Isnin, 16 Mei 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis gagalkan cubaan sindiket seludup masuk dadah guna ubi kayu dan keledek

Posted: 16 May 2011 03:06 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Polis berjaya menggagalkan kegiatan satu sindiket jenayah yang cuba membawa masuk dadah ke dalam negara dengan cara menyembunyikannya di dalam ubi kayu dan ubi keledek, dalam dua rampasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini sejak dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, taktik baru itu dikesan selepas polis menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing pada Sabtu lalu dan pagi ini di KLIA, sebaik sahaja mereka tiba dengan penerbangan dari Lagos, Nigeria.

Beliau berkata, ketika ditahan kedua-dua lelaki yang berumur 31 dan 32 tahun itu didapati membawa dua beg, iaitu beg pakaian dan sebuah beg plastik bersaiz besar yang diisi dengan ubi kayu serta ubi keledek yang masih mempunyai kesan tanah. Katanya, selepas diperiksa beg plastik itu, ia didapati mengandungi beberapa ketul ubi kayu serta keledek dan apabila diteliti terdapat kesan potong serta cantuman menggunakan dawai pada bahagian ubi yang dibawa mereka.

"Selepas diperiksa kami menemui 11 bungkusan berisi dadah dipercayai syabu disembunyikan di dalam ubi kayu dan keledek yang dibuang isi dalamnya itu," katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Nordin berkata, kesemua bungkusan dadah jenis syabu seberat 9.64 kilogram itu bernilai kira-kira RM2.41 juta.

"Kami percaya kedua-dua lelaki ini merupakan anggota sindiket yang sama berdasarkan modus operandi dan taktik yang digunakan. Ketika ditanya mengapa mereka bawa ubi kayu dan ubi keledek itu, mereka mendakwa ia dipesan oleh rakan yang tinggal di sini," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, suspek berumur 32 tahun yang ditahan Sabtu lalu datang ke Melaysia buat pertama kali, manakala bagi suspek kedua berumur 31 tahun yang ditahan kira-kira jam 7.30 pagi ini, ia adalah kunjungan kali kedua ke Malaysia.

Katanya, kedua-dua suspek bekerja di kedai menjual barangan aksesori motosikal di negara mereka.

Nordin berkata, mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengguna tinggalkan kediaman kurang setahun disaran buat potongan air sementara

Posted: 16 May 2011 03:00 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Pengguna yang bercadang meninggalkan kediaman sehingga 12 bulan disaran membuat pemotongan bekalan air sementara bagi mengelak dikenakan caj penggunaan air berlebihan, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som berkata, jika tempoh itu lebih setahun, mereka disaran menutup akaun bekalan air.

Katanya, jika enggan berbuat demikian, pengguna tetap dikenakan caj bayaran minimum RM6 sebulan bagi pengguna domestik dan RM36 sebulan bagi pengguna industri walaupun kediaman ditinggalkan kosong. "Caj ini adalah caj tetap perkhidmatan, mula berkuatkuasa sejak 1 November 2006 dan masih diguna pakai sehingga kini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, walaupun pengguna menjelaskan bil (caj bayaran minimum), mereka masih menerima bil melebihi caj minimum kerana berkemungkinan menghadapi masalah kebocoran saluran air dalaman atau masalah kecurian air.

"Menjadi tanggungjawab pengguna memastikan sistem perpaipan dalaman kediaman mereka bebas daripada kebocoran atau tidak menjadi sasaran kecurian air bagi mengelak caj yang melampau," katanya.

Dalam pada itu, pengguna yang gagal menyelesaikan bil dalam tempoh 30 hari akan diberi notis pemotongan berbentuk cop merah selama 14 hari. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan