Isnin, 16 Mei 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


DAP mahu KDN bertindak, dakwa Umno lindungi Perkasa

Posted: 16 May 2011 12:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Mei — DAP menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang melahirkan kesediaan melancarkan "perang jihad" ke atas komuniti Kristian jika meneruskan agenda mahu "merampas" kedudukan Islam di negara ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein harus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk Ibrahim yang menyemarakkan api perkauman dan keagamaan.

"Keengganan Umno mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali dan Perkasa akan mewujudkan suasana tidak aman selain akan berlaku ketegangan di kalangan rakyat Malaysia.

"Selain itu, ia menunjukkan seolah-olah Umno melindungi Perkasa walaupun Perkasa cuba menghasut rakyat membenci komuniti Kristian.

"Keengganan Menteri Dalam Negeri mengesahkan lagi Umno sekadar berlakon untuk melindungi Ibrahim dan Perkasa," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim (gambar) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan laporan berunsur fitnah terbitan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian Agama Rasmi?", 7 Mei lalu, memberi peluang keemasan Ibrahim untuk mewujudkan kebencian kepada komuniti Kristian.

"Pembohongan yang berbahaya oleh Utusan Malaysia telah memberi satu peluang keemasan kepada pelampau-pelampau seperti Ibrahim Ali untuk mecetuskan kebencian dan menghasut permusuhan di kalangan rakyat Malaysia.

"Hishammuddin terus mempertahankan Ibrahim Ali dan Perkasa walaupun mahu melancarkan jihad menentang komuniti Kristian, bayangkan bagaimana jika komuniti Kristian melancarkan jihad menentang orang Islam... sudah pasti dia akan ditangkap dengan segera," katanya.

Dalam ceramah di Gombak kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan "perang jihad" jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang.

Bagaimanapun Hishammuddin menegaskan apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

"Saya tidak melihat Ibrahim Ali mewakili keseluruhan orang Melayu atau (masyarakat) Muslim (negara ini). Seperti Osama bin Laden, beliau tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

"Ada pihak pelampau. Saya tidak mengatakan Ibrahim Ali ekstremis, tolong jangan salah petik saya, tetapi saya mengatakan ada tahap pemahaman yang berlainan," katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta polis agar menyiasat ucapan-ucapan Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

MAIWP mahu naik taraf Institut Profesional Baitulmal universiti

Posted: 16 May 2011 12:13 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang memajukan Institut Profesional Baitulmal (IPB) dengan mengangkat pusat pengajian tinggi itu setaraf dengan universiti atau kolej.

Pengerusi MAIWP Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, rancangan untuk memajukan IPB telah dibincangkan dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat badan itu akan datang.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, IPB perlu dinaik taraf agar ia mampu bersaing dengan pusat pengajian tinggi yang lain.

"Jika IPB berjaya mendapatkan taraf sebagai salah sebuah universiti dari Kementerian Pengajian Tinggi, sekurang-kurangnya pelajar dari institut ini berasa bangga apabila dia keluar dan tamat belajar dari IPB.

"Ini kerana IPB dilihat sebagai salah satu institusi yang menjadi jalan penyelesaian masalah kepada fakir miskin dan golongan asnaf supaya mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Baru IPB di sini.

IBP merupakan institut pengajian tinggi di bawah MAIWP dengan tujuan memberi peluang kepada orang Islam yang tidak dapat melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi kerana tidak berkempampuan dari segi kewangan.

Sehingga kini penuntut di IPB sudah mencecah 1,837 orang yang mana MAIWP memperuntukkan RM12 juta setahun bagi membiayai yuran pengajian dan elaun sara hidup penuntut yang terdiri daripada golongan miskin.

Antara program yang ditawarkan di IPB adalah Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Sains Komputer, Diploma Sistem Maklumat Perakaunan dan Pradagangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu Pengerusi IPB Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz yang memulakan tugas itu secara rasmi bermula awal bulan ini berkata cadangan menaik taraf pusat pengajian tinggi itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

"Itu tugas pertama yang saya akan lakukan untuk selepas menjadi pengerusi kepada IPB.

"Tetapi IPB juga perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk dinaik taraf menjadi sebuah kolej atau universiti di Malaysia," katanya yang mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Hanafiah Ahmad.

Jelas beliau, walaupun MAIWP berhasrat menaik taraf IPB, namun ia akan terus mengekalkan matlamat penubuhan pusat pengajian tinggi itu yang ditubuhkan pada 1992.

"Saya mahu IPB tetap dengan misi mereka mahu mengasilkan graduan yang profesional khususnya kepada pelajar golongan Muslim," kata bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan