Jumaat, 13 Mei 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Wang haram: Hasbie kemuka bantahan awal

Posted:

Wang haram: Hasbie kemuka bantahan awal

Wang haram: Hasbie kemuka bantahan awal

BUTTERWORTH 13 Mei - Bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar hari ini mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan pindaan memiliki wang haram bernilai lebih RM2.13 juta yang dihadapinya.

Peguam Badrul Munir Mohd. Ghazali yang mewakili Hasbie mengemukakan bantahan awal itu dengan alasan pertuduhan tersebut masih tidak menjelaskan secara spesifik butiran kegiatan haram yang didakwa dilakukan oleh anak guamnya.

''Walaupun pihak pendakwaan menyertakan lampiran tertentu dalam pertuduhan pindaan tersebut, ia masih tidak menjelaskan apa kegiatan haram yang dimaksudkan dalam kes ini.

''Kami berpendapat, pertuduhan ini tidak mempunyai material yang cukup untuk membolehkan pendakwaan diteruskan,'' tegas beliau yang hadir bagi pihak peguam utama Hasbie, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Hasbie, 38, sebelum itu mengulangi pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zairan Aman.

Mahkamah pada 6 Mei lalu mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu dengan memperincikan jenis kesalahan setelah pihak pembelaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan atas alasan pertuduhan yang dikemukakan tidak jelas dan cacat.

Menurut pertuduhan pindaan itu, Hasbie didakwa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram iaitu memiliki wang RM2.13 juta yang merupakan hasil aktiviti haram pada 11 Februari tahun lalu di Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Teluk Air Tawar, dekat sini.

Pertuduhan itu turut menyertakan lampiran berhubung aktiviti haram yang dimaksudkan iaitu kesalahan berat di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang didakwa dilakukan antara 16 April 2007 dan 13 Ogos 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslem Charles Fernandis.

Mohd. Zairan menetapkan 1 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Benjy sering bawa balik rakan

Posted:

Benjy sering bawa balik rakan

Benjy sering bawa balik rakan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Benjy @ Khaeryll Benjamin Ibrahim (tengah) berbincang dengan peguamnya, Amer Hamzah Arshad (kanan) di Mahkamah Majestret Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. saidin


KUALA LUMPUR 13 Mei - Pembantu rumah kepada pelakon Benjy tidak menolak kemungkinan satu peket plastik berisi syabu yang ditemui di kediaman artis tersebut di Kondominium Menara Duta 2 tahun lalu, diletakkan oleh individu lain.

Sunarni Isma, 51, yang berasal dari Indonesia berkata demikian kerana majikannya itu yang sedang dibicarakan atas tuduhan memiliki dadah, sering membawa rakan-rakannya ke kediaman tersebut.

Namun ketika disoal oleh peguam bela mewakili Benjy, Amer Hamzah Arshad berhubung nama rakan-rakan majikannya itu, wanita tersebut yang berkhidmat selama setahun setengah gagal menyebut siapa individu-individu terbabit.

Sunarni juga memberitahu, selain Benjy, isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee dan anak lelaki pasangan itu yang tinggal di kediaman tersebut, Afifi Hamid kadang-kala datang bermalam di situ.

Saksi pendakwa ketujuh itu berkata demikian pada perbicaraan kes memiliki dadah yang dihadapi oleh Benjy di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut amah berkenaan, Benjy hanya sekali seminggu pulang ke kediaman tersebut dan artis itu akan tidur di atas sofa di ruang tamu bersama anaknya, iaitu bersebelahan dengan tempat penemuan peket dadah.

Kenyataan Sunarni yang menyatakan Afifi menginap di kediaman tersebut, juga disokong oleh keterangan Safiya Stephanie, 28, sewaktu pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abdul Halim.

Menurut saksi kelapan itu, dia mengakui Afifi merupakan rakan serumahnya dan bekerja sebagai pembantu peribadi suaminya.

Sewaktu ditanya oleh Noor Mawarni berhubung penemuan peket dadah itu di dalam kediamannya, Safiya Stephanie hanya menjawab:

''Saya tidak tahu mengenai dadah itu, sekiranya terlihat peket terbabit, saya akan menganggapnya sebagai gula-gula.''

Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang berbaju Melayu warna coklat hadir prosiding dengan ditemani ibunya, dramatis Azean Irdawaty.

Benjy dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa memiliki 0.14 gram dadah jenis yang sama di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Hafizza Sauni bersambung 19 Mei ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan