan kelompok tertentu yang berkepentingan sehingga kehendak dan tuntutan rakyat tidak diberi perhatian.

''Parti berkenaan juga tidak mempunyai iltizam politik untuk meneruskan perubahan dalaman sehingga pengundi melihatnya jauh daripada hati rakyat, tidak memahami kehendak mereka selain tidak segar mahupun dinamik," katanya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang diminta mengulas perkembangan parti itu sekarang melahirkan kegembiraan kerana ia telah melalui proses overhaul selepas Tsunami 2008.

''Saya nampak parti telah mula melakukan perubahan dan ini sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.

''Saya juga tertarik dengan gaya kepimpinan Najib yang terbuka dan berterus terang seperti baru-baru ini apabila mengajak Pas bergabung dengan UMNO.

''Ini bagus dan sesuai dengan zaman sekarang apabila rakyat lebih selesa dengan pemimpin yang mengamalkan ketelusan,'' ujarnya.

Sabbaruddin juga melahirkan keyakinan bahawa segala perubahan yang dirancang oleh Najib akan dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan beliau mempunyai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan Sabbaruddin sebagai seorang timbalan yang bagus.

''Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) juga tiada yang bermasalah dan saya tidak nampak lagi berlaku pertelingkahan di peringkat kepimpinan negeri dan bahagian seperti sebelum ini. Saya harap ia berterusan sampai pilihan raya akan datang," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani menyambut baik nasihat Najib supaya kepimpinan parti itu di semua peringkat mendampingi rakyat.

''Saya harap pemimpin dan ahli parti di semua peringkat mengikut nasihat Presiden supaya mereka memainkan peranan untuk menjuarai isu-isu rakyat supaya UMNO disegani dan dilihat masih lagi relevan.

''Saya mendapati program mendekati rakyat yang diadakan sekarang tidak menyeluruh dan agresif seperti yang sepatutnya dan tumpuan juga harus dibuat bagi mendampingi orang Melayu bandar yang kini dihimpit dengan pelbagai masalah kehidupan," katanya.

Beliau juga berharap tiada mana-mana pihak yang menyokong UMNO semata-mata kerana mahukan habuan kewangan.

Sebenarnya, perubahan UMNO tidak harus dijadikan slogan semata-mata sebaliknya ia perlu diterapkan dari segi amalannya. Jangan lagi ada pihak yang masih mengatakan orang-orang UMNO sombong, angkuh dan tidak mesra rakyat.

Usaha UMNO untuk berubah adalah selaras dengan hakikat bahawa parti itu sahaja yang boleh diharapkan untuk membela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.

Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti kecil lain yang didominasi oleh orang Melayu tidak boleh menjadi alternatif kepada UMNO kerana ia lebih mementingkan kuasa sehingga sanggup melihat kedudukan orang Melayu dalam aspek ekonomi, politik dan lain-lain bidang terus dipinggirkan.

Dengan cogan kata Bersatu - Bersetia - Berkhidmat, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu masih dinamik, segar dan bernafas baru.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Titik perubahan di Singapura

Posted:

Titik perubahan di Singapura

Titik perubahan di Singapura


Penyokong-penyokong Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersemangat mengibarkan bendera, sepanduk dan poster calon parti mereka ketika berkumpul menunggu keputusan pengiraan undi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 negara itu di Stadium Toa Payoh, Singapura, Sabtu lalu.


PILIHAN raya umum Singapura pada 7 Mei lalu mengembalikan kuasa kepada parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetapi berlaku perubahan besar apabila pembangkang iaitu Parti Pekerja (WP) memenangi enam daripada 87 kerusi Parlimen yang ditandingi.

PAP memenangi majoriti 81 kerusi, termasuk lima kerusi yang menang tanpa bertanding tetapi kemenangan pembangkang tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah negara pulau tersebut sejak meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965.

Antara anggota PAP yang menang tanpa bertanding ialah pengasas bersama PAP dan bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew, 87.

Pegangan undi keseluruhan kerajaan PAP juga dilihat semakin menurun dari 75 peratus pada 2001 kepada 67 peratus pada 2006 dan hanya 60 peratus daripada dua juta pengundi untuk 2011.

Tahun ini, pembangkang turut bertanding di 82 daripada 87 kerusi Parlimen berbanding hanya 47 daripada 84 kerusi pada 2006 sementara kemenangan terbesar iaitu empat kerusi Parlimen dicatatkan pada 1991.

Kebangkitan pembangkang tahun ini dilihat sebagai satu rintangan kepada pentadbiran politik Singapura yang telah menikmati kemuncak kuasa sejak lima dekad lalu.

Walaupun kepimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong masih memegang majoriti besar, kekalahan 'paling teruk' dalam sejarah Singapura itu turut menyaksikan kekalahan seorang pemimpin utama PAP dan Menteri Luarnya, George Yeo.

Yeo yang mengetuai Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) di kawasan panas Aljunied tewas bersama empat calon PAP lain dalam kawasan tersebut dan memaksa beliau keluar dari Kabinet.

GRC iaitu satu kaedah yang selama ini dilihat memberi kelebihan kepada parti pemerintah juga telah mula menunjukkan kelemahan.

Seorang profesor sains politik di Universiti Pengurusan Singapura, Bridget Welsh berkata, GRC merupakan asas dominasi satu parti di negara pulau itu dan pemecahan sistem itu membuka ruang untuk kepelbagaian politik di Singapura.

Minggu lalu, sehingga 40,000 anggota kumpulan penyokong dilihat menyertai perhimpunan yang diadakan pembangkang, jauh mengatasi bilangan penyokong kerajaan.

Kempen pembangkang juga banyak bergantung kepada internet terutamanya laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube memandangkan media utama dilihat sebagai media kerajaan.

Antara isu yang dilihat menjadi penentu pilihan raya kali ini ialah kadar pendapatan mendatar, peningkatan kos sara hidup, jurang pendapatan yang semakin besar dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Singapura yang lebih miskin.

Sebelum ini, PAP banyak bergantung kepada kempen dakwaan birokrasi bebas rasuah di Singapura dan kejayaan pembangunan ekonomi termasuk peningkatan 14.5 peratus tahun lalu selepas berjaya mengharungi gawat ekonomi 2009.

Namun, kali ini mereka dilihat tidak bersedia dengan tahap ketidakpuasan hati di kalangan pekerja dan golongan pertengahan yang merasakan kerajaan kurang responsif.

Hsien Loong beberapa hari sebelum pilihan raya turut memohon maaf secara terbuka berikutan kesilapan kerajaan pimpinannya termasuk kurang membina perumahan awam dan tidak mengembangkan sistem jaringan pengangkutan bagi memenuhi peningkatan besar pekerja asing.

Harga rumah di negara pulau itu telah meningkat sekitar 70 peratus sejak 2006 sementara jumlah pekerja asing kini melangkaui satu juta orang.

Antara aduan lain yang dibangkitkan pembangkang dan pengundi dalam kempen pilihan raya kali ini adalah sikap pemimpin dan wakil rakyat PAP sendiri yang didakwa bongkak dan menjauhkan diri daripada rakyat di akar umbi.

Hsien Loong yang menyatakan beliau "berasa rendah diri" selepas kemenangan pilihan raya kali ini turut menegaskan PAP sedar mengenai kekhuatiran dan isu yang diletakkan oleh pengundi.

"Kami dengar suara anda," kata Hsien Loong yang mendapat mandat kali kedua sebagai Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan oleh saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia.

Sambil mengakui bahawa GRC Aljunied merupakan yang paling sengit persaingannya, Hsien Loong menyatakan kekecewaannya kerana tewas di situ walaupun telah berusaha keras.

"Hilangnya pasukan PAP (Aljunied) merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan Kabinet saya dan anggota Parlimen", ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan PAP menerima keputusan pengundi kerana berpendapat ia menunjukkan hasrat pengundi sambil berkata bahawa parti itu akan menganalisis keputusan pilihan raya dan membaiki apa yang perlu dan memperbetulkan apa jua kesilapan.

Sambil menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai satu titik perubahan, beliau berkata dunia dan Singapura kini sudah berbeza selepas lima tahun yang penuh bermakna.

"Para pengundi bukan orang yang sama apabila begitu ramai pengundi generasi muda dengan pelbagai kelulusan dalam pendidikan selain terdapat penduduk yang telah berusia dengan kebimbangan yang lain.

"Semua lapisan rakyat Singapura mempunyai aspirasi yang tinggi dan mahu kerajaan mengubah cara serta pendekatan yang diambil. Ramai juga yang ingin melihat lebih banyak suara pembangkang di dalam Parlimen untuk memantau kerajaan PAP," jelasnya.

Kenyataan Perdana Menteri itu disambut baik oleh ramai penganalisis tetapi mereka tidak mengharapkan perubahan dramatik dalam tempoh terdekat. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan