Utusan Online - Dalam Negeri |
- Acara dalam bahasa Melayu
- Tukar nama sekolah vokasional jadi kolej
- Rapatkan jurang untuk tingkat kerjasama sektor industri - akademik
Posted: Acara dalam bahasa MelayuOleh Rosni Hassan
COPENHAGEN 10 Mei – Acara-acara antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia mungkin akan dikendalikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya pada masa akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Katanya, beliau tidak nampak pelaksanaannya akan mendatangkan masalah besar jika segala kemudahan dan logistik yang diperlukan seperti menyediakan penterjemah dapat dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah. Sebagai contoh jelas beliau, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono baru-baru ini menyampaikan ucapan dasar dalam bahasa Indonesia dan ia disiarkan oleh pihak media ke seluruh negara. ''Ia boleh dilakukan kerana di rantau ASEAN saja mungkin lebih separuh penduduk dapat memahami bahasa Indonesia dan bahasa Melayu. ''Begitupun jika ia hendak dilakukan, mesti ada persediaan seperti dari segi penterjemah dan sebagainya, itupun saya tidak fikir akan menjadi satu masalah besar," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. Mengenai cadangan supaya Malaysia membantu menghantar tenaga pengajar untuk mengajar bahasa Melayu bagi anak-anak warga Malaysia yang berada di luar negara, Muhyiddin berkata, beliau akan meminta Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi melaksanakannya. ''Mungkin kita boleh memberikan kursus kepada bakal tenaga pengajar yang ada di sini sebagai contoh dengan membawa mereka ke Malaysia atau kita menghantar tenaga pengajar Malaysia di kalangan guru mahir berbahasa Melayu ke sini," katanya. Menurut Muhyiddin, beliau memahami kebimbangan warga Malaysia di luar negara terhadap anak-anak mereka yang mungkin tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik apabila pulang ke tanah air kerana tidak berpeluang untuk mempelajari bahasa kebangsaan itu. Sehubungan itu, jelas beliau, perkara tersebut akan dikaji terlebih dahulu bagi menentukan pendekatan yang paling sesuai untuk melaksanakannya dengan mengambil kira pelbagai aspek. – Utusan | ||
Tukar nama sekolah vokasional jadi kolej Posted: Tukar nama sekolah vokasional jadi kolejCOPENHAGEN 10 Mei - Nama sekolah vokasional akan ditukar kepada kolej vokasional sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan. Perubahan itu, jelas beliau, sedang dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kurikulum, tempoh pembelajaran di kolej serta kursus lanjutan yang boleh ditawarkan. Menurutnya, ia dilakukan antara lain bagi menghapuskan tanggapan bahawa hanya pelajar yang tidak memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik akan disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal. ''Kebiasaannya pelajar akan disalurkan untuk mengambil bidang vokasional dan teknikal kalau mereka tak memperoleh pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, maka itulah peluang mereka yang kedua, kalau tak ada peluang lain. ''Ini satu pendekatan yang tidak tepat kerana di negara maju sekalipun aspek vokasional diletakkan sebagai pilihan sama dengan bidang akademik," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata, prestasi setiap pelajar akan dinilai dan jika di peringkat awal lagi seperti ketika di sekolah menengah rendah kecenderungan mereka adalah dalam hal yang tidak terlalu akademik, maka pelajar terbabit akan terus disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal. Jelasnya, kalau pun tidak disalurkan ke sekolah vokasional sepenuhnya, mereka boleh mengikuti kursus pra vokasional dalam sistem pendidikan biasa supaya di peringkat awal lagi mereka dapat mengikuti bidang vokasional dan teknikal yang diminati. Ditanya kemungkinan kolej-kolej vokasional itu menjalin kerjasama dengan institusi lain, Muhyiddin berkata, ia boleh dilakukan dengan institusi pengajian di negara-negara maju termasuk Eropah menerusi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar. - utusan Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Rapatkan jurang untuk tingkat kerjasama sektor industri - akademik Posted: Rapatkan jurang untuk tingkat kerjasama sektor industri - akademikCOPENHAGEN 10 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor industri dan ahli akademik perlu mencari pendekatan sesuai untuk menentukan bentuk kerjasama yang boleh dijalin dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial dengan matlamat memastikan kedua-dua pihak mendapat faedah daripada kerjasama itu. Menurut Timbalan Perdana Menteri, bagi menjayakan kerjasama ini, kedua-dua pihak terlebih dahulu perlu mengurangkan jurang atau halangan yang dihadapi, memandangkan pihak industri dan akademik mempunyai keutamaan serta minat yang berbeza. Dalam hal ini, jelas beliau, pihak universiti mengutamakan peranan institusi untuk mewujudkan pengetahuan baru dan usaha-usaha membangunkan bidang pendidikan, sedangkan pihak industri dan perniagaan lebih memfokuskan kepada mendapatkan pengetahuan untuk lebih berdaya saing. ''Sehubungan itu, adalah penting untuk pihak akademik dan industri mengurangkan halangan itu bagi mewujudkan kerjasama yang tulen dan dapat memberi faedah bersama dengan memfokus kepada soal kepercayaan dan memperluaskan interaksi," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) ketika (ASEMME3) di sini hari ini. Muhyiddin percaya, gabungan kerjasama pihak industri dan akademik boleh dibentuk, dikekalkan malah, dipertahankan sekiranya wujud budaya kerjasama yang antara lain memerlukan kedua-dua pihak saling memahami dan mempunyai komitmen yang jelas tentang usahasama yang dilakukan itu. Selain itu, jelas beliau, perlu juga ada pengurusan yang mantap di pihak universiti, pemahaman yang jelas tentang objektif yang ingin dicapai dan matlamat kerjasama tersebut bagi kedua-dua pihak. Dalam hubungan ini, jelas beliau, matlamatnya antara lain untuk membantu institusi pendidikan tinggi berkembang lebih maju bagi melahirkan modal insan yang bukan setakat dapat memenuhi tuntutan industri tetapi dapat membangunkan ilmu pengetahuan. Sementara itu, Muhyiddin pada sidang akhbarnya memberitahu, ucapan beliau itu antara lain bagi menyatakan komitmen Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan lebih rapat dalam bidang pendidikan antara Asia dan Eropah. ''Saya percaya kita boleh menimba banyak pengalaman menerusi pencapaian negara-negara Eropah melalui perkongsian bijak dalam bidang pendidikan antara Timur dan Barat, pada Malaysia ia agak penting dan dalam beberapa hal kita telah mendepani kemajuan dalam bidang pendidikan," katanya. Jelasnya, antara bidang yang Malaysia agak ke hadapan adalah dalam soal jaminan kualiti justeru ia boleh menjadi penghubung untuk membantu memajukan institusi pendidikan di negara yang sedang membangun terutama di kalangan negara-negara Islam. Dalam konteks itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) jelas beliau, mungkin boleh berperanan bersama-sama dengan badan lain di peringkat Eropah untuk memajukan bidang tersebut dengan membantu proses mobiliti antara pelajar dan tenaga pengajar di benua Asia dan Eropah. Selain itu, kata beliau, soal pembelajaran sepanjang hayat juga menjadi tumpuan dan dalam hal ini Malaysia sudah pun memulakannya melalui penubuhan kolej-kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan