Selasa, 4 Januari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


'BM' pacu usaha tawan Kedah

Posted:

'BM' pacu usaha tawan Kedah

'BM' pacu usaha tawan Kedah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

SEHARI sebelum Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Datuk Mukhriz Mahathir memegang secara rasmi teraju Badan Perhubungan UMNO Kedah, mereka sudah mula menunjukkan semangat dan keserasian ke arah melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pucuk kepimpinan parti.

Jumaat lalu, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah itu kelihatan begitu akrab bergandingan apabila bersama-sama menghadiri beberapa program di Langkawi.

Kedua-duanya menaiki sebuah kereta dari Jeti Kuah bagi menghadiri satu majlis tertutup UMNO Bahagian Langkawi sebelum menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Aishah di Kuah.

Ia diikuti dengan pertemuan bersama pemimpin Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Langkawi di Kompleks Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada).

Ketika berada di kedua-dua program berkenaan, ucapan mereka disulami dengan usikan antara satu sama lain tetapi menyampaikan mesej jelas supaya seluruh jentera parti bekerja keras dan bersatu padu bagi menawan semula negeri jelapang padi itu daripada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Kemesraan mereka itu bukan dibuat-buat tetapi terbit atas kesatuan semangat dan hasrat untuk berjuang bersama-sama UMNO demi kepentingan rakyat.

"Masing-masing mempunyai kelebihan dan cara tersendiri tetapi matlamat mereka adalah satu iaitu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah," kata Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang seharian bersama kedua pemimpin itu pada hari tersebut.

Menurut beliau, sebelum ke pulau legenda itu, Ahmad Bashah dan Mukhriz telah mengadakan perbincangan sehingga larut malam di Alor Setar bagi merangka gerak kerja UMNO Kedah.

Katanya, dengan semangat dan kesungguhan peneraju UMNO Kedah itu, beliau yakin kombinasi mereka akan mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan negeri kepada BN.

"Dengan suntikan semangat dua pemimpin baru yang menggandingkan ahli politik penuh pengalaman dan yang mempunyai 'magnet' di kalangan orang muda, saya yakin UMNO Kedah akan berjaya dalam 'pertempuran' pada pilihan raya umum nanti," ujarnya.

Bagaimanapun, perubahan yang dihasratkan dan gerak kerja yang diatur tidak mampu terlaksana tanpa bantuan daripada seluruh kepimpinan semua peringkat di 15 bahagian UMNO negeri ini.

Kesemua pemimpin bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan pemimpin cawangan harus bergerak bersama-sama dengan kepimpinan negeri dalam usaha merealisasikan satu matlamat besar untuk merampas semula negeri ini daripada genggaman Pas.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Mohd. Tajudin Abdullah, sokongan penuh terhadap gandingan Ahmad Bashah dan Mukhriz atau semakin popular disebut kombinasi 'BM' wajib diberikan tanpa sebarang persoalan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, gandingan 'BM' berupaya mencetuskan kembali semangat dan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Katanya, kalangan ahli UMNO tidak perlu mempertikaikan pelantikan berkenaan bak kata pepatah Melayu 'rumah siap pahat masih berbunyi' kerana sekarang adalah masa untuk bekerja dengan lebih pantas dan berjuang habis-habisan demi parti.

"Sampai bila hendak pertikai sedangkan kerja tidak berjalan. Jangan sesekali ahli UMNO di semua peringkat masih berbunyi itu tidak betul, ini tidak kena.

"Ingatlah hakikat bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat penilaian yang sangat mendalam sebelum membuat keputusan. Kita terima keputusan itu dengan penuh keyakinan bahawa ia adalah yang terbaik," katanya sambil menegaskan bahawa adalah lumrah setiap keputusan tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Paduka Md. Rozai Shafian melihat beberapa faktor mengapa gandingan 'BM' akan berjaya.

Menurutnya, Ahmad Bashah adalah pemimpin berpengalaman luas yang bermula dari bawah sebelum meniti satu demi satu anak tangga dalam karier politik beliau selain merupakan ketua bahagian UMNO yang paling berpengalaman di Kedah.

ADUN Bakar Bata itu juga merupakan wakil rakyat BN paling kanan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selama empat penggal dan antara sebilangan kecil ADUN parti itu yang berjaya mengharungi tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Ketua bahagian yang baru memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pemimpin yang lebih berpengalaman dalam mengemudi bahagian masing-masing mengharungi gelombang politik," kata Md. Rozai.

Peranan penting yang boleh dimainkan Mukhriz pula katanya, adalah menarik sokongan golongan muda dan pengundi baru kerana pada pilihan raya umum lalu, 60 peratus daripada bilangan pengundi adalah berusia 21 hingga 42 tahun.

Bagi Mukhriz pula, peranan yang penting boleh dimainkan bagi menarik hati golongan muda dan pengundi baru kerana pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, 60 peratus daripada bilangan pengundi adalah pengundi muda yang berusia 21 hingga 42 tahun.

"Kombinasi pemimpin berpengalaman dan generasi muda amat tepat," katanya sambil berkongsi nada yang sama bahawa gerak kerja sayap dalam UMNO harus lebih bertenaga.

Sementara itu, dua cabaran besar yang menanti Ahmad Bashah dan Mukhriz adalah perlu mengukuhkan 'rumah sendiri' sebelum melakukan 'serangan' terhadap pakatan pembangkang.

Seorang bekas Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdul Rahman Ariffin berkata, parti itu harus memberi keyakinan kepada seluruh ahli dan penyokong bahawa ia mampu menawan kembali Kedah dengan gerak kerja agresif dan muncul dengan kejutan yang boleh menarik perhatian orang ramai.

"Gerakan harus tersusun dan cergas. Jangan lagi ada pemimpin yang melupakan tugas mereka menjaga UMNO Kedah," katanya yang pernah mengetuai UMNO Bahagian Jerlun.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

MTUC tolak pemimpin politik

Posted:

MTUC tolak pemimpin politik

MTUC tolak pemimpin politik

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

Kepimpinan yang condong kepada pengaruh kepartian dan ideologi parti politik dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak kebelakangan ini telah mencetuskan kepincangan sehingga wujud beberapa kumpulan dari kalangan pucuk pimpinan itu sendiri.

Pengaruh kepartian yang terlalu ketara dalam pentadbiran MTUC itu semakin dirasai oleh ahli-ahli gabungannya sebanyak 260 di seluruh negara.

Tumpuan untuk memperjuangkan nasib pekerja seramai 500,000 orang di seluruh negara semakin lari daripada landasan MTUC yang sepatutnya tidak berpihak kepada mana-mana ideologi atau parti politik melainkan memperjuangkan hak-hak pekerja.

Ramai ahli gabungan MTUC telah menyedari dan nampak tentang perubahan yang berlaku dalam Kongres yang semakin lama menjadi seperti sebuah parti politik dengan beberapa pemimpin menggunakan badan itu untuk kepentingan politik mereka.

Beberapa kumpulan penyokong kepada seseorang pemimpin tertentu di dalam Kongres itu telah terbentuk akibat daripada pertelingkahan fahaman dan pendapat mengenai sesuatu perkara.

Akibat daripada keadaan itu, MTUC tidak lagi memperlihatkan kemampuannya untuk melaungkan perjuangannya dengan satu suara yang lantang dan berkesan seperti yang berlaku sebelum ini.

Senario yang semakin tidak berpihak kepada pekerja itu telah mendorong Timbalan Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan bertanding merebut kerusi Presiden MTUC dalam pemilihan bagi penggal 2010-2013 pada 29 Disember lalu.

Dalam pertandingan dua penjuru itu Syed Shahir Syed Mohamud gagal mempertahankan kerusi Presiden yang didudukinya selama dua penggal sejak 2004 apabila tumpas kepada timbalannya Mohd. Khalid Atan dengan perbezaan 42 undi.

Mohd. Khalid yang ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Hulu Kelang kelmarin berkata, reaksi dan maklum balas yang diperoleh daripada ahli-ahli gabungannya mengenai tampuk pimpinan MTUC penggal lalu juga telah menyemarakkan semangatnya untuk menentang pemimpin nombor satu Kongres itu.

Khalid bukanlah pendatang baru dalam MTUC kerana beliau telah menjadi Ahli Majlis Am Kongres sejak era kepimpinan Datuk Zainal Rampak selaku Presiden bersama Setiausaha Agung Dr. V. David 20 tahun lalu.

Sebelum menjadi Presiden MTUC, beliau memegang jawatan Timbalan Presiden selama sepenggal dari 2008 hingga 2010 dan sebelum itu Naib Presiden untuk dua penggal dari 2001 hingga 2007.

Pada pemilihan MTUC baru-baru ini, dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Shahir yang menjadi calon parti bagi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-12 itu tumpas selain Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid turut gagal merebut jawatan Setiausaha Agung.

Sementara itu, di samping menerajui MTUC, Khalid masih meneruskan kariernya sebagai Setiausaha Agung kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia dengan keahlian 8,200 orang sejak 1990.

Ditanya mengenai perbezaan pimpinan pada era Datuk Zainal Rampak dan Dr. V. David, Khalid berkata, kedua-duanya tidak membawa pengaruh ideologi politik mereka ke dalam Kongres sebaliknya berada dalam landasan Perlembagaan MTUC.

Sehubungan itu Khalid berkata: "Dalam tempoh enam tahun lalu banyak ahli gabungan bertanya kepada saya, mengapa setiap tindakan yang dibuat mesti ada satu agenda politik sehingga isu pekerja menjadi nombor dua.

"Dalam beberapa kejadian sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah didahulukan sementara MTUC ditenggelamkan dengan para jemputan kebanyakannya terdiri daripada anggota parti itu.

"Keadaan ini telah dipersoalkan oleh ahli-ahli yang merasa tidak puas hati," ujarnya.

Dalam MTUC katanya, ramai ketua kesatuan merupakan penyokong atau pemimpin kepada beberapa parti politik seperti UMNO, MCA, MIC, PKR, Pas dan DAP dan kerana itu untuk menjadi pemimpin dalam Kongres, mereka hendaklah mengetepikan sebarang ideologi parti politik.

Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, kata Khalid, semua orang berhak memilih parti yang disukai dan kerana itu MTUC perlu memperlihatkan dirinya sebagai berkecuali dengan para pemimpinnya menghormati serta mempunyai pendekatan dengan kerajaan yang memerintah.

"MTUC perlu bebas, berkecuali serta tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak ketika memperjuangkan sesuatu hak dan kebajikan pekerja," tegasnya.

Barisan pimpinan MTUC yang baru ini berharap dapat mempertingkatkan gaji minimum para pekerja di seluruh Malaysia yang masih menerima gaji sebanyak RM400 hingga RM650 sebulan.

Sebahagian besar pekerja buruh di negara ini masih berada di bawah garis kemiskinan berdasarkan ketetapan kerajaan iaitu kadar kemiskinan di Semenanjung ialah yang berpendapatan RM720, Sabah RM780 dan Sarawak RM760.

Dalam pada itu kata Khalid, kadar tersebut adalah untuk 10 tahun lalu dan dalam masa yang sama MTUC telah mencadangkan RM900 sebagai gaji minimum pekerja.

Sama ada RM900 sebulan itu masih relevan berbanding kos kehidupan hari ini dan apakah ia boleh diselaraskan dengan saranan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara menjelang 2020.

Pihak MTUC sebelum ini telah mengemukakan beberapa cadangan untuk pindaan Akta Pekerja iaitu berlainan daripada yang disarankan kerajaan sebelum ini supaya ia tidak memudaratkan kedudukan pekerja.

Dalam hal ini Khalid menjelaskan, contoh kepada pindaan yang mungkin dibentangkan di Parlimen tahun ini ialah tempoh kontrak yang ditetapkan dan juga jumlah bayaran tunggakan kepada pekerja yang dibuang dan dibicarakan di Mahkamah Perusahaan.

Sehubungan itu katanya, MTUC akan membuat susulan dengan kerajaan berhubung cadangan pindaan Akta Pekerja yang dikemukakan sebelum ini.

Langkah Khalid seterusnya adalah untuk menyatupadukan ahli-ahlinya supaya MTUC menjadi lebih kukuh dan terus mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dan semua pihak yang berhubung dengannya.

Untuk tujuan itu Khalid dan barisan pimpinan baru MTUC akan membuat beberapa pertemuan dengan ahli gabungan MTUC seluruh negara walaupun pihak tidak menyokong beliau dalam pemilihan lalu.

Khalid berkata, adat bertanding ada menang dan kalah tetapi sebagai Presiden, beliau akan memperjuangkan hak pekerja secara adil dengan mengambil pendekatan, ahli-ahli gabungan boleh menemuinya tanpa membuat temu janji terlebih dahulu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan