Ahad, 2 Januari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Hari tanpa beg plastik

Posted:

Hari tanpa beg plastik

Hari tanpa beg plastik

Oleh Mohd. Fairuz Yusof
utusanpahang@utusan.com.my


MOHD. A. Aruwan Ab. Aziz menyampaikan beg pelbagai guna kepada seorang pelanggan pada kempen Hari Tanpa Beg Plastik di pasar raya Giant, Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 2 Jan. - Kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang diadakan pada setiap hari Sabtu akan diperluaskan meliputi kios di stesen minyak dan kedai runcit di seluruh negeri ini bermula tahun ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, perkara itu disambut baik oleh pengusaha stesen minyak bagi menyedarkan masyarakat tentang kesan beg plastik kepada alam sekitar.

Menurutnya, sebanyak 200 kios terbabit akan menjalankan kempen tersebut yang diadakan pada hari Sabtu setiap minggu yang mana pengguna tidak akan diberikan beg plastik ketika membeli barang di situ.

"Kempen tersebut akan diperluaskan ke kedai-kedai runcit sama ada di bandar atau kampung melalui fasa kedua yang akan dijalankan pada April ini bagi menimbulkan kesedaran mereka tentang kesan beg plastik terbabit.

"Langkah ini bukan saja melibatkan kementerian tetapi juga turut mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar Pahang," katanya selepas merasmikan Hari Tanpa Beg Plastik di pasar raya besar Giant di sini hari ini.

Menurut Mohd. A. Aruwan, kempen itu untuk mewujudkan gaya hidup lestari dengan mengambil kira aspek persekitaran sebagai suasana baru dalam menjalani kehidupan.

Selain itu, penglibatan pasar raya besar dalam kempen tersebut merupakan satu tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat selain turut menyokong usaha yang dijalankan kerajaan.

Dalam pada itu katanya, sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu, sebanyak 14 pasar raya menyertai kempen tersebut.

Jelasnya, penyertaan terbaru empat pasar raya pada tahun ini menyaksikan kempen berkenaan memberi kesan kepada pelanggan supaya tidak menggunakan beg plastik ketika membeli-belah pada hari tersebut.

Katanya, pihaknya tidak melarang mana-mana pasar raya yang ingin memanjangkan tempoh kempen itu pada hari lain tetapi perlu memaklumkan pada pejabat kementerian bagi mengetahui pelaksanaannya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ukiran kayu jana pendapatan lumayan

Posted:

Ukiran kayu jana pendapatan lumayan

Ukiran kayu jana pendapatan lumayan


Pengurus Inakraf, Mohaimin Hasbullah (kiri) memberi penerangan tentang produk ukiran kayu kepada Osman Kassim (dua kiri) di Balai Raya Kampung Mempateh, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 2 Jan. - Golongan belia khususnya orang Melayu digalakkan mempelajari bidang ukiran kayu yang mampu menjana pendapatan lumayan dan mempunyai pasaran luas sehingga ke pasaran antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perusahaan Kayu Malaysia (MTIB), Osman Kassim berkata, perusahaan ukiran kayu sudah sinonim dengan masyarakat Melayu yang mempunyai kreativiti menghasilkannya.

Menurutnya, bidang tersebut semakin kurang mendapat perhatian walaupun ia mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha.

"Bidang ukiran kayu boleh menambah nilai produk kayu khususnya di Pahang yang banyak mengeluarkan kayu bergergaji, papan lapis dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Bengkel Ukiran Kayu MTIB dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mempateh di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua MTIB Pahang, Ramli Mohamad Khanafiah; Penghulu Mukim Semantan, Wan Ahmad Zabri Wan Mat Alam dan Pengerusi JKKK Mempateh, Md. Nor Sharhar Baki.

Osman berkata, program yang dijalankan itu bagi meneruskan usaha untuk memantapkan aktiviti ukiran kayu di seluruh negara.

Beliau berkata, bidang itu adalah satu aktiviti yang perlu dikekalkan kerana mampu menambah nilai sesuatu produk berasaskan perkayuan.

Menurutnya, MTIB berusaha menerapkan semula aktiviti ukiran kayu kepada masyarakat khususnya belia yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusaha.

Katanya, program yang diadakan selama 10 hari itu disertai 30 peserta dan MTIB menyediakan bahan mentah seperti kayu dan kos lain ditanggung sepenuhnya oleh agensi itu.

"Ia dibimbing tenaga pengajar berpengalaman iaitu dari Inakraf yang telah mengusahakan produk kraf tangan lebih 20 tahun. Dalam bulan ini sahaja MTIB telah mengadakan tiga projek seumpama ini di Johor, Terengganu dan Pahang membabitkan kos berjumlah RM40,000 bagi setiap negeri," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan