Isnin, 9 Mei 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Bahaya di Kuala Selangor

Posted:

Bahaya di Kuala Selangor

Bahaya di Kuala Selangor

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my


Pengguna kenderaan dapat mengelak lubang longkang yang terbuka pada waktu siang tetapi pada waktu malam risiko untuk terjerumus ke dalamnya lebih tinggi.


KUALA SELANGOR 9 Mei - Para pengguna yang melalui Jalan Haji Idris, Pekan Lama Kuala Selangor di sini bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kehilangan beberapa penutup lubang longkang di laluan tersebut.

Setiap kali melalui jalan terbabit mereka terpaksa memandu dengan berhati-hati bagi mengelak daripada terjatuh ke dalam longkang tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa penutup longkang lesap, dipercayai angkara pengutip barangan besi terpakai, hingga mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan.

Khuatir terdapat kenderaan yang terjunam ke dalam longkang berkenaan, orang ramai terpaksa meletakkan dahan-dahan pokok sebagai tanda amaran kepada para pengguna agar berhati-hati.

Seorang kontraktor pembinaan, Azlan Adnan, 45, berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan penutup longkang yang diperbuat daripada besi itu dengan bahan konkrit supaya ia tidak dicuri lagi.

"Saya khuatir pengguna yang arif dengan laluan tersebut tidak menyedari lubang longkang di situ sudah tidak mempunyai penutup. Ini amat bahaya terutama ketika waktu malam.

"Biasanya penunggang motosikal yang terdedah kepada risiko kemalangan kerana tidak sempat mengelak lubang longkang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang penunggang motosikal, Azman Alias, 24, berkata, PBT perlu memastikan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti dan tidak mendedahkan risiko bahaya kepada para pengguna jalan raya.

Bagi Zarina Zainal, 29 berkata, PBT berkenaan perlu segera menggantikan penutup lubang longkang tersebut supaya dapat menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan imej pekan tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pembeli Apartmen Fadason tarik nafas lega

Posted:

Pembeli Apartmen Fadason tarik nafas lega

Pembeli Apartmen Fadason tarik nafas lega


Nor Azmi Mat Ludin (kanan) memberi penerangan kepada wakil KPKT, DBKL dan wartawan mengenai kelewatan projek pembinaan apartmen Taman Fadason Fasa 4A2 di Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 9 Mei - Pembeli unit Apartmen Fadason Fasa 4A2, Kepong, kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan pembangunan bercampur yang telah tergendala sejak empat tahun lalu itu akan disiapkan selewat-lewatnya pada pertengahan September ini.

Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, melalui perjumpaan bersama pemaju Fadason Holdings Sdn. Bhd. serta pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 29 April lalu, pemaju berjanji untuk meneruskan projek berkenaan.

Katanya, pemaju bukan sahaja perlu menyiapkan baki lima peratus projek itu dalam tempoh tiga bulan, tetapi turut diberi tempoh lanjutan satu bulan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan pemeriksaan kerja-kerja bangunan.

Selain itu pemaju turut berjanji akan memenuhi beberapa tuntutan pembeli termasuk membayar pampasan berjumlah RM20,000.

"Bagaimanapun wang pampasan hanya akan diserahkan kepada pembeli enam bulan selepas pihak berkuasa tempatan mengeluarkan Perakuan Kelayakan Menduduki (CF)," katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Fadason Holdings, Nor Azmi Mat Ludin.

Poh Ping berkata, sekiranya pihak pemaju gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan, pembeli boleh membuat tuntutan kelewatan (LAD) mengikut perjanjian jual dan beli yang telah ditandatangani sebelum ini.

"Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan. Kegagalan pemaju menyiapkan projek berkenaan menyebabkan beban kos yang terpaksa ditanggung pembeli," ujarnya.

Beliau menambah, keputusan itu memberi situasi menang-menang kepada pembeli dan pemaju yang turut berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga menyebabkan projek berkenaan terbengkalai.

Sementara itu Nor Azmi berkata, pihaknya berusaha keras untuk menyiapkan projek berkenaan dan berjanji menyerahkannya kepada pembeli pada tempoh yang ditetapkan.

"Kami juga berterima kasih dan mengharapkan kerjasama semua pihak agar hasrat ini tercapai, pada masa sama berharap pembeli dapat bersabar," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

M4P perkasa suara rakyat

Posted:

M4P perkasa suara rakyat

M4P perkasa suara rakyat


Ahmad Fuad Ismail (kanan) dan Zulhasnan Rafique (dua dari kanan) bersama-sama melancarkan Majlis Permuafakatan Persatuan Penduduk dan Penghuni (M4P) Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 9 Mei – Parlimen Setiawangsa mencatat satu lagi sejarah dalam usahanya untuk memperkasakan suara penduduk melalui pelancaran Majlis Permuafakatan Persatuan Penduduk dan Penghuni Parlimen Setiawangsa (M4P) yang dilancarkan kelmarin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail menyempurnakan majlis pelancaran tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang mengilhamkan penubuhan majlis tersebut.

Zulhasnan yang juga Pengerusi BN Parlimen Setiawangsa berkata, penubuhan majlis itu adalah usaha untuk memperkuatkan lagi 'suara masyarakat' selaras dengan Gagasan 1Malaysia.

Katanya, M4P yang merupakan gabungan bukan kerajaan yang menyatupadukan kesemua 62 buah persatuan penduduk dan penghuni di Parlimen Setiawangsa adalah satu mercu tanda baru di dalam usaha pembangunan visi Setiawangsa Gemilang.

"Asas kepada kejayaan kita selama ini ialah kesanggupan kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan latar belakang untuk sama-sama bekerja dalam satu pasukan yang besar menggunakan ideologi Bersama-Bersatu-Berjaya (3B)," katanya.

Penubuhan M4P yang dirancang sejak lapan bulan lalu adalah bertujuan memastikan suara dan pandangan warga dan persatuan di kawasan Parlimen Setiawangsa dapat disalurkan secara efektif dan berkesan menerusi satu medium yang mewakili kepentingan mereka.

"Saya yakin dengan pembentukan majlis ini, masalah penduduk setempat akan dapat disampaikan terus kepada persatuan yang menggunakan platform M4P untuk berkomunikasi secara terus dan dekat sama ada dengan wakil rakyat ataupun dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," kata Zulhasnan.

Beliau yang juga Penaung M4P turut mencadangkan majlis itu merencanakan pertemuan berkala dengan DBKL dan agensi-agensi kerajaan yang lain setiap tiga bulan.

Langkah itu bagi memastikan segala isu yang dibangkitkan khususnya mengenai pembangunan dan kesejahteraan warga dan penduduk setempat dapat diperhalusi seterusnya dibawa ke perhatian pihak berkenaan dan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu Ahmad Fuad dalam ucapannya berkata, pembentukan M4P ini merupakan inisiatif yang baik dan efisien untuk merapatkan lagi hubungan bersama persatuan penduduk yang bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan malah dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih sistematik lagi.

"Ini satu pendekatan yang terbaik untuk merakyatkan Parlimen melalui satu bentuk kerjasama yang rapat antara Ahli Parlimen dan juga persatuan-persatuan penduduk," katanya lagi.

Pada majlis tersebut, Zulhasnan turut menyampaikan sumbangan daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa sebanyak RM1,000 kepada setiap 62 persatuan penduduk yang menaungi M4P untuk memantapkan pengurusan dan mengatur strategi dan perancangan aktiviti di kawasan masing-masing.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan