Utusan Online - Kota |
Posted: Longkang perangkap mautOleh RASMI ABDULLAH
PELABUHAN KLANG 12 Jan. - Penduduk Bandar Baru Sultan Sulaiman di sini bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka ekoran kegagalan pihak bertanggungjawab membaiki kerosakan pagar longkang besar berhampiran kawasan perumahan itu. Mereka mendakwa, kerosakan pagar itu telah berlarutan sejak lima tahun lalu tanpa ada usaha pembaikan sehingga keadaannya menjadi semakin teruk dan memerlukan belanja besar untuk dibaiki. Selain itu, sudah beberapa kejadian kanak-kanak terjatuh dan cedera dilaporkan berlaku tetapi ia masih tidak membuka hati pihak berkuasa untuk membaiki pagar itu. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati longkang sepanjang kira-kira tiga kilometer itu sangat hampir dengan kawasan perumahan itu dan menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain. Seorang penduduk, Noratia Mohd. Yunus, 42, berkata, anak keduanya pernah terjatuh ke dalam longkang tersebut kerana tiada pagar yang boleh menghalang kanak-kanak daripada memasuki ke longkang itu. Katanya, kanak-kanak memang gemar bermain di situ termasuk memancing terutama jika longkang dipenuhi air. Katanya, bukan penduduk tidak melarang anak-anak mereka daripada bermain di situ tetapi sukar untuk menjamin mereka untuk tidak ke longkang terutama jika tiada ibu bapa yang memerhatikan. "Biasalah... kanak-kanak bila kita larang, dia tak buat tetapi bila kita leka sikit, mula mereka bermain di kawasan longkang itu," katanya ketika ditemui di sini. Noratia berkata, apa yang ibu bapa khuatirkan ialah jika terdapat kanak-kanak terjatuh dalam longkang itu ketika air penuh yang mungkin akan membawa kepada kejadian lemas dan sebagainya. Suri rumah itu berharap pihak berwajib segera membina semula pagar di kawasan longkang tersebut agar penduduk terutam kanak-kanan tidak terdedah kepada risiko terjatuh dan tercedera. Seorang lagi penduduk, Hamim Shamsuddin, 40, berkata, hanya dengan pembinaan semula pagar akan dapat memastikan kanak-kanak tidak masuk ke kawasan longkang tersebut. "Bukan semua ibu bapa boleh memerhatikan anak-anak mereka sepanjang masa supaya tidak bermain di tepi longkang itu kerana ada juga di kalangan penduduk yang bekerja," katanya. Siti Amira Zainal, 22 turut merasai kebimbangan yang sama kerana dia sendiri pernah melihat kanak-kanak di situ hampir terjatuh ke dalam longkang yang ketika itu dipenuhi air. "Bayangkanlah kalau kanak-kanak itu terjatuh mungkin dia akan lemas atau tercedera," katanya. | ||
Medan Selera Rakyat berwajah baru Posted: Medan Selera Rakyat berwajah baru
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Santai, tenang dan hijau. Itulah suasana yang akan anda nikmati apabila berkunjung ke Medan Selera Rakyat yang terletak di Tingkat 2, bangunan Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jalan Raja Laut di sini. Medan selera yang mula beroperasi pada Ogos 1999 serta menempatkan lapan lot gerai itu kini diberikan wajah baru yang berkonsepkan santai dan kehijauan. Dengan kos sebanyak RM190,000, medan selera itu telah diubah suai buat kali kedua pada November lalu dan siap sepenuhnya pada minggu ketiga bulan Disember sebelum beroperasi semula pada penghujung tahun lalu. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana di Medan Selera Rakyat itu sangat menarik dan pasti akan membuka selera pengunjung untuk menjamu selera. Orang ramai juga teruja dengan persekitaran baru medan selera itu yang dikatakan jarang ditemui di medan selera lain. Seorang pelanggan, Norazelah Che Ayub, 28, berkata, medan selera yang diberi wajah baru itu kelihatan sangat indah. Katanya, dengan suasana santai serta dikelilingi tumbuhan hijau, dia berasa sangat selesa ketika menjamu selera di situ. Ujarnya, makanan yang dihidangkan juga terdiri daripada pelbagai jenis, sekali gus memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan. "Tidak perlu lagi saya bersusah payah menjamu selera di tempat lain kerana di sini sudah cukup sempurna," katanya yang juga merupakan seorang kakitangan Mara. Nurhazimah Tarmizi, 25, pula berkata, setiap hari dia menjamu selera di medan selera itu dan pengubahsuaian kawasan ini menjadikannya lebih menarik dan ceria. Katanya, bukan sahaja santai, malah terdapat pelbagai pokok-pokok yang cantik yang ditanam bagi mengindahkan dan menyegar pemandangan di kawasan itu. "Makanan yang ditawarkan di sini juga sangat berpatutan dan sesuai untuk kebanyakan orang yang mencari pelbagai jenis makanan di satu tempat," katanya. Katanya, lebih menarik lagi ialah gerai-gerai di situ tetap beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad, sekali gus memudahkan orang ramai menjamu selera selepas membeli-belah di sekitar kawasan itu. Sementara itu, Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, medan selera itu diberi wajah baru supaya tampak lebih segar, seiring dengan perkembangan semasa dan memenuhi tuntutan pengguna. Ujarnya, dengan pengubahsuaian itu, ia mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke Medan Mara. Katanya, kebanyakan peniaga di situ adalah penyewa lama yang tidak pernah mempunyai tunggakan sewa. "Mereka ini memang komited dalam mengusahakan gerai masing-masing dan saya yakin mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik dan menyediakan menu yang enak," katanya. Idris berkata, walaupun bangunan itu adalah bangunan lama yang mungkin tidak seindah bangunan baru lain di ibu negara tetapi apabila masuk ke dalamnya, ia ternyata hebat. | ||
Pengarah dipenjara, didenda RM3 juta Posted: Pengarah dipenjara, didenda RM3 jutaKUALA LUMPUR 12 Jan. - Dua bekas pengarah syarikat penasihat pelaburan termasuk seorang Datuk tergamam apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka yang didapati bersalah memanipulasi pasaran saham tujuh tahun lalu. Hakim S.M. Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3 juta atau penjara enam bulan terhadap bekas pengarah Kumpulan Impetus Consolidation Sdn. Bhd., Datuk Wong Chee Kheong, 49. Bekas pengarah eksekutif syarikat itu, Bun Lit Chun, 41, pula dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Chee Kheong yang diwakili peguam Gobind Singh Deo kelihatan tenang tetapi Lit Chun yang berdiri di sebelahnya di dalam kandang pesalah, menangis buat beberapa ketika. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam menangguhkan pelaksanaan kedua-dua hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Komathy dalam keputusannya menyatakan, mahkamah perlu meletakkan tanda aras dalam menghukum pesalah-pesalah yang memanipulasi pasaran saham kerana ia kesalahan berat. Katanya, tindakan mereka boleh mempengaruhi keyakinan pelabur serta menjejaskan integriti sistem keselamatan pasaran saham negara ini. Komathy turut menyatakan, kedua-dua tertuduh tidak menunjukkan penyesalan apabila enggan mengakui kesalahan yang telah dilakukan. Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menyatakan, tertuduh pertama memainkan peranan penting sebagai perancang utama dalam kesalahan tersebut. Manakala tertuduh kedua pula dilihatnya bertindak sebagai pekerja bawahan yang hanya menurut perintah majikan. Terdahulu, ketika diberi peluang merayu sebelum hukuman dijatuhkan, Lit Bun memilih untuk membacakan sendiri rayuannya walaupun dia diwakili peguam bela, Hasnal Hamzah. Sambil mengesat air mata, lelaki itu menyatakan, sepanjang tujuh tahun kes ini berjalan, dia melalui kehidupan yang amat sukar kerana segala hartanya termasuk rumahnya dijual untuk membayar hutang. Dia juga menghadapi saman muflis sehingga kadangkala terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakan untuk memastikan isteri, anak dan ibunya yang sakit dapat meneruskan kehidupan. Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah pada 7 Januari lalu atas tuduhan memanipulasi pasaran saham melibatkan sembilan akaun sistem depositori pusat (CDS) di Bursa Malaysia Securities Berhad (BMSB) antara 24 November 2004 dan 22 Mac 2005 di BMSB, Tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini. Mereka didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dibaca bersama Seksyen 34 dan 40 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta itu yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun. Sepanjang perbicaraan, sebanyak 38 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Geethan Ram Vincent dan Roz Mawar Rozain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan