Selasa, 17 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Kasih ibu didik anak SD berdikari

Posted:

Kasih ibu didik anak SD berdikari

Kasih ibu didik anak SD berdikari

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF



HABIBAH JAAFAR, 56, tersenyum lega mendengar ucapan tahniah daripada doktor. Akhirnya, bayi bongsu yang dikandung selama sembilan bulan selamat dilahirkan secara normal.

Kelahiran seorang bayi perempuan disambut dalam suasana yang bahagia memandangkan lebih sedekad rumah wanita kelahiran Muar, Johor itu tidak mendengar tangisan anak kecil. Namun, kegembiraan itu direntap seketika dengan khabar mengejutkan daripada doktor.

"Anak saya menghidap sindrom Down (SD). Saya sedikitpun tidak berasa kecewa tetapi, hati menjadi sayu apabila memikirkan adakah SD akan menyebabkan anak saya tidak boleh berjalan?

"Namun, segala kekusutan yang berselirat dalam fikiran dilerai satu persatu oleh doktor yang banyak membantu dari segi sokongan moral dan informasi kesihatan.

"Dia turut menerangkan bahawa anak-anak SD mampu menikmati kehidupan yang baik sekiranya dilatih dan dididik seperti individu normal," imbas Habibah, yang merujuk kepada puteri bongsunya, Nassuhada Ngasri, 16.

Meskipun begitu, Habibah melihat Nassuhada memiliki personaliti menghiburkan. Puterinya yang mesra disapa sebagai Baby itu dikatakan suka menari, menyanyi dan mesra diajak berbicara.

Pada masa yang sama, dia rajin mengemas rumah dan pembersih. Setiap hari Baby memastikan kamar tidurnya dikemas dan helaian baju dilipat serta disusun teratur di dalam almari.

Sekiranya tidak mempunyai agenda di luar rumah, Baby lebih selesa bersantai di dalam bilik bacaan. Kadangkala dia sanggup menghabiskan masa sehari suntuk membaca buku, menulis dan belajar menerusi perisian akademik di komputer riba miliknya.

"Sejak kecil saya melatih Baby berdikari dan melakukan aktiviti sama seperti kakak dan abangnya. Ini penting bagi meningkatkan keyakinan diri dan sekali gus mengelakkan Baby berasa terpinggir. Saban hari kami sekeluarga tidak jemu-jemu memberi kata-kata motivasi kepada Baby bahawa dirinya pemberian Tuhan yang istimewa dan penyeri keluarga," ujar Habibah.

Anak istimewanya itu mudah dijaga dan menurut kata. Kehidupannya banyak dihabiskan bersama keluarga dan di sekolah. Baby juga tidak cerewet dan tidak sesekali keluar rumah tanpa ditemani keluarga.

Menginjak usia tujuh tahun, Baby dihantar ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Batu 4 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur supaya dia bergaul dan belajar bersama rakan-rakan senasibnya.

"Tapi, sesi persekolahan itu bertahan selama dua tahun saja. Alasan Baby, dia enggan ke sekolah kerana berasa pelik melihat wajah yang kawan-kawan sama seperti wajahnya," ujar Habibah yang juga merupakan ibu kepada pelakon Nasliza, 38; Naszeli, 37; Nasrizal, 31, Nasreen, 28 dan Nasriah, 27.

Suka ke sekolah


FATIMAH (kiri) membantu Suriati menghafal skrip teater Gadis Berselendang Merah.


Sementara itu, Baby yang kelihatan ceria dalam persalinan baju T warna jingga dan berseluar jean itu, tersenyum setiap kali mendengar pujian ibunya.

Menyedari dilahirkan berbeza seperti adik-beradik yang lain, Baby sedikitpun tidak berasa rendah diri. Sebaliknya, bersyukur kerana dikelilingi insan yang menyayanginya sepenuh hati.

"Abang dan kakak selalu memenuhi keperluan saya. Mereka kerap membawa saya bersiar-siar tanpa rasa malu dengan pandangan orang sekeliling. Jika tiada kelas atau latihan pementasan teater saya suka menemani Darling (Nasreen) ke pejabat," tutur Baby yang kini bersekolah di Vokasional Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Jalan U-Thant, Kuala Lumpur.

Sambil membetulkan rambutnya yang paras bahu itu, Baby yang pernah membintangi drama bertajuk Harijadi Su dan Istimewa memberitahu, setiap hari dia teruja untuk ke sekolah. Dia enggan melepaskan peluang belajar memasak, kelas berlakon, menjahit dan kelas rumah tangga.

Tabah cercaan masyarakat

Dalam pada itu, Fatimah Hassan, 60, juga salah seorang ibu yang tabah membesarkan anak sindrom down. Sejak melahirkan Suriati Mohd. Nor, kehidupan Fatimah bertukar secara drastik. Kini, perhatian dan segala kudrat yang ada dilimpah sepenuhnya kepada puteri bongsunya itu.

Fatimah yang melahirkan Suriati ketika usianya mencecah 36 tahun masih gigih menghantar anaknya ke sekolah pendidikan khas setiap hari biarpun terpaksa berulang-alik menaiki teksi. Apa yang penting anak gadisnya yang berusia 25 tahun itu mendapat pendidikan secukupnya.


BABY bukan sahaja boleh menguruskan diri sendiri bahkan, melakukan kerja rumah seperti melipat kain dan menyapu sampah.


"Saya sudah lali dengan cemuhan dan cacian daripada sesetengah pihak. Macam-macam gelaran yang kurang baik dilemparkan kepada Suriati. Ada yang memanggilnya bodoh, lembam dan cacat. Tidak kurang juga ada yang menyifatkan tindakan saya menghantarnya ke sekolah hanya sia-sia kerana Suriati tidak boleh diubah.

"Padahal sangkaan itu silap. Sebagai ibu, saya berbangga dengan pencapaian Suriati walaupun dia orang kelainan upaya (OKU) tetapi, dia bijak menguruskan diri sendiri. Ini termasuklah melakukan kerja rumah dan memasak," jelasnya yang turut menghantar Suriati melakukan terapi fisioterapi.

Fatimah memberitahu, sekiranya mempunyai waktu lapang, Suriati menerima upah daripada jiran-jiran dengan melakukan kerja mengupas kulit bawang dan kentang.

Melihat kesungguhan Suriati yang suka melakukan aktiviti yang melibatkan kreativiti, Fatimah menggalakkan anaknya menyertai pementasan teater anjuran sekolah mahupun pihak PSDM. Biasanya, Fatimah bertanggungjawab membantu Suriati menghafal skrip dan lagu yang bakal dipersembahkan.

Setakat ini, Suriati yang suka menabung dan berjimat-cermat pernah membintangi teater muzikal Living Forest yang merupakan projek kebajikan memperkenalkan anak-anak SD ke dunia pementasan teater. Lebih membanggakan teater berkenaan tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Isu-isu kesihatan

Secara ringkasnya, nama sindrom down diambil sempena nama doktor Inggeris, Dr. John Langdon Down. Dia merupakan individu pertama yang menghurai secara terperinci tentang sindrom tersebut.

Sindrom down adalah suatu kejadian semula jadi sewaktu kehamilan yang disebabkan kromosom tambahan pada kromosom 21. Ironinya, setiap individu normal mempunyai 46 kromosom (23 pasang) tetapi, individu SD pula sebaliknya. Mereka mempunyai lebih satu kromosom pada kromosom 21 yang menjadikannya 47 kromosom.

Menurut Dekan Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Aishah Adam, sehingga kini pengamal perubatan masih belum mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan lebihan kromosom.

"Ia tiada kena-mengena dengan mitos yang mendakwa kelahiran anak istimewa ini berpunca daripada perbuatan negatif ibu bapa kepada si bayi.

"Seharusnya kita menerima kehadiran mereka di dunia ini dengan hati yang terbuka. Mereka wajar diberi perhatian dari aspek sosial kehidupan dan kesihatan dari semasa ke semasa. Ini disebabkan individu SD turut mengalami beberapa masalah kesihatan sampingan," ujar Aishah pada Persidangan Kesihatan Sindrom Down 2011 di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Selain masalah jantung kongenital iaitu pertumbuhan asal yang tidak sempurna, individu SD turut berhadapan masalah penghadaman, kekurangan pendengaran, masalah mata seperti ralat pembiasan dan katarak serta ketidakstabilan tulang servik (ortopedik).


AKTIVITI menjahit membantu meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak SD.


Tambah Aishah: "Bukan itu saja, sesetengah individu SD juga mempunyai masalah otot lemah (hiptonia) yang menyukarkan mereka untuk mengunyah, menelan dan air liur sentiasa meleleh. Pergerakan badan sering tidak teratur dan kerap mengalami sembelit.

"Justeru amat penting ibu bapa memberi anak-anak SD makanan seimbang yang baik untuk tulang dan penghadaman. Selain itu, jangan biarkan anak-anak terperap saja di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti yang menyihatkan badan seperti bermain, membaca buku, berjalan ataupun menari.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komuniti Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Sharifah Zainiyah Syed Yahya menegaskan, masalah SD bukan alasan bagi ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka juga memiliki cita-cita dan impian peribadi sama seperti individu normal.

Sehubungan itu, ibu bapa amat digalakkan menghantar anak-anak belajar di sekolah khas yang terlatih dan profesional bagi meningkatkan keupayaan diri sekali gus melatih mereka berdikari dan bersosial bersama rakan-rakan. Di sekolah kanak-kanak SD didedahkan kepada sistem pembelajaran yang terdiri daripada aspek kemahiran motor kasar dan motor halus serta kemahiran sosial.

"Perlu diketahui kanak-kanak SD berhadapan masalah kelewatan tumbesaran badan dan perkembangan pembelajaran. Sebab itu, mereka sukar untuk bertutur dengan baik dan sedikit tinggalan dalam bab membaca dan menulis.

"Atas faktor itu, ibu bapa digalakkan menghantar anak-anak melakukan program intervensi awal seawal usia enam bulan," terang Sharifah Zainiyah yang dikurniakan seorang anak sindrom Down, Raja Nadia Raja Mustapha, 15.

Jelasnya, di Malaysia dianggarkan seramai 50,000 mengalami masalah sindrom down. Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak lima hingga 10 peratus populasi di dunia ini merupakan OKU.

"Jangan mengurung anak sindrom down sebaliknya latih mereka melakukan bermacam-macam perkara seperti kerja rumah, menjahit, melukis atau menari. Mengalakkan anak-anak melakukan kepelbagaian tugasan yang melibatkan tangan mereka sendiri, sebenarnya membantu meningkatkan kekuatan kemahiran motor halus mereka," jelas Sharifah Zainiyah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ketagihan teknologi menular di Asia

Posted:

Ketagihan teknologi menular di Asia

Ketagihan teknologi menular di Asia


PELBAGAI aplikasi dan peranti elektronik terkini telah mencetus ketagihan terhadap 'kehidupan' baru secara dalam talian.


SEORANG bayi perempuan telah menemui ajal apabila ibu bapanya sibuk membesarkan 'anak' dalam aplikasi dunia maya. Dalam satu kes lain, seorang kanak-kanak lelaki telah membunuh diri selepas membunuh ibunya kerana dimarahi akibat bermain permainan video berlebihan.

Senario tersebut merupakan sebahagian daripada kisah tragis yang menunjukkan peningkatan ketagihan teknologi telah menular di rantau Asia.

Lebih 100 juta telefon pintar dijual di rantau Asia Pasifik setiap tahun dan dijangka akan meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh lima tahun. Ia merupakan pasaran terbesar bagi peranti mudah alih terkini.

Seiring kemajuan industri telekomunikasi, laman jaringan sosial dan permainan mudah alih turut mengalami transformasi apabila semakin mendapat tempat malah kebanyakan golongan muda Asia sukar membiasakan diri tanpa peranti mudah alih mahupun komputer.

Resah tanpa Twitter

"Saya rasa, anda boleh mengatakan bahawa saya ini ketagihan," akui seorang pelajar universiti di Singapura,

Hanna Ruslana lebih kerap berhubung dengan rakan universiti melalui Twitter berbanding secara berdepan di kampus.

Pelajar universiti itu sering melakukan semakan melalui peranti iPhone miliknya sekurang-kurangnya 15 minit sekali dan menyelenggara akaun Facebook, Twitter, Foursquare dan LinkedIn.

Apabila Twitter tidak dapat digunakan, dia dan rakan-rakannya akan menunggu dalam keadaan cemas.

Bagaimanapun, keadaan tersebut masih boleh dianggap kecil berbanding kisah tragis di Korea Selatan yang merupakan salah sebuah negara yang mempunyai masyarakat pengguna peranti elektronik terbesar.

Pada Disember lalu, seorang ibu telah ditahan kerana didakwa menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun ketika sibuk bermain permainan di internet.

Lebih memilukan, seorang remaja berusia 15 tahun di Busan, Korea Selatan telah membunuh diri selepas membunuh ibunya kerana memarahi dia mengenai tabiat permainannya.

Pada bulan Mei 2010 pula, seorang lelaki berusia 41 tahun dari negara yang sama telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun selepas dia dan isterinya membiarkan bayi perempuan mereka menemui ajal akibat pemakanan tidak seimbang sedangkan mereka sibuk membesarkan 'anak' dalam aplikasi siber.

Kerajaan Seoul menjangkakan terdapat dua juta penagih web dalam negara yang mempunyai populasi kira-kira 50 juta penduduk itu.

Bermula pada tahun ini, mereka yang terdedah kepada tabiat ketagihan itu akan diberikan perisian percuma untuk mengehadkan penggunaan laman web.

Keadaan itu juga telah membuatkan Parlimen negara tersebut mempertimbangkan perangkaan undang-undang bagi mengharamkan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah bermain permainan dalam talian di antara tengah malam hingga 6 pagi.

Gajet untuk komunikasi


KOREA SELATAN sedang mempertimbangkan undang-undang untuk mengehadkan tempoh masa kanak-kanak bermain permainan dalam talian.


Di Singapura pula, satu kaji selidik yang dilaksanakan terhadap 600 pelajar universiti dan politeknik awal tahun ini menunjukkan 88 peratus daripada mereka gemar berkomunikasi melalui teknologi berbanding bersemuka.

Dalam republik pulau yang mencatatkan statistik 1.4 telefon bimbit bagi setiap orang itu, lebih 40 peratus responden menghabiskan masa mereka lebih daripada empat jam sehari terpaku di telefon bimbit dan kebanyakannya mempunyai sambungan web.

Pengarah klinikal perkhidmatan pengurusan kesakitan secara peribadi, Hospital Raffles, Ho Kok Yuen menyamakan rasa ketagihan penagih teknologi menyamai penagih dadah dan ia memerlukan rawatan perubatan tertentu.

"Jadi, ia akan menyebabkan sifat abnormal, iaitu kelakuan bernafsu tersebut akan menjurus kepada memudaratkan seseorang atau masyarakat di sekelilingnya," kata Kok Yuen.

Di Jepun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah memberi amaran ketagihan golongan muda terhadap permainan dan telefon bimbit boleh membuatkan mereka bersikap sambil lewa dan merosakkan perhubungan sosial serta kesihatan.

Pusat Perhubungan Hal Ehwal Pengguna Kebangsaan Jepun berkata, kes-kes perundingan berkaitan permainan dalam talian telah meningkat kepada 1,692 pada tahun 2010.

Ia hanya melibatkan 1,437 kes pada tahun 2009 dan kesemuanya melibatkan golongan muda.

Di Malaysia, penduduk telah menunjukkan minat mendalam terhadap laman jaringan sosial.

Pada November lalu, satu kajian yang dikeluarkan firma penyelidik global, TNS, mendedahkan, penduduk Malaysia merupakan orang yang paling bersosial di Internet iaitu dengan mempunyai purata 233 sahabat di rangkaian mereka berbanding 68 di China dan 29 Jepun.

Pusat Ketagihan Sains, Universiti Malaya, berkata, mereka menerima kira-kira 50 kes apabila memulakan kajian berhubung ketagihan terhadap laman rangkaian sosial, Facebook pada tahun 2009.

Pada tahun lalu, kes-kes telah meningkat sehingga 70 dan kebanyakannya melibatkan golongan muda.

"Ia lebih biasa dalam kalangan golongan muda kerana mereka mempunyai pendedahan kepada Internet dan laman rangkaian sosial.

"Mereka lebih cenderung terikat kepada komputer dan mengabaikan cara bermasyarakat," kata Timbalan Ketua Koordinator Pusat berkenaan, Muhammad Muhsin Ahmad Zahari. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tuah dada wanita terkaya Britain

Posted:

Tuah dada wanita terkaya Britain

Tuah dada wanita terkaya Britain

Dianugerahkan susuk tubuh yang memukau mata lelaki dan ditambah pula keindahan busana pereka fesyen terkemuka, kemunculan Kirsty Bertarelli sememangnya mencuri tumpuan dalam mana-mana majlis keraian.


KIRSTY dikatakan memiliki mata yang cantik dan senyuman yang menawan.


"DIA jauh tersasar daripada jangkaan saya. Amat merendah diri dan mudah bergaul. Dia berdansa di atas meja. Dia lantang dan gemar berseronok," kata seorang tetamu di sebuah parti yang dihadiri Kirsty pada musim panas tahun lalu di selatan Perancis.

Pendek kata, hidup Kirsty Bertarelli dilimpahi keseronokan.

Dilahirkan sebagai Kirsty Roper di bandar kecil Staffordshire, England, gadis pingitan itu baru sahaja dinobatkan wanita terkaya Britain menerusi ikatan perkahwinannya dengan pewaris empayar farmasi Switzerland-Itali, Ernesto Bertarelli.

Dalam senarai wanita terkaya Britain pada tahun ini, dia berada di kedudukan teratas dan tersendiri sekali gus memintas Ratu Elizabeth II, J.K. Rowling dan Slavica Ecclestone.

Masakan tidak, kerana aset bersama Kirsty dan suaminya dianggarkan mencecah £6.87 bilion (RM33 bilion).

Ratu cantik


KIRSTY berjinak-jinak dengan dunia ratu cantik semasa berusia 17 tahun.


Dengan rambut perangnya, bibir mongel dan paras rupa menawan, tidak sukar untuk meneka mengapa Ernesto boleh tertawan pada wanita itu kali pertama mereka bertemu.

"Mudah sahaja, Kirsty ada rupa, Ernesto pula miliki wang. Wanita itu juga membuatkan hidupnya seronok," kata seorang rakan pasangan tersebut.

Kepada keluarga hartawan Bertarelli yang berpindah dari Itali ke Switzerland pada tahun 1970-an susulan ugutan culik oleh kumpulan militan Briged Merah, Kirsty tak ubah seperti jelitawan eksotik apabila mereka pertama kali melihatnya dalam dakapan Ernesto.

Wanita itu jauh berbeza dengan mana-mana gadis yang dianggap sepadan dengan pewaris kekayaan empayar farmasi tersebut.

Buat permulaan, Kirtsy merupakan bekas ratu cantik Britain dan pemenang tempat ketiga Miss World. Dia juga gemar berpakaian seperti seorang gadis rock kerana itulah dirinya yang sebenar - gadis yang meminati bidang muzik dan memiliki kerjaya kedua sebagai pencipta lagu pop.

Malah, semasa Kirsty pertama kali bersua dengan Ernesto di Sardinia, Itali dia mencipta sebuah lagu cinta untuknya yang berjudul Black Coffee.

Lagu tersebut kemudian muncul sebagai lagu popular kumpulan penyanyi wanita Britain, All Saints.

Jika ramai lelaki berfantasi untuk dibuai cinta seorang bekas ratu cantik, kehadiran Kirsty adalah satu realiti untuk Ernesto.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 2000 di Switzerland dalam majlis yang dipenuhi pemandangan menarik Banjaran Alphine disusuli parti untuk 250 tetamu di Geneva.

Menyoroti kehidupan harian mereka seterusnya sebagai pasangan suami isteri boleh menimbulkan perasaan cemburu di sanubari sesiapa sahaja.

Seiringan bersama, dia dan Ernesto akan berseronok dalam parti hujung minggu yang diadakan di atas kapal persiaran mereka, Vava, di perairan Selatan Perancis dan Sardinia.

Jaga penampilan


KEKAYAAN KIRSTY dan Ernesto kini melebihi harta Ratu Elizabeth II.


"Seperti anda jangkakan, terdapat hidangan arak mahal dan tetamu yang hebat," kata seorang rakan yang menghadiri parti tersebut.

Ernesto kemudian akan membenarkannya bersantai bersama rakan-rakan perempuannya di atas kapal berkenaan untuk mengembalikan tenaga selepas penat berparti.

"Mereka membuang toksin, mengawasi berat badan, memakan salad, kacang almond dan menolak satu sama lain ke dalam laut apabila sudah penat," kata seorang rakannya.

Kirsty semenangnya mementingkan penjagaan kejelitaan aslinya dan dia dikatakan amat menyukai jenama Dior, Chanel dan Armani.

Wanita itu merupakan segelintir individu bertuah yang memiliki tubuh menawan, wang dan gaya hidup elegan.

Dia pernah muncul dengan memakai seluar legging berharga £3,000 (RM14,588) sewaktu menyanyi di sebuah konsert persendirian di Switzerland.

Namun, adalah silap untuk menyatakan Kirsty dan Ernesto sebagai pasangan yang gemar hidup berfoya-foya.

Apabila berada di Switzerland, mereka hidup tenang dan cuma muncul untuk majlis amal di samping bermain golf, tenis, berbasikal, bermain ski atau berkhemah bersama keluarga dengan membawa sebuah dapur gas kecil.

Rentak kehidupan pasangan suami isteri itu bertukar apabila pasangan itu berjauhan dari rumah.

Ketika itu, mereka adalah individu sofistikated yang sinonim dengan jet peribadi, kapal persiaran dan tentunya parti.

Kemunculan mereka di luar kawasan tidak lengkap tanpa iringan pasukan pengawal peribadi dan limosin kalis peluru.

Ernesto pernah berkata, sekiranya diberi pilihan, beliau mahu menghabiskan kebanyakan masanya bersama keluarga dan kapal persiarannya dan bukan di pejabat seperti dilakukan bapanya yang meninggal dunia di usia muda.

Namun, realiti adalah berbeza dan gaya hidup mewah yang mereka nikmati turut memiliki cabarannya tersendiri.

Beberapa bulan lalu, Ernesto mengadakan parti hebat sempena hari jadi ke-40 Kirsty dengan kos mencecah AS$3 juta (RM9 juta). Rancangannya adalah untuk menyewa hartanah tepi pantai seluas 2,694 meter persegi di pantai Miami untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, pasangan itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa memajak keseluruhan tempat awam untuk majlis peribadi tidak dibenarkan di Miami.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan