Isnin, 3 Januari 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


CMI pulih projek Pulau Melaka

Posted:

CMI pulih projek Pulau Melaka

CMI pulih projek Pulau Melaka

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
utusanmelaka@utusan.com.my


Ali Rustam mengecat bangunan sebagai simbolik pembangunan semula projek yang terbengkalai di Pulau Melaka, semalam.


MELAKA 2 Jan. - Setelah hampir 15 tahun terbengkalai, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) hari ini secara rasminya mengambil alih projek membaik pulih 1,534 unit rumah kedai dan pangsapuri di Pulau Melaka.

CMI yang melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sebagai pengurus projek menjangkakan projek terbengkalai itu siap November ini sekali gus menjadikannya sebagai pulau pelancongan terkenal di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri melantik Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. (KAJ) untuk membaik pulih keseluruhan projek berkenaan.

Sebagai permulaan, menurut beliau, sebuah tapak loji rawatan kumbahan perlu dibina dan dijangka siap September ini.

"Kita juga keluarkan tender sebanyak RM64 juta untuk pulihkan sebahagian daripada projek ini terutamanya 1,204 unit yang telah pun dijual kepada pembeli.

"Kita akan mengadakan perbincangan semula dengan pembeli hartanah ini Februari ini tentang jumlah wang tambahan yang diperlukan atau boleh menjualnya kepada kerajaan sekiranya mereka tidak berminat," katanya selepas melancarkan pemulihan projek Pulau Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan KAJ, Datuk M. Yahya A. Hamid; Ketua Eksekutif PKNM, Datuk Yusof Jantan dan Pengurus Besar CMI, Ismail Lajen.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafar Atan.

Mohd. Ali berkata, pembangunan projek Pulau Melaka berkeluasan 40.6 hektar itu mula dilancarkan pada 1996 sebelum projek dimulakan oleh Pulau Kembar Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat kepada Talam Corporation Sdn. Bhd. pada 1998.

"Namun, projek tersebut terbengkalai walaupun telah siap antara 60 hingga 80 peratus sebelum ia menjadi kes mahkamah.

"Keputusan kali kedua di Mahkamah Rayuan Melaka pada 28 Disember lalu kemudian memutuskan kerajaan negeri berjaya mengambil projek terbabit untuk dipulihkan." katanya.

Mengenai status projek ketika ini, Mohd. Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Tanah, Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, projek tersebut mempunyai tiga fasa.

Fasa pertama, katanya, mengandungi 612 unit rumah kedai, fasa kedua 762 unit rumah kedai manakala fasa ketiga, empat blok pangsapuri mengandungi 160 unit rumah.

"Bagi fasa pertama, ia sudah 70 peratus siap dan 521 unit terjual manakala fasa kedua, 60 peratus siap dengan 598 unit telah dibeli dan fasa ketiga siap 80 peratus dengan 85 pembeli," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Ali berkata, masih terdapat 19 projek terbengkalai di negeri ini iaitu 15 di Melaka Tengah dan masing-masing dua di Alor Gajah dan Jasin.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

17 ditahan minum arak sambut tahun baru

Posted:

17 ditahan minum arak sambut tahun baru

17 ditahan minum arak sambut tahun baru


Sebahagian remaja Islam yang ditahan Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan kerana dipercayai meminum minuman keras di pusat hiburan sekitar Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 2 Jan. - Keghairahan 17 individu beragama Islam untuk menyambut kedatangan tahun baru dengan meneguk arak mengundang padah apabila mereka dicekup dalam serbuan di beberapa pusat hiburan di sekitar negeri ini.

Selain itu, sembilan lelaki yang turut ditahan di premis hiburan dan pusat karaoke di bandar ini, Nilai dan Jempol, dekat sini adalah penjawat awam.

Dalam operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), dua wanita turut ditahan atas kesalahan yang sama.

Ketua Operasinya, Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi bermula pukul 9.30 malam, 31 Disember lalu dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi, keesokan harinya.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. Mereka disyaki mengambil minuman keras sambil berhibur di tiga premis hiburan dan karaoke di Nilai dan Seremban serta beberapa lokasi lain di Jempol," katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zaki, kesemua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengambil minuman keras.

"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

Tambahnya lagi, dalam operasi sama, dua pengunjung lelaki beragama Islam turut ditahan kerana dipercayai berpakaian seperti wanita.

"Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 66 enakmen sama dan memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, operasi itu disertai 40 pegawai termasuk anggota dari JHEAINS, Unit Tatatertib Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu, Ahmad Zaki memberitahu, seramai sembilan individu turut ditahan di sekitar negeri ini kerana disyaki berkhalwat.

"Mereka yang ditahan atas kesalahan berkhalwat akan disiasat di bawah Seksyen 61 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

"Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Ahmad Zaki berkata, mereka yang ditahan di sekitar bandar ini dan Nilai dibawa ke IPD Seremban manakala yang ditahan di Bahau dibawa ke IPD Jempol untuk siasatan lanjut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan