Selasa, 3 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Hanya DAP dapat untung

Posted:

Hanya DAP dapat untung

Hanya DAP dapat untung

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Pas keluar daripada pakatan pembangkang, ia bukanlah bermaksud mahu parti itu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Tetapi Najib sebenarnya ingin memberi isyarat atau menyedarkan Pas daripada mimpi bahawa kerjasama mereka dengan pakatan itu hanya sia-sia.

Ia kerana DAP walaupun mengaku rakan sekutu tetapi pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas meneruskan perjuangan Islamnya.

Namun seperti mana dijangkakan pemimpin-pemimpin Pas bukan sahaja tidak mahu memikirkannya malah menolak gesaan Perdana Menteri mentah-mentah.

Semua orang tahu bagaimana corak politik yang diamalkan oleh DAP yang boleh dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Pas.

Sejak awal lagi, kerjasama pembangkang hanya melibatkan PKR dan DAP, Pas hanya diterima selepas tidak lagi bernada lantang untuk meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam.

Sebab itulah dalam apa soal sekali pun, DAP tidak begitu mengambil berat apa perasaan dan pandangan Pas, sebaliknya merujuk kepada PKR.

Tambahan pula, corak perjuangan antara DAP dan PKR tidak ada bezanya. Kedua-dua parti itu mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya umum lalu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah kerana memainkan isu perkauman.

Di Pulau Pinang semua masih ingat bagaimana DAP dikatakan berkempen dengan 'menjaja' kononnya mengundi parti Gerakan sama dengan mengundi UMNO.

Ini sekali gus mempengaruhi pengundi-pengundi Cina untuk menyebelahi mereka. Di Selangor, PKR turut menggunakan pendekatan yang sama apabila memainkan isu hak kaum India melalui perjuangan perkauman pertubuhan haram Hindraf.

Tetapi Pas bukan sahaja bersedia mengorbankan perjuangan Islam malahan untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu pun takut demi menjaga hati DAP dan PKR.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas mesti sedar matlamat politik DAP ialah Malaysian Malaysia.

Katanya, sesiapa sahaja yang faham konsep berkenaan akan mengetahui betapa bahayanya ideologi dan matlamat DAP itu dalam konteks Perlembagaan negara, orang Melayu dan agama Islam.

''Tetapi Pas kelihatannya lebih utamakan jumlah kerusi. Mungkin Pas sudah letih berjuang, begitu juga para pemimpinnya yang mahukan kerjasama dengan DAP,'' katanya ketika dihubungi.

Selain itu pemimpin-pemimpin DAP lebih melihat pemimpin PKR jauh berwibawa berbanding pemimpin Pas sebab itulah, apabila kerusi PKR semakin mengurang di dalam Dewan Rakyat, DAP tetap memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang.

Sedangkan kalau hendak dibandingkan dengan Anwar yang berhadapan dengan pelbagai dakwaan berkaitan moral, pemimpin Pas sepatutnya diberi penghormatan kalau benar DAP menyerahkan jawatan itu atas dasar setiakawan biarpun mereka mempunyai kerusi yang lebih, tetapi DAP langsung tidak mempelawa Pas.

Semua ini membuktikan bahawa DAP hanya memperalatkan Pas demi keuntungan politik mereka terutamanya bagi meraih sokongan orang Melayu.

Dalam soal ini DAP amat memahami berbanding PKR yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah, Pas lebih berwibawa untuk tujuan itu.

Apatah lagi melalui peranan ulama-ulama di dalam Pas yang bercakap soal Islam, maka ia memberikan kelebihan kepada Pas untuk menarik sokongan orang Melayu.

Pas perlu faham bahawa corak politik yang diamalkan oleh DAP sekarang lambat-laun akan memusnahkan Pas.

Ia kerana orang Melayu semakin mampu melihat dengan jelas bagaimana tindak-tanduk DAP di Pulau Pinang dan Selangor yang jelas tidak menghormati Pas.

DAP memahami kononnya atas kesepakatan bersama, Pas akan berusaha keras memastikan undi orang Melayu di kawasan yang ditandingi oleh DAP memihak kepada parti itu.

Ia sudah berlaku di Pulau Pinang, apabila DAP menang di sesetengah kerusi atas sokongan pengundi Melayu.

Ketika ditanya mengenai fakta ini, Mohamed Mustafa berkata, hakikatnya DAP yang akan mendapat lebih banyak kerusi dan akhirnya menjayakan agenda mereka sebagai parti utama dalam pakatan pembangkang dan seterusnya menjayakan perjuangan Malaysian Malaysia.

''Pas hanya akan dibekalkan kawasan-kawasan Melayu yang mereka telah biasa bertanding dan tidak lebih daripada itu, sedangkan DAP akan bolot semua kawasan bandar dan mungkin menang semuanya jika trend pengundi bandar tidak berubah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, akhirnya siapa yang untuk? Islam? Melayu? Pas? atau DAP,'' tanya beliau.

Berdasarkan hujah itu, Pas akan dilihat selama-lamanya hanya akan diperalatkan oleh DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Mudah kata, dalam apa keadaan pun selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang - yang untung tetap DAP.

Justeru masih belum terlambat untuk Pas mengkaji dengan mendalam corak politik DAP kerana jika Pas masih leka dan terlalu yakin bahawa mereka boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya nanti, percayalah ia kesudahannya boleh meletakkan Pas bagaikan menang sorak kampung tergadai.

Jika Pas benar-benar hendak mempertahankan Islam seperti mana nasihat Najib maka keluarlah daripada pakatan pembangkang. Ia selaras dengan pesanan pejuang Pas, Zulkifli Mohamad iaitu:

''Pangkal pokok perjuangan Islam di dalam negeri ini datangnya daripada hati orang-orang Islam. Bukan alat yang dipentingkan, bukan kemuliaan yang dipentingkan, bukan bilangan yang dipentingkan, tetapi yang lebih dahulu yang mesti dipentingkan ialah iman dan semangat Islam, iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan semangat untuk berjuang kepada jalan Allah dan jalan Rasul-Nya.''

Semoga Pas akan memahami pesanan ini dan tidak terus hanya menjadi 'tangga' kepada DAP untuk mencapai tampuk kekuasaan negara sedangkan perjuangan Islam entah ke mana.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Eskay cabar Anwar lakukan ujian poligraf pula...

Posted:

Eskay cabar Anwar lakukan ujian poligraf pula...

Eskay cabar Anwar lakukan ujian poligraf pula...

Oleh Zaini Hassan

TERUS terang saya katakan Anwar ini hebat orangnya. Hebat dalam permainan kata-kata. Hebat sebagai pemidato awam. Dan hebat dalam serba-serbi!

Jika orang Melayu mendengar pidatonya pasti mereka akan cair jiwa raga dan ternganga rongga mulut. Malah bukan orang Melayu sahaja, dia juga berjaya menggunakan kemahiran kata-katanya sehingga 'mat-mat salleh' Amerika dan orang asing pun jatuh hati kepadanya.

Pendek kata kemahiran itu bukan datang secara semula jadi, tapi melalui ilmu yang dipelajarinya.

Difahamkan dia mempelajari seni oratori atau pengucapan awam itu di Indonesia. Seni yang dipelajari oleh Anwar ini bukan seni pidato sembarangan, bahkan seni yang disokong oleh aura spiritual yang dapat menundukkan pendengar sekali gus mempengaruhi pemikiran dalaman pengikutnya.

Saya difahamkan kemahiran itu pernah dipelajarinya daripada seorang guru pidato awam terkenal di Indonesia yang bernama Prof. H. S. Soenarjo.

Dalam tempoh isu video seks itu membelenggu dirinya sekarang, beliau menggunakan talian hayatnya dengan merangka program jelajah untuk berpidato – bagi mempengaruhi orang ramai mempercayainya.

Seperti biasa, ramai yang mendengar pasti akan terpegun dengan gurindam kencananya. Orang Melayu terbuai-buai dengan antonasi suara dan gerak mimik wajahnya yang cukup meyakinkan.

''Saya difitnah, saya dikhianati, saya tidak bersalah, saya bukan lelaki yang berzina dengan perempuan Cina itu..." Orang ramai yang mendengar pidato bertenaga Anwar itu tergamam.

Hakikatnya, semasa beliau berkata begitu aliran darahnya berkocak-kocak. Naluri dalaman menyentap dirinya. Anwar, sebenarnya kini sedang menghadapi satu situasi yang paling sukar dalam hidup dan karier politiknya dengan tuduhan terbaru berhubung video seks itu.

Nyawa politiknya kini di hujung tanduk. Semua orang yang melihat video aksi seks dengan pelacur Cina itu mengenali si pelakunya. Difahamkan seorang pemimpin tertinggi Pas yang sudah melihat versi penuh aksi seks itu memberitahu "sahlah dia".

Yang pasti Anwar kini cukup tertekan. Datuk Shazryl Eskay Abdullah (Eskay) sudah pun bersumpah laknat mengatakan dia adalah lelaki yang memakai seluar jeans yang berjalan ke hulu ke hilir di dalam video itu.

Eskay bersumpah bahawa dialah di dalam video itu dan beliau bersumpah mengetahui siapa pelaku yang memakai tuala dan tanpa tuala di dalam video itu. Sumpah telah dibuat, namun tidak disambut oleh si pelakunya, yang dakwa oleh Eskay sebagai Anwar bin Ibrahim.

Setakat drama bersiri yang membelenggu Anwar ini, sudah dua sumpah laknat dibuat. Saiful Bukhari Azlan, pemuda lemah lembut yang mendakwa diliwat Anwar juga telah bersumpah laknat. Kini Eskay pula, bekas rakan karib Anwar yang sudah tidak sanggup menutup kemungkaran sahabatnya itu.

Anwar, sehingga saat ini masih enggan bersumpah. Bersumpah kepada Allah Taala mengatakan dia tidak terbabit dalam perbuatan liwat atau pun berzina dengan pelacur Cina itu.

Tapi Eskay tetap mahu Anwar bersumpah. Jika utidak mahu bersumpah dengan Allah Taala, Eskay mencabar Anwar melakukan ujian poligraf pula. Ia adalah ujian saintifik untuk menentukan sama ada orang itu berbohong atau bercakap benar.

Eskay mahu polis atau jurupoligrafi bebas melakukan ujian itu ke atasnya dan ke atas Anwar.

Dalam Cuit bertarikh 6 April lalu bertajuk: Episod malang dan bala Anwar: Rakyat berhak tahu! saya ada menulis mengenai kaedah poligraf ini. Tulisan itu dibuat dua hari setelah petikan pertama video seks tersiar di YouTube.

Ini petikannya: SAYA tertarik untuk memetik surah Yasin ayat 65 yang berbunyi: "Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".

Ia membawa erti mulut manusia mungkin boleh bercakap bohong, mendusta, tapi tangan dan kaki akan menjadi saksi kepada pendustaan kita itu, kata sahabat seorang ahli matematik dan komputer sains yang percaya sejenis alat boleh membuktikan seseorang itu bercakap bohong atau tidak.

Katanya, apabila wayar-wayar dipasang di jari-jari tangan dan anggota badan maka orang itu akan diuji untuk bercakap benar atau bohong. Mesin itu dikenali sebagai poligraf (polygraph) atau alat kesan pembohongan, mungkin boleh menjadi salah satu alat ujian untuk kes-kes seperti itu. Orang yang bohong biasanya boleh dikesan melalui dengupan jantung dan nadi, peluh di jari-jari, getaran di halkum dan lain-lain.

Ujian poligraf jarang-jarang dilakukan di Malaysia. Difahamkan ada beberapa agensi penguat kuasa mempunyai alat itu tapi hanya digunakan untuk urusan dalaman sahaja. Pihak polis tidak menggunakan poligraf untuk mengesan peringkat awal pengakuan tertuduh dalam sesuatu kes.

Di Amerika ia banyak digunakan untuk orang yang disyaki terbabit dalam jenayah seksual. Ia juga banyak digunakan ke atas pesalah seksual yang dibebaskan secara parol atau di bawah pemerhatian. Banyak mahkamah rayuan persekutuan di Amerika menyokong penggunaan poligram untuk pesalah seksual yang dibebaskan di bawah pemerhatian bagi menilai keinginan seks, pemikiran dalaman dan naluri.

United Kingdom juga dikatakan akan mewajibkan ujian poligram ke atas pesalah seksual yang dibebaskan atas jaminan.

Menurut sahabat tersebut, ayat Kursi itu dengan jelas membuktikan bahawa anggota badan lain kita tidak akan menipu sekiranya mulut asyik mengatakan dia difitnah, ditipu atau tidak melakukannya.

Walaupun poligraf ada kelemahannya, sahabat itu berkata, banyak kes yang boleh diselesaikan jika ujian tersebut digunakan dalam urusan siasatan dan forensik di Malaysia. Apa kata polis?

Setelah Eskay bersumpah laknat, kini beliau akan mencabar Anwar melakukan ujian poligraf pula. Sanggupkah Anwar?

Episod ini akan lebih mendebarkan, kita tunggu...

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan