Utusan Online - Selatan |
- Pelajar antarabangsa meningkat
- Sijil kemahiran EWC diiktiraf antarabangsa
- Bangunan asrama baru UiTM kampus Bandaraya Melaka siap Jun ini
Pelajar antarabangsa meningkat Posted: Pelajar antarabangsa meningkatOleh NAS NORZIELA NASBAH SEBAHAGIAN daripada pelajar antarabangsa yang menuntut di UTeM ketika membuat lawatan sambil belajar di Banda Hilir, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 11 Jan. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa seramai 163 pelajar pada sesi kali ini. Berdasarkan statistik setakat 31 Disember lalu, jumlah tersebut meningkat 70 peratus di mana pengambilan pelajar sarjana meningkat kepada 98 orang. Sementara itu, pengambilan pelajar ijazah sarjana muda meningkat kepada 44 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 25 pelajar. Turut menyumbang kepada peningkatan angka tersebut ialah kemasukan pelajar yang mengikuti Program Intensif Bahasa Inggeris (IELP). Pengarah Pejabat Antarabangsa UTeM, Profesor Dr. Nanna Suryana Herman berkata, pelajar luar negara yang melanjutkan pengajian di sini datang dari 22 negara termasuk Indonesia, Iraq, Cameroon, Qatar, Syria, Nigeria, Yemen, Ghana, Palestin, Somalia, Tanzania dan Bangladesh. Katanya, daripada jumlah tersebut Indonesia mencatatkan bilangan pelajar antarabangsa teramai diikuti Iraq dan Yemen. "Peningkatan tersebut didorong oleh inisiatif pihak universiti yang membuat pameran dan promosi pendidikan di beberapa negara seperti Libya, Yemen dan Indonesia. "Selain itu, konsep pendidikan berteraskan aplikasi dan amalan menjadi daya penarik kepada pelajar-pelajar tersebut untuk melanjutkan pengajian di UTeM," katanya pada satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, hubungan erat antara universiti dengan beberapa institusi pendidikan luar negara turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pelajar antarabangsa di sini. "Keadaan ini membuktikan, UTeM menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka di sini. "Selain itu, perkembangan positif ini dilihat sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah hab pendidikan yang tersohor di negara ini," katanya. Sementara itu, pelajar antarabangsa yang ditemui berpendapat, UTeM menjadi pilihan mereka kerana kedudukannya di sebuah negeri maju yang kaya dengan sejarah serta kemudahan awam yang moden. Rata-rata berpuas hati dengan kemudahan kolej kediaman yang lengkap dan selesa ditambah dengan fasiliti makmal berteknologi tinggi yang menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut. Bagi pelajar yang berasal dari Indonesia, Mohammad Fahmi, 21, suasana pengajian di kampus yang kondusif, hubungan dengan pensyarah rapat dan rakan-rakan menjadikan dia begitu senang untuk melanjutkan pengajian di sini. "Jika sebelum ini, agak sukar untuk menyesuaikan diri di negara orang tetapi apabila berada di sini, saya begitu senang dengan para pensyarah dan kemudahan yang disediakan adalah lengkap. "Saya selesa berada di sini dan yakin setiap ilmu yang dipelajari akan membawa kejayaan kepada saya pada masa hadapan," katanya. Seorang lagi pelajar antarabangsa dari Iraq, Maher Hassan Kadhim, 24, berkata, dia menyambung pengajian di UTeM kerana ia adalah pilihan yang tepat. "Walaupun terpaksa menghadapi persekitaran baru, ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk meneruskan pengajian di sini. "Keadaan ini adalah kerana persekitaran UTeM dan silibus setiap semester yang bertaraf antarabangsa menjadikan UTeM sebagai pilihan tepat saya," katanya. | ||
Sijil kemahiran EWC diiktiraf antarabangsa Posted: Sijil kemahiran EWC diiktiraf antarabangsa
SEREMBAN 11 Jan. - East West College (EWC) terus mengembangkan sayap dalam pengiktirafan pensijilannya yang kini bertaraf antarabangsa apabila hari ini menandatangani perjanjian bersama (MoU) dengan City & Guilds, United Kingdom di sini. Dengan MoU yang dilakukan oleh kolej itu dan City & Guilds, pemegang sijil kemahiran EWC hanya perlu menduduki peperiksaan dengan City & Guilds bagi mendapat sijil kemahiran daripada institusi luar negara itu. Menurut Penasihat EWC, Prof. Datuk Abd. Murad Ahmad, dengan termeterainya perjanjian itu, maka EWC kini menjadi penyedia latihan pertama di negara ini bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Kemahiran mendapat pengiktirafan antarabangsa. ''Pihak EWC amat berbangga kerana selepas ini semua lepasan kita akan menerima sijil City & Guilds dan boleh membina kerjaya yang lebih luas di semua sektor khususnya dalam bidang perhotelan, kulinari dan hospitaliti," katanya dalam ucapan di sini hari ini. Abd. Murad berucap pada majlis MoU dengan City & Guilds, United Kingdom di sini yang turut disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan. City & Guilds diwakili Pengarahnya, Ian Oswin Noronho. Tambahnya, dengan pengiktirafan yang diberikan oleh City & Guilds itu, ia akan mencapai matlamat mengantarabangsakan sijil kemahiran negara sekali gus merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini mahu sektor kemahiran ini diperkasakan bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. ''Kejayaan yang diperoleh oleh EWC ini akan menjadi perintis bagi kolej swasta yang lain yang mana menawarkan SKM untuk turut diiktiraf peringkat antarabangsa pada masa hadapan. ''Selama ini sijil kemahiran yang dikeluarkan institusi pengajian tinggi di negara ini sukar untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa. ''Ini menjadikan pemegang sijil ini sukar mendapat kedudukan dan kerjaya yang baik," katanya. Tegas Abd. Murad, selepas pengiktirafan yang diberikan oleh City & Guilds ini, maka peluang pekerjaan akan lebih terbuka dan lepasan EWC ini akan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan. Program ini merupakan sebahagian kejayaan yang dicapai oleh EWC kerana pada awal tahun ini juga, kolej berkenaan telah mula menerima pelajar antarabangsa selepas Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pelajaran memberikan kelayakan berkenaan. ''Kejayaan ini juga telah diakui dan diizinkan oleh Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri. ''Pelajar pertama yang mendaftar masuk ialah Mearly Shellina Ashuri yang berasal dari Blitar, Jawa Timur yang memilih untuk mengikuti Diploma Seni Kulinari. ''Bilangan ini juga akan ditambah seramai 24 pelajar antarabangsa lain yang telah memohon mengikuti kursus Bahasa Inggeris di East West International Language Centre di sini dan visa mereka telah pun diluluskan," ujar Abd. Murad. Tambahnya lagi, selain MoU ini, EWC juga telah memeterai perjanjian dengan Wawasan Open University selain Universiti Industri Selangor pada waktu terdekat ini. ''Di peringkat antarabangsa, EWC juga telah menjalinkan kerjasama dengan University College Birmingham, United Kingdom, yang mana pemegang Diploma EWC berpeluang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di universiti ini," jelasnya. Katanya, EWC juga bekerjasama dalam hal pendidikan dengan East-West University, Amerika Syarikat dan The Emirates Academy of Hospitality Management, Dubai serta yang terbaru, kolej ini akan menandatangani perjanjian dengan Universitas Bung Hatta, Padang, Indonesia. ''Semua ini bagi tujuan meningkatkan kemahiran pelajar supaya pada masa hadapan ia akan menampung keperluan negara bagi skop kerja berkemahiran tinggi, sejajar dengan keinginan melihat negara maju pada tahun 2020," ujar Abd. Murad. | ||
Bangunan asrama baru UiTM kampus Bandaraya Melaka siap Jun ini Posted: Bangunan asrama baru UiTM kampus Bandaraya Melaka siap Jun iniMELAKA 11 Jan. - Bangunan asrama baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bandaraya Melaka yang bernilai RM58 juta dijangka siap sepenuhnya Jun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, empat blok bangunan asrama tersebut dibina setinggi 17 tingkat dan mampu menempatkan kira-kira 5,000 pelajar lelaki dan perempuan. Menurutnya, ia bagi memenuhi keperluan kediaman pelajar yang ketika ini menetap sementara di dua blok bangunan asrama lelaki dan perempuan di Jalan Tun Mamat di sini. "Bagi penempatan pertama pelajar, dua blok kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap hujung Jun dan mampu menempatkan kira-kira 2,000 pelajar manakala selebihnya dijangka siap pada September," katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja pembinaan bangunan asrama baru UiTM kampus Bandaraya Melaka di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengarah UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam. Selain itu kata Mohd. Ali, ketika ini, terdapat kira-kira 3,600 pelajar sepenuh masa di UiTM kampus Bandaraya Melaka dengan 2,000 pelajar daripada jumlah tersebut tinggal menyewa di sekitar pusat bandar pada masa ini. Ujar beliau, pihaknya yakin melalui penyediaan bangunan asrama baru UiTM kampus Bandaraya Melaka itu mampu menjadikan Melaka antara negeri terbaik dalam menyediakan prasarana pendidikan. Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri berharap penambahan bangunan asrama baru membolehkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di negeri ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat pendidikan utama di negara ini seperti negara maju lain. Sehubungan itu, beliau meminta pihak UiTM mengambil inisiatif menyediakan kursus yang relevan bagi menarik minat lebih ramai pelajar dari negeri lain melanjutkan pengajian pendidikan mereka di Melaka pada masa depan. Bagi tujuan tersebut, kata beliau, kerajaan negeri sedia bekerjasama dalam membantu mempelbagaikan kemudahan tempat belajar demi menampung bilangan penuntut yang lebih ramai pada masa depan. Katanya, UiTM kampus Bandaraya Melaka disaran agar menambah bilangan pelajar sedia ada kepada sekurang-kurangnya 5,000 orang sehingga akhir tahun ini sekali gus mencapai sasaran seramai 10,000 pelajar pada masa depan. "Pada masa ini, kampus bandar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempunyai 400 pelajar manakala Kolej Profesional Mara (KPM) pula ada kira-kira 600 pelajar. "Jika bandar ini dipenuhi lebih 10,000 pelajar, tidak mustahil ia akan menjadi kampus bandar terbaik dengan kemudahan disediakan," katanya. Sementara itu pada perkembangan yang sama, beliau berkata, bangunan KPM akan mengalami kerja-kerja pengubahsuaian selama dua tahun dan bagi tujuan itu, pelajar dan kakitangan kolej tersebut akan ditempatkan sementara pada bangunan Syarikat Air Melaka Berhad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan