Selasa, 4 Januari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Lihatlah keadaan jalan kami

Posted:

Lihatlah keadaan jalan kami

Lihatlah keadaan jalan kami

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Penduduk Kampung Pulau Meranti Tambahan di Dengkil tiada pilihan selain terpaksa melalui jalan tanah merah yang lecak dan berlopak untuk keluar masuk ke kampung itu.


DENGKIL 4 Jan. - Dalam tempoh 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, sudah tidak terbilang jumlah pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan untuk dinikmati oleh penduduk negara ini.

Namun, bagi kira-kira 45 buah keluarga di Kampung Pulau Meranti Tambahan dekat sini, yang berdekatan dengan Putrajaya dan Cyberjaya, keadaannya sangat berbeza.

Penduduk kampung terbabit hanya dapat menikmati kemudahan asas seperti bekalan air pada November 2009 manakala bekalan elektrik pula, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Walaupun mereka merasa dipinggirkan, rasa syukur tetap dipanjatkan kerana apa yang mereka perjuangkan selama hampir lebih dua dekad lalu akhirnya direalisasikan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.

Tetapi memadaikah hanya dengan dua keperluan asas itu sahaja. Apakah rakyat dapat hidup selesa hanya dengan bekalan air dan elektrik sahaja. Jawapannya tentulah tidak.

Ada satu lagi keperluan yang ditagih penduduk agar dapat diatasi dengan segera iaitu kemudahan jalan keluar masuk ke kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa, ketiadaan kemudahan jalan yang memuaskan di kampung itu bukan sahaja menyulitkan untuk anak-anak mereka ke sekolah tetapi turut mengundang kesukaran kepada penduduk untuk membawa hasil tanaman untuk dijual.

Dengan hampir semua penduduk di situ mencari rezeki dengan berkebun dan menternak haiwan, kemudahan jalan yang sempurna amat diperlukan bagi memasarkan hasil yang dikeluarkan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terlibat mendapati, keadaan jalan di kampung itu cukup teruk dan daif seperti berada di sebuah kawasan yang jauh di pedalaman atau kawasan kampung di tahun 70-an.

Penduduk berkata, keadaan jalan tanah merah itu didakwa lebih menimbulkan kesulitan apabila tiba musim hujan seperti sekarang kerana jalan menjadi becak dan berlumpur serta berlopak-lopak.

Pada waktu malam pula, keadaan di situ gelap-gelita tanpa ada sebatang pun lampu jalan menyebabkan penduduk perlu membereskan urusan mereka sebelum senja bagi mengelak kepayahan.

Memandangkan tiada pilihan lain, penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang terletak di tanah milik pemaju Cyberjaya.

Bagaimanapun, keadaan jalan tersebut juga tidak banyak bezanya dengan keadaan jalan sedia ada tetapi lebih baik kerana ia berpasir berbanding jalan tanah merah di jalan sedia ada.

Kata penduduk, masalah itu telah pun dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya daerah Sepang serta Pejabat Daerah dan Tanah daerah itu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada tanda-tanda pembaikan jalan tersebut akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tahun baru diharap bawa perubahan

Posted:

Tahun baru diharap bawa perubahan

Tahun baru diharap bawa perubahan

DENGKIL 4 Jan. - Penduduk Kampung Pulau Meranti Tambahan dekat sini berharap tahun 2011 akan membawa perubahan kepada kampung tersebut khususnya dari segi pembangunan.

Wakil penduduk, Sulaiman Rahmat, 66, berkata, selepas mendapat bekalan air dan elektrik, mereka berharap masalah jalan masuk ke kampung itu mendapat perhatian pihak berkuasa.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang memaklumkan kepada penduduk bahawa peruntukan bagi projek pembinaan jalan itu telah diluluskan tetapi dikatakan masih 'tersangkut' di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang.

"Sebagai penduduk, kami hanya berharap projek pembinaan jalan ini dapat diteruskan kerana selama ini kami bukan sahaja terpaksa menanggung kesusahan tetapi juga kerugian.

"Ini kerana banyak hasil tanaman tidak dapat dibawa keluar untuk dipasar akibat keadaan jalan yang sangat teruk sehingga tidak boleh dilalui oleh lori," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sulaiman berkata, dia juga berharap insiden 'ditendang ke sana sini' sewaktu penduduk memohon bekalan air dan elektrik dahulu tidak berulang.

Jamaludin Bajuri, 64, juga meminta pihak yang bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan jalan di kampung itu.

"Dalam usia sebegini, tiada apa yang saya harapkan selain dapat menikmati kemudahan asas yang lebih sempurna.

"Saya berharap pihak berkuasa tidak lepas tangan dan meminggirkan kami di sini," ujarnya.

Bagi Norlan Daud, 61, apa yang berlaku di kampung berkenaan benar-benar mengejutkan kerana walaupun kedudukannya hampir dengan Cyberjaya dan Putrajaya tetapi kampung itu terlepas pandang oleh pihak bertanggungjawab.

Dia yang merupakan antara peneroka awal di kawasan itu mengakui terpaksa menangguhkan terlebih dahulu hasrat untuk tinggal di kampung berkenaan beberapa tahun lalu disebabkan kemudahan asas masih belum sempurna.

"Saya hanya berpindah beberapa hari sebelum Hari Raya Puasa tahun lalu selepas bekalan elektrik dipasang," ujarnya.

Norlan berkata, kerajaan diharap dapat mempercepatkan pembinaan jalan keluar masuk di kampung berkenaan demi kemudahan penduduk di situ.

Katanya, keadaan jalan di situ bukan sahaja menyulitkan penduduk kampung keluar dan masuk tetapi juga ahli keluarga mereka yang ingin datang menziarah.

Ketua Kampung Pulau Meranti, Zul Asri Anbia, 40, berkata, perkara tersebut telah sampai kepada pengetahuan pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil untuk mempercepatkan pembinaan jalan di situ.

Dia menyifatkan tiada keazaman di pihak bertanggungjawab untuk memula dan menyiapkan pembinaan jalan di situ sebagai punca masalah itu tidak dapat diselesaikan.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan projek pembinaan jalan di sini. Ia bukan sahaja bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk tetapi ia adalah hak mereka sebagai rakyat untuk menikmati kemudahan asas," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan