Utusan Online - Rencana |
‘Tidak adil salahkan Puspakom’ Posted: 'Tidak adil salahkan Puspakom'
SETIAP kali berlakunya kemalangan maut membabitkan kenderaan komersial seperti bas dan lori, Puspakom adalah antara pihak yang sering disalahkan. Kononnya agensi itu tidak menjalankan pemeriksaan yang betul terhadap kenderaan dan melepaskan kenderaan yang tidak selamat untuk bergerak di jalan raya. Namun, benarkah dakwaan tersebut? ''Tidak adil untuk menyalahkan Puspakom dalam hal ini kerana dari aspek memastikan keselamatan kenderaan, kami sudah melaksanakan tanggungjawab itu,'' demikian penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom), HISHAM OTHMAN ketika diajukan perkara tersebut. Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL baru-baru ini, Hisham sebaliknya berkata, aspek keselamatan kenderaan itu sepatutnya lebih menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan. Sepanjang pertemuan hampir satu jam di pejabatnya di Wisma DRB-HICOM, Subang, Shah Alam itu, Hisham turut menjawab beberapa persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan Puspakom seperti isu rasuah, monopoli dan banyak lagi. UTUSAN: Ada yang mendakwa Puspakom menjalankan operasi secara monopoli. Benarkah begitu? HISHAM: Puspakom adalah sebuah syarikat konsesi tunggal. Saya katakan ia bukan monopoli dalam erti kata sebenar, atas beberapa sebab yang penting. Pertamanya kerana kita tidak boleh mengenakan fi pemeriksaan sesuka hati. Sebaliknya setiap fi itu sudah digazetkan dan diwartakan oleh kerajaan. Kita juga tidak boleh menaikkan harga fi sesuka hati, malah sepanjang 16 tahun beroperasi, baru sekali sahaja fi pemeriksaan di Puspakom dinaikkan. Kita juga bukan monopoli kerana kita tidak boleh menutup cawangan sesuka hati atau beroperasi mengikut kemahuan kita. Kita juga tidak boleh selektif dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan. Sebaliknya dalam perjanjian dengan kerajaan, Puspakom perlu memberikan perkhidmatan selagi kawasan itu tidak mempunyai cawangan Puspakom yang berdekatan. Tidak kiralah kawasan itu di pedalaman sekali pun. Sebagai contoh, kita mempunyai cawangan di pedalaman Sarawak yang memerlukan kita menaiki bot selama lapan jam untuk tiba semata-mata untuk memeriksa hanya lima buah kenderaan. Tetapi kerana tanggungjawab, kita tetap melaksanakan tugas ini. Bagi kawasan-kawasan seperti ini, kita mungkin akan ke sana dalam beberapa bulan sekali. Dalam masa yang sama, kita juga ada KPI operasi yang perlu dicapai. Misalnya berapa lama tempoh yang diambil bagi pemeriksaan sebuah kenderaan atau berapa banyak aduan yang perlu kita elakkan. Jadi kita tidak boleh beroperasi sewenang-wenangnya, tetapi kita perlu mencapai KPI ini melalui pemberian perkhidmatan yang di tahap memuaskan kepada rakyat. Apa yang boleh disimpulkan daripada tahap keselamatan kenderaan di negara ini? Secara umumnya, daripada sebanyak 1.5 juta buah kenderaan komersial yang kita periksa setahun, 25-30 peratus daripadanya tidak melepasi piawaian keselamatan di jalan raya seperti yang kita tetapkan. Di sinilah sebenarnya peranan dan tanggungjawab Puspakom kerana sekiranya kami tidak berfungsi, maka 25-30 peratus kenderaan yang gagal ini akan bergerak di jalan raya. Sedangkan kenderaan ini mempunyai pelbagai masalah yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain seperti masalah brek, tayar dan sebagainya. Kenapa agaknya setiap kali berlaku nahas ngeri terutama membabitkan bas dan lori, Puspakom turut persoalkan? Dari sudut rutin pemeriksaan keselamatan kenderaan komersial, kami sudah menjalankan tanggungjawab kami. Di Puspakom, sekiranya sesebuah kenderaan tidak melepasi pemeriksaan keselamatan yang telah ditetapkan, maka kenderaan itu tidak boleh bergerak di jalan raya. Cuma apa yang menjadi masalahnya ialah selepas pemeriksaan keselamatan di Puspakom. Tidak banyak kenderaan yang menjalankan pemeriksaan sendiri bagi memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat seperti mana ketika mereka datang untuk pemeriksaan di Puspakom. Maksudnya, ketika mereka datang untuk pemeriksaan Puspakom, semua aspek keselamatan kenderaan seperti sistem brek, keadaan tayar, pelepasan asap dan sebagainya berada dalam keadaan baik dan mematuhi standard Puspakom. Tetapi selepas itu, sekiranya standard-standard itu tidak lagi dipatuhi, ia sudah di luar tanggungjawab Puspakom. Justeru, adalah tidak adil untuk menyalahkan Puspakom setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan kenderaan komersial kerana kenderaan ini lulus dari aspek keselamatan sewaktu di periksa di Puspakom. Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah kenderaan yang tidak selamat selepas pemeriksaan Puspakom ini? Saya melihat ada beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan. Pertamanya dari sudut tanggungjawab pemilik kenderaan atau pengusaha kenderaan-kenderaan komersial seperti lori dan bas. Mereka perlu ada kesedaran yang tinggi terhadap aspek keselamatan kenderaan mereka setiap kali kenderaan itu bergerak di jalan raya. Bukan hanya memeriksa keselamatan kenderaan itu secara menyeluruh beberapa hari sebelum mahu di bawa ke Puspakom dan semata-mata mahu lulus pemeriksaan kami. Malangnya, itulah sebenarnya yang banyak berlaku ketika ini, walaupun tidaklah semua. Kerana itu saya perlu tekankan sekali lagi di sini, ini juga antara sebab mengapa peranan Puspakom ini sangat penting. Ini kerana sekurang-kurangnya, pemilik kenderaan komersial dan berat ini mempunyai inisiatif untuk memastikan kenderaan mereka selamat meskipun semata-mata untuk mendapatkan kelulusan Puspakom. Bayangkan jika peranan Puspakom tidak ada, saya kira ramai juga pemilik bas dan lori langsung tidak mempunyai inisiatif untuk memastikan keselamatan kenderaan masing-masing. Aspek kedua yang saya lihat ialah dari sudut perlaksanaan undang-undang. Pihak berkuasa terutamanya JPJ perlu terus memeriksa kenderaan komersial ini sama ada menerusi sekatan jalan raya atau sebagainya. Sekiranya didapati kenderaan komersial ini tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan, pengusahanya disaman dan kenderaan itu perlu dihantar ke Puspakom. Tapi kita juga perlu akui bahawa sumber pihak berkuasa adalah terbatas dan adalah lebih baik sekiranya pemilik atau pengusaha kenderaan itu sendiri bersikap bertanggungjawab. Barangkali kenderaan komersial ini perlu diperiksa dengan lebih kerap? Ini juga satu cadangan yang baik dan saya rasa efektif yang mana pemeriksaan lebih kerap dibuat. Mungkin tiga atau empat kali dalam setahun terutamanya bagi bas. Ketika ini pemeriksaan kenderaan komersial seperti lori dan bas ialah dua kali dalam tempoh setahun atau enam bulan sekali. Tetapi pada saya, tempoh bagi bas itu tidak memadai kerana kenderaan komersial ini beroperasi hampir setiap hari dan bergerak dalam jarak kilometer yang jauh. Bas juga membawa penumpang yang ramai iaitu sehingga 40 orang yang perlu dilindungi dari sudut undang-undang. Lagi pun, pemeriksaan dua kali setahun itu sebenarnya adalah standard bagi kenderaan di Eropah yang kesedaran mengenai penyelenggaraan di kalangan pemilik kenderaannya adalah sangat tinggi. Tetapi di Malaysia, keadaan adalah sebaliknya. Saya sedar cadangan ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengusaha bas kerana ia membabitkan kos tambahan, masa, tenaga dan sebagainya. Jadi mungkin kerajaan juga perlu melihat semula faktor komersil dan ekonomi bas agar mereka masih mampu untuk berdaya maju. Tetapi saya yakin rakyat secara majoritinya akan menyokong saranan ini. Apatah lagi jika kita lihat sepanjang tahun ini sahaja, berapa banyak nyawa yang terkorban kerana kemalangan yang membabitkan kenderaan komersial terutamanya bas? Adakah kita masih tidak mahu belajar daripada kemalangan-kemalangan itu? Mungkin barangkali pemeriksaan kenderaan di Puspakom terlalu mahal? Ini sebenarnya yang ramai tidak tahu. Sebenarnya pemeriksaan keselamatan kenderaan di Puspakom sangat rendah. Pemeriksaan rutin bagi bas misalnya hanya dicaj sebanyak RM55. Begitu juga pemeriksaan rutin bagi lori di bawah 6,000 kilogram. Malah jika dilihat daripada pemeriksaan rutin bagi keseluruhan kenderaan, tidak ada yang melebihi RM100 pun sebenarnya. Ini menunjukkan bahawa fi yang dikenakan oleh Puspakom bagi pemeriksaan rutin bagi kesemua kenderaan ini sebenarnya sangat rendah. Jadi mengapa pengusaha kenderaan ini keberatan ke Puspakom sedangkan cajnya sangat rendah? Masalahnya apabila pemilik kenderaan seperti pengusaha bas, lori dan syarikat jualan kenderaan ini mengupah orang tengah atau juga disebut runner untuk menghantar kenderaan mereka ke Puspakom. Saya difahamkan ada orang tengah yang dibayar sehingga RM300 untuk membawa kenderaan ini bagi diperiksa di cawangan Puspakom. Tetapi ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini dan menyalahkan Puspakom kononnya kami mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi. Namun, kita juga harus realistik dalam hal ini kerana Puspakom menyedari adalah tidak munasabah untuk membenarkan hanya pemilik kenderaan sahaja yang dibenarkan untuk menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa di Puspakom. Ini sudah semestinya menyukarkan terutamanya kepada pengusaha bas dan lori yang memiliki banyak kenderaan untuk membawa sendiri kesemua kenderaan mereka ke Puspakom. Amalan rasuah juga sering dikaitkan dengan kakitangan Puspakom. Sejauh mana seriusnya masalah ini? Kita tidak berkompromi dalam isu rasuah dan tindakan telah serta akan diambil termasuk memecat mana-mana kakitangan yang didapati bersalah melakukan jenayah tersebut. Malah, kita juga sejak setahun lalu berkerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memastikan syarikat ini bebas daripada unsur-unsur jenayah rasuah. Begitu pun, saya percaya jenayah rasuah ini tidak berlaku hanya di sebelah pihak sahaja. Jika tidak ada orang yang menawarkan rasuah, maka tidak akan ada juga orang yang menerima rasuah. Tetapi malangnya dalam kes rasuah yang membabitkan Puspakom, masyarakat hanya melihat kesalahan itu hanya kepada kakitangan kami sahaja. Masalah rasuah timbul apabila ada segelintir pengusaha kenderaan komersial ini yang mahukan kenderaan mereka lulus pemeriksaan Puspakom tapi di pihak mereka sendiri tidak ada usaha dilakukan untuk memastikan kenderaan itu selamat. Nasihat saya kepada pemilik-pemilik kenderaan, anda tidak perlu takut untuk membawa kenderaan untuk diperiksa sekiranya kenderaan itu berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk bergerak di jalan raya. Sekiranya kenderaan anda semua berada di tahap yang memuaskan, maka tidak ada sebab untuk menyogok sesiapa. Kerajaan sedikit masa dahulu mewajibkan pemeriksaan bagi kenderaan berusia 15 tahun ke atas, tetapi ditarik balik. Apa pendirian Puspakom dalam hal ini? Kita memang bersetuju dalam hal ini terutamanya dari aspek keselamatan kenderaan dan pengguna jalan raya secara keseluruhannya. Apatah lagi kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas ini dari segi teknologi keselamatannya agak ketinggalan berbanding kenderaan-kenderaan baru. Maka, kenderaan itu perlu diperiksa bagi memastikan ia benar-benar selamat di jalan raya. Jika kita lihat di negara-negara lain terutamanya negara maju, pemeriksaan kenderaan persendirian di buat dalam tempoh yang lebih singkat iaitu selepas tiga tahun sahaja usia kereta itu. Begitu pun kita faham pemeriksaan ini mungkin akan membebankan kumpulan tertentu apatah lagi kebanyakan pemilik kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas ini adalah kumpulan yang berpendapatan rendah atau sederhana yang tidak mampu menukar kenderaan baru. Dalam hal ini saya mencadangkan supaya kerajaan menetapkan caj yang berpatutan dan bersesuaian dengan kumpulan ini supaya tidak membebankan mereka. Dari sudut kemampuan dan keupayaan, Puspakom tidak ada halangan untuk memeriksa kenderaan-kenderaan ini. Malah jika perlu kita boleh menambah cawangan-cawangan sedia ada bagi memudahkan pemilik kenderaan ini untuk memeriksa kenderaan mereka di seluruh negara. Bagaimana dengan keselamatan motosikal sebab jika dilihat kumpulan pengguna jalan raya ini merupakan korban paling tinggi? Saya berpandangan motosikal juga perlu diperiksa sebelum sebarang jual beli atau pertukaran nama pemilik dibuat. Sama seperti yang sedang dibuat untuk kereta-kereta sekarang ini. Ketika ini tidak ada keperluan bagi motosikal untuk diperiksa dari sudut keselamatan di jalan raya. Sebab itu kita lihat banyak motosikal diubah suai sesuka hati. Saya kira jika motosikal ini diarahkan untuk dibuat pemeriksaan ketika proses jual-beli. Paling tidak masalah ubah suai motosikal secara tidak sah sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai dan membahayakan nyawa penunggang dan pengguna jalan raya yang lain sedikit sebanyak boleh diatasi. Sekurang-kurangnya, ada satu 'check point' di kalangan pemilik motosikal untuk memastikan kenderaan mereka itu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan menepati piawai. Dalam masa yang sama, pemeriksaan dengan Puspakom juga boleh mengesan motorsikal curi apatah lagi banyak kes sedemikian dicatatkan ketika ini. Ini semuanya bertujuan untuk melindungi pengguna secara keseluruhannya. | ||
Pembaharuan MIC era Palanivel? Posted: Pembaharuan MIC era Palanivel?Oleh ANBUMANI BALAN MISI dan hala tuju MIC di bawah kepimpinan Datuk G. Palanivel semakin menjadi tumpuan umum. Sejak dilantik sebagai Presiden MIC baru menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu, dirinya sentiasa dijadikan "modal politik" dalam percaturan politik semasa. Dalam tempoh belum pun sampai sebulan menerajui MIC, beliau turut tidak terlepas daripada serangan politik kumpulan-kumpulan tertentu yang terlalu "desperado" mahu mengejar kuasa. Namun Palanivel bukanlah seorang pemimpin payung terjun dalam perjuangan politik MIC. Dirinya sudah sebati, serasi dan sinonim dengan selok-belok MIC sejak mula menyertainya pada 1968 iaitu selepas 22 tahun MIC ditubuhkan pada 1946. Beliau yang menyertai MIC pada usia 19 tahun kini berdepan dengan tugas dan tanggungjawab yang paling mencabar sekali dalam kariernya sebagai pemimpin politik. Justeru, tahun 2011 merupakan satu tahun yang amat penting bagi dirinya untuk menentukan "landskap" politik MIC berada di landasan yang terbaik sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Pegangan "prinsip" yang kuat merupakan salah satu karektor penting yang melengkapkan diri Palanivel sebagai seorang pemimpin yang disegani dan berdaya saing sekiranya peluang dan "kesempatan politik" diberikan kepadanya sepenuhnya dan beliau mampu melakukannya. Beliau juga bukanlah seorang yang mudah tunduk kepada "tekanan politik." Suasana di kediaman Palanivel di Taman Melawati sejak beliau dilantik sebagai Presiden MIC yang baru kelihatan sentiasa riuh-rendah dan sibuk dengan kehadiran para pemimpin dan penyokong MIC. Ramai juga orang bukan politik yang datang untuk bertemu beliau. "Mereka datang dari seluruh negara khususnya pemimpin-pemimpin MIC dan juga ahli-ahli MIC dari peringkat akar umbi untuk menemui Datuk dan mengucapkan tahniah dan menyatakan sokongan kepadanya sejak hari pertama dilantik sebagai Presiden iaitu pada 6 Disember 2010. Memang sangat sibuk," kata seorang pembantunya kepada penulis. Malah turut kelihatan kehadiran beberapa bekas pemimpin MIC yang pernah keluar dari parti, yang pernah kecewa dengan perjuangan parti sebelum ini. Malah kehadiran segelintir penyokong-penyokong kuat bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam ke rumah Palanivel turut mencetuskan pelbagai "spekulasi politik." "Dalam politik biasalah, segala kemungkinan boleh berlaku tetapi pemimpin politik kena pandai mengatur strategi mengunakkan minda bukannya emosi," kata seorang pemimpin MIC kepada penulis. Apa yang pasti satu permulaan yang cukup "solid" untuk Palanivel yang lebih dikenali sebagai Datuk "G" untuk meneruskan agenda perjuangan parti selepas ini. Semua yang hadir, tak kiralah penyokong Samy Vellu, Datuk Subra ataupun kumpulan lain termasuk yang pernah keluar dari parti mahupun yang kena pecat sebelum ini, mereka semua datang semula dengan satu harapan baru yang mahu melihat satu "pembaharuan politik" dalam era Palanivel selepas ini yang bersifat realistik bukan retorik. Malah masyarakat umum juga mahu menyaksikan kebangkitan semula MIC, sebuah parti yang cukup sinonim dengan perjuangan masyarakat India di negara ini selama 64 tahun. Mereka turut menaruh harapan yang tinggi terhadap kepimpinan Palanivel yang dapat mencorakkan gaya politik yang lebih "terbuka"dan "inklusif" selepas ini demi masa depan parti dan masyarakat India, khususnya selepas berlakunya satu proses "transisi politik" MIC baru-baru ini. Perlu ada satu pembaharuan yang drastik selepas ini tetapi bukan sekadar "kosmetik politik" sahaja proses pelaksanaan dan implimentasinya perlu mantap dan diyakini. Sejak dilantik Presiden MIC yang baru, Palanivel begitu serius menumpukan aspek perpaduan dalam parti dan masyarakat India, pengukuhan parti dan juga perancangan yang melibatkan "kemenangan" untuk parti. "Kita mahu berkerjasama dengan semua orang termasuk anggota parti yang telah dipecat. Tetapi perlembangaan parti perlu dipatuhi dalam semua perkara. Saya tidak boleh mendahului perlembagaan. Saya tidak mempunyai musuh dan saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Saya mahu menyatukan parti," antara inti pati penting dalam kenyataan akhbar pertamanya kepada media minggu lepas. Awal -awal lagi beliau sudah menunjukkan komitmen dan keikhlasannya untuk memperkukuhkan, memperkasakan serta memperkuatkan lagi jentera MIC selepas ini. Apa pun, beliau perlu bertindak berani untuk melakukannya sekiranya mahu meletakkan MIC sebuah parti yang terus relevan di kaca mata rakyat. Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menyarankan kepimpinan baru yang kini diterajui oleh Palanivel dapat bergerak dalam satu pasukan. Beliau berkata , MIC hanya akan kuat dan akan terus mendapat kepercayaan majoriti kaum India sekiranya semua pemimpin dan ahli bersatu. Sudah semestinya Palanivel sebagai seorang bekas pensyarah, pegawai penyelidik, aktivis pengguna, wartawan sebelum masuk ke gelanggang politik sebelum ini dapat membaca "mesej" Perdana Menteri yang mahu melihat wujudnya satu gagasan "pasukan" dalam politik MIC selepas ini. Pembentukan "pasukan kemenangan" MIC dapat menjamin masa depan parti. Palanivel juga telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri baru-baru ini dan sudah pastinya banyak "input politik" telah dikongsi oleh mereka berdua. Mungkin akan ada satu lagi berita gembira untuk MIC selepas ini? Apa yang pasti imej Palanivel perlu diperkasakan sepadan dengan tanggungjawabnya sebagai ketua parti untuk membawa suara masyarakat India dan bukan sekadar Presiden MIC sahaja. Situasi tersebut boleh mencetuskan satu lagi "kontroversi" politik yang tidak menyenangkan pelbagai pihak. Malah sudah ada sindiran politik yang bersifat sinikal terhadap dirinya sebagai Presiden kerana wujudnya satu senario di mana Timbalan Presiden MIC Datuk Dr. S. Subramaniam menjadi menteri Kabinet. Fenomena seperti ini perlu dielak serta-merta supaya ia tidak dijadikan bahan politik untuk menyerang dan melemahkan kepimpinan Palanivel sebagai Presiden MIC. Banyak isu semasa masyarakat India di negara ini berkisar kepada isu surat beranak, kewarganegaraan, kad pengenalan, kebajikan, pendidikan dan ekonomi. Justeru, mungkin kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India sebagai sebuah Kementerian Hal Ehwal Masyarakat India di peringkat Jabatan Perdana Menteri supaya isu-isu semasa masyarakat India dapat ditangani dengan lebih sistematik dan efesien. Palanivel juga perlu bertindak pantas untuk mengejar setiap saat dan masa untuk memperbetulkan segala persepsi negatif yang dilontarkan terhadap MIC khususnya selepas Pilihanraya Umum 12 sebelum berdepan dengan cabaran PRU 13 yang dijadualkan dalam tempoh masa terdekat ataupun sebelum 2012. Ini kerana faktor "politik dan MIC" semakin sebati dalam pemikiran masyarakat India sejak kebelakangan ini. Mereka mengharapkan MIC menonjolkan imej sebagai sebuah parti yang lebih "transparensi" yang dapat memenangi hati, minda, kepercayaan dan keyakinan mereka selepas ini. Sudah tentulah dalam tempoh beberapa hari yang lepas, beliau sudah dapat membaca segala "mesej politik" di peringkat awal sama ada yang tersirat dan tersurat. Beliau tidak boleh tunduk kepada campur tangan kuasa ketiga dalam karier politiknya selepas ini. Sebagai seorang pemimpin politik yang cukup berpengalaman dan telah lama berkecimpung dalam jatuh bangun politik MIC selama ini, sudah tentulah beliau lebih arif untuk menentukakan "strategi politiknya" yang dapat menjamin masa depan parti dan dirinya sebagai Presiden. Beliau juga telah memulakan satu permulaan yang baik dengan menganjurkan sesi sumbang saran bersama Jawatankuasa Kerja Pusat ( CWC) MIC baru-baru ini yang dapat merencanakan satu pelan strategik jangka pendek dan jangka panjang untuk MIC . Perubahan dalam kepimpinan MIC seharusnya melakarkan satu kepercayaan baru dan masa depan yang lebih terjamin kepada parti tersebut selepas ini di bawah kepimpinan Palanivel. Justeru itulah segala percaturan politik beliau selepas ini perlu mengutamakan sensitiviti masyarakat India. Penulis ialah perunding media dan penganalisis politik |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan