Rabu, 12 Januari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kagum kejayaan basmi kemiskinan

Posted:

Kagum kejayaan basmi kemiskinan

Kagum kejayaan basmi kemiskinan

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my


Peserta melihat kerja-kerja membungkus madu lebah di Taman Bukit Cermin.


TEMERLOH 12 Jan. - Deograstias Musoke, 35, dari Uganda merasa kagum melihat seorang pengusaha madu lebah tualang di Taman Bukit Cermin, Mohd. Hanapi Ramli, 43, berjaya menjalankan perniagaannya walaupun dibuat secara kecil-kecilan.

Selain Deograstias, 28 lagi peserta dari 20 buah negara dunia ketiga turut kagum melihat bagaimana kejayaan dasar kerajaan Malaysia menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar.

Mereka terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan bukan kerajaan dari negara dunia ketiga yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan polisi negara penerima bantuan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan negara-negara Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afro-Asia (AARDO).

Peserta tersebut datang dari Afghanistan, Bangladesh, India, Iran, Indonesia, Jordan, Laos, Lebanon, Malawi, Myanmar, Nigeria, Filipina, Sudan, Tajikistan, Tanzania, Syria, Pakistan dan Uganda.

Kesemua 29 peserta itu menyertai kursus selama dua minggu untuk mempelajari pengalaman Malaysia membantu rakyatnya yang miskin, hidup berdikari bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Kursus itu dilaksanakan oleh agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu Institut Kemajuan Desa (Infra) dengan kerjasama PKTM, Kementerian Luar dan AARDO, baru-baru ini.

Seramai 20 orang daripada mereka merupakan pegawai kanan kerajaan negara berkenaan yang mengikuti kursus 'Poverty Allevition Localising The Anti-Proverty Agenda: Malaysian Experience.'

Mereka diberikan kursus oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Felda, RISDA, Amahan Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Modul kursus tersebut merangkumi pembasmian kemiskinan daripada perspektif global dan strategi Malaysia, pemodenan dan perubahan luar bandar, pembangunan tanah, kelangsungan dan keseimbangan pertumbuhan.

Mereka turut didedahkan dengan mekanisme perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian, strategi dan instrumen terpilih dalam pertanian moden, pengurusan, penyertaan petani dan pengehakupayaan dalam pasaran ekonomi serta pembentukan pelan tindakan.

Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar amat menarik perhatian negara-negara dunia ketiga yang ingin menjadikan pengalaman itu sebagai model untuk dicontohi dan dilaksanakan di negara masing-masing.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman bagi membantu negara dunia ketiga menghapuskan kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar di negara terbabit.

Rata-rata mereka kagum melihat usaha yang dijalankan Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan penduduk luar bandar menerusi pelbagai projek untuk membebaskan diri mereka daripada kemiskinan menerusi program kemahiran, keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan.

Seorang peserta dari Pakistan, Hassan Abbas Chaudhry, 41, berkata, pengalaman yang dilalui Malaysia boleh dijadikan model untuk menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk negaranya.

"Pengalaman Malaysia sangat berharga dan ia boleh dicontohi oleh negara-negara miskin untuk membangunkan rakyat mereka di luar bandar menerusi pelbagai program yang jitu.

"Saya cukup tertarik dengan program yang dilaksanakan oleh Malaysia kerana cara ia membantu rakyat miskin bukan hanya melalui bantuan semata-mata tetapi mengajar mereka untuk berdikari melalui keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.

Seorang lagi peserta, Zaina Namaye, 38, dari Uganda merasa begitu teruja melihat keupayaan penduduk miskin negara ini yang mampu hidup berdikari setelah berjaya memanfaatkan segala ilmu serta peluang yang diberikan kerajaan.

"Saya merasa kagum melihat kaum wanita yang begitu gigih dan bersemangat berusaha membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

"Apabila pulang nanti, saya berharap dapat melaksanakan sebaik mungkin melalui kursus yang kami lalui ini kerana saya yakin pengalaman Malaysia sangat berguna untuk membantu penduduk miskin luar bandar di negara saya dapat hidup berdikari," katanya.

Sepanjang dua minggu berada di negara ini, para peserta terbabit dibawa melawat menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur selain mengunjungi beberapa projek yang diusahakan oleh peserta luar bandar di Pahang.

Antara yang dilawati ialah melihat pembuatan perusahaan makanan oleh peserta AIM di Karak dan Felda Lurah Bilut di Bentong.

Selain itu, mereka turut dibawa melawat projek di Temerloh iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang, Kemas, perusahaan madu lebah di Bukit Cermin, kraf tangan tradisional di Kampung Sanggang, dan Santuari Kebangsaan Gajah di Kuala Gandah.

Mereka menyifatkan lawatan tersebut sangat berguna kerana dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam membangunkan kawasan luar bandar sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kejayaan tidak datang bergolek - ADUN

Posted:

Kejayaan tidak datang bergolek - ADUN

Kejayaan tidak datang bergolek - ADUN


Para peserta dari dunia ketiga bergambar bersama Chuah Boon Seong (duduk, empat dari kanan) dan penduduk Taman Bukit Cermin semasa melawat tempat memproses madu lebah di Taman Bukit Cermin, Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 12 Jan. - Kejayaan dan pengalaman Malaysia menghapuskan kadar kemiskinan luar bandar kini menjadi contoh kepada beberapa negara membangun dan miskin.

Kejayaan negara itu boleh dikongsikan bersama dengan kerajaan dan rakyat di negara-negara berkenaan mengikut acuan dan kebudayaan negara masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong, kejayaan itu tidak diperoleh dengan mudah.

Katanya, kejayaan itu tidak datang bergolek sebaliknya diperoleh daripada kerjasama antara kerajaan dengan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

"Sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara kaum seperti kepercayaan, budaya dan agama menjadi kunci atau asas kejayaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan harmoni.

"Keamanan yang dikecapi sejak merdeka hingga hari ini memudahkan usaha kerajaan untuk menghapuskan kadar kemiskinan di kalangan semua kaum.

"Pengalaman ini boleh dikongsi dengan penduduk negara negara dunia ketiga bagi menghapuskan kadar kemiskinan di negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran 29 peserta daripada 20 negara dunia ketiga yang melawat pusat memproses madu tualang di Taman Bukit Cermin, Mentakab, dekat sini, baru-baru ini.

Para peserta yang menyertai kursus anjuran Institut Kemajuan Desa (Infra), Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afro-Asia (AARDO) dan Kementerian Luar itu terdiri daripada Iran, Indonesia, India, Syria, Pakistan dan Uganda.

Mereka adalah ketua-ketua jabatan atau kementerian yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan polisi dari negara penerima bantuan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan negara-negara AARDO.

Pada lawatan itu, mereka diberikan penerangan bagaimana kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi membantu penduduk luar bandar menjalankan pelbagai program keusahawanan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Sepanjang tiga hari berada di negeri ini, para peserta dibawa melawat ladang getah dan kelapa sawit RISDA, projek ekonomi kampung di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seperti memproses madu dan perusahaan kraftangan tradisional selain mengunjungi Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah dan Felda Lurah Bilut.

Sehubungan itu, Boon Seong berharap peserta berkenaan dapat memahami dan mempelajari polisi, strategi dan program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh Malaysia.

Melalui pendekatan sedemikian jelasnya, mereka dapat berkongsi maklumat dan pengajaran terhadap usaha-usaha meningkatkan keupayaan golongan miskin menerusi program peningkatan pendapatan.

Beliau yakin dengan meningkatkan kerjasama dan hubungan di kalangan pegawai negara-negara yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar, ia dapat membantu mereka menangani masalah kemiskinan di negara masing-masing.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Misi perkasakan Felda Wilayah Jengka

Posted:

Misi perkasakan Felda Wilayah Jengka

Misi perkasakan Felda Wilayah Jengka

UTUSAN: Generasi pertama Felda secara purata semuanya telah berusia 60 tahun. Apakah persediaan Felda Wilayah Jengka untuk memastikan wujudnya kesinambungan pengurusan ladang oleh generasi keduanya?

SAARI: Felda menyedari perubahan yang akan berlaku itu. Masa beredar begitu pantas. Peneroka yang dahulunya cergas tidak lagi produktif malah ramai yang telah meninggal dunia.

Namun, pengurusan ladang yang diwariskan perlu dibangunkan secara teratur seperti biasa. Dalam hal ini, Felda telah mengambil inisiatif membimbing generasi baru peneroka bagi mengambil alih peranan yang dimainkan oleh bapa mereka dahulu.

Ini bermaksud salah seorang anak lelaki dalam keluarga peneroka diberi kepercayaan menggantikan bapa dan wajib tinggal di tanah rancangan.

Pengganti peneroka diberi orientasi yang sesuai dengan peranan mereka sebagai pewaris yang bertanggungjawab untuk membina sebuah masyarakat Felda yang bersatu padu, maju dan bersyukur.

Bagi tujuan itu, Felda Wilayah Jengka melaksanakan pembangunan sumber manusia dalaman bagi melahirkan pegawai dan petugas Felda yang proaktif, sihat pemikiran dan inovatif yang bersedia menerima perubahan.

Felda Wilayah Jengka bertindak proaktif mewujudkan Unit Pemantauan Isu Semasa dan Aduan Peneroka pada tahun ini. Apakah motif penubuhan unit itu?

Kita sedia maklum bahawa Felda sentiasa dekat di hati banyak pihak sama ada di dalam atau luar tanah rancangan. Ini tidak dapat dielakkan kerana masing-masing mungkin ada kepentingan tertentu.

Kita bersikap rasional dan peka dengan apa juga permasalahan yang dikemukakan pihak berkenaan. Aduan boleh dikemukakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), surat, e-mel dan akhbar.

Felda meletakkan kotak aduan di pejabat pentadbiran, masjid dan balai raya di tanah-tanah rancangan. Dua sekretariat ditubuhkan di peringkat tanah rancangan dipengerusikan pengurus rancangan masing-masing manakala di peringkat wilayah, pengurus besar akan menjawab semua aduan secepat mungkin.

Semua surat dalam peti aduan akan dibuka pada setiap Rabu. Rasional pendekatan ini ialah supaya semua isu atau masalah dalaman Felda diselesaikan secara kekeluargaan bukannya didedahkan kepada pihak luar yang gemar menjatuhkan reputasi Felda.

Dalam pada itu, kami mengalu-alukan kedatangan Pengerusi baru Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menggantikan Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor mulai 1 Januari lalu. Jasa Mohd. Yusof sentiasa dikenang.

Felda menyediakan pelbagai skim membantu peneroka sejak beberapa tahun lalu. Apa perkembangan terkini skim berkenaan?

Felda membelanjakan ratusan juta ringgit untuk memberi pinjaman tanpa faedah yang bertujuan menambah baik status sosioekonomi masyarakat peneroka.

Felda Wilayah Jengka mengambil inisiatif meningkatkan kecekapan kutipan pinjaman peneroka supaya dapat memperoleh dana pusingan untuk membiayai pinjaman individu lain pula. Mereka yang terbabit perlu menjelaskan pinjaman yang telah dibuat.

Sebagai contoh di bawah skim pinjaman pembesaran rumah, sebanyak RM83.915 juta disalurkan kepada 2,719 peminjam dengan purata RM40,000 seorang sehingga awal tahun ini.

Pinjaman komputer dinikmati 140 peminjam dengan peruntukan RM347,800, pinjaman pengajian tinggi sebanyak RM1.08 juta (98 orang) dan pinjaman SIUF sebanyak RM3.1 juta (285 orang).

Sikap positif untuk membayar hutang perlu disemat di hati setiap peminjam kerana jika gagal berbuat demikian, mereka menganiaya orang lain yang tidak dapat membuat pinjaman kerana ketiadaan dana mencukupi.

Apakah pendekatan Felda dalam membantu pihak sekolah meningkatkan prestasi peperiksaan utama di Wilayah Jengka?

Aspek pendidikan sangat dititikberatkan oleh Felda. Kita tidak berkompromi dalam usaha membina masyarakat Felda yang berpendidikan, berkemahiran dan bermaklumat.

Kita membelanjakan ratusan juta ringgit dalam bidang pendidikan, kemahiran dan sebagainya.

Sebagai contoh, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini mencatatkan keputusan cemerlang 5A seramai 186 orang atau 12.2 peratus dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) seramai 172 orang atau 12 peratus.

Felda Wilayah Jengka mewujudkan Majlis Pemuafakatan Pendidikan (MPP) di peringkat tanah rancangan membabitkan keanggotaan Felda, sekolah dan ibu bapa manakala di peringkat wilayah pula disertai oleh pegawai pelajaran daerah dan sekolah.

Generasi baru yang cemerlang akan ditaja belajar di luar negara atau diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) dan lain-lain institusi.

Apakah usaha lain untuk mengangkat martabat warga Felda dalam bidang sosioekonomi?

Pejabat Felda Wilayah Jengka menyeru warga Felda terus bersama Felda dan menghantar hasil berkualiti ke kilang kita. Mereka dijamin mendapat pendapatan terbaik berikutan harga komoditi sawit tinggi di pasaran.

Mereka layak mendapat bonus produktiviti seperti yang diumumkan baru-baru ini iaitu sebanyak RM13.4 juta kepada peneroka Wilayah Jengka di samping boleh memohon apa sahaja skim yang disediakan Felda.

Dalam bidang keagamaan pula, sebuah maahad tahfiz ditubuhkan tahun ini dengan pengambilan sulung seramai 50 murid tingkatan satu di Felda Kota Gelanggi 3 bagi melahirkan pelapis imam. Kos pembiayaan ditanggung Persatuan Gabungan Masjid Wilayah Jengka.

Felda Wilayah Jengka juga membina lebih banyak gelanggang futsal secara berperingkat manakala perkembangan kemajuan projek perumahan warga Felda (PWF) di Felda Siantan Jengka siap pada tahun depan.

Kita mahu melahirkan masyarakat peneroka yang bersatu padu dan bermuafakat tanpa adanya elemen seperti 'enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing', sebaliknya mengamalkan semangat silaturahim yang unggul.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan