Utusan Online - Kota |
Posted: Teruja kecanggihan TBS-BTSOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Orang awam nyata teruja dengan keselesaan, suasana menyegarkan dan kecanggihan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini yang memulakan operasi Sabtu lalu. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain penumpang bas, ramai juga yang mengambil kesempatan sempena cuti umum semalam untuk melawat dan meninjau sendiri terminal moden itu bersama ahli keluarga. Selain penumpang bas, pengunjung juga turut mengambil kesempatan sempena cuti umum tahun baru dengan membawa keluarga masing-masing berkunjung ke terminal tersebut dalam menyaksikan sendiri kecanggihan dan kemodenan yang terdapat disitu. Seorang pengunjung, Abdullah Mahmood, 59, yang membawa keluarga melawat terminal bas yang baru beroperasi itu berkata, terminal itu sangat selesa dan menawarkan perkhidmatan seperti di sebuah lapangan terbang. Katanya, TBS-BTS juga menawarkan kemudahan dan perkhidmatan yang sangat berbeza dari mana-mana terminal bas yang sedia wujud di negara ini. Kata Abdullah, pekerja-pekerja di situ juga dilihat memberikan kualiti perkhidmatan dan layanan yang mesra terhadap penumpang dan pengunjung yang datang ke terminal tersebut. "Kaunter tiket juga beroperasi dengan sangat cekap dan orang ramai hanya memerlukan masa yang singkat untuk mendapatkan tiket mereka," katanya. Dia turut memuji ketepatan waktu berlepas bas di terminal itu. "Kalau bas dijadual berlepas pukul 9 pagi, maka pukul 9 lah. Tidak perlu menunggu terlalu lama seperti di terminal-terminal bas lain sebelum ini," katanya. Namun, di sebalik kemudahan moden yang tersedia di situ, orang ramai dilihat masih tidak faham dengan sistem yang digunakan di situ sehingga ada yang seperti terpinga-pinga dan tidak tahu ke mana hendak dituju. "Ini perkara biasa bila tempat baru diperkenalkan. Saya yakin lama-kelamaan orang ramai pasti akan faham dan selesa dengan keadaan di sini," katanya. Seorang penumpang, Hazlina M. Kalam, 33, berkata, terminal yang menakjubkan itu membuktikan kerajaan serius dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Katanya, ia merupakan satu idea yang bagus dan bakal menjadi kebanggaan negara kerana belum ada terminal bas secanggih itu di rantau ini. Katanya, dengan pembangunan seperti ini, ditambah pula dengan mutu perkhidmatan bas yang cekap, ia pasti membuka mata dunia terhadap sistem pengangkutan awam di Malaysia. "Segala-galanya berjalan dengan baik di sini, suasananya, sistematik dan keselamatan juga sangat terjamin. Tiada lagi ulat-ulat tiket akan mengganggu penumpang. Dalam pada itu, sistem jualan tiket yang dikendalikan sendiri oleh pihak pengurusan TBS-BTS melancarkan proses pembelian tiket bas di terminal berkenaan. Tinjauan mendapati orang ramai tidak mengambil masa yang lama untuk membeli tiket bas untuk ke destinasi masing-masing. Pengurus Komunikasi Korporat Maju Holdings Sdn. Bhd., Badrul Izhan berkata, pihak pengurusan TBS-BTS yang menguruskan segala proses pembelian tiket bas di terminal berkenaan dan bukannya syarikat-syarikat bas. "Orang ramai yang mahu membeli tiket boleh merujuk terus kepada kami, cara ini lebih memudahkan mereka," katanya ketika ditemui. Namun begitu, masih terdapat sedikit kekurangan di terminal itu kerana masih banyak syarikat bas yang belum beroperasi di situ. Difahamkan, hanya lapan syarikat bas sahaja yang beroperasi sejak Sabtu lalu. Badrul memberitahu, tarikh akhir syarikat bas lain beroperasi di terminal berkenaan masih belum diputuskan. Katanya, satu mesyuarat bersama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan 51 syarikat bas ekspres ke selatan akan diadakan untuk menyelesaikan masalah itu. TBS-BTS dilengkapi 55 platform untuk 1,000 bas keluar dan masuk setiap hari, 150 perhentian teksi, 1,000 tempat letak kereta termasuk kawasan letak kereta khas untuk wanita. Sementara itu, beberapa peniaga yang memulakan perniagaan di premis di terminal tersebut merungut dengan kadar sewa yang tinggi. Seorang peniaga, Xiau Yu, 19, berkata, kadar sewa yang dikenakan lebih tinggi berbanding di kompleks beli-belah seperti Berjaya Times Square dan Pavilion. "Kadar sewa yang tinggi dikenakan kepada peniaga cukup mengejutkan kerana ini hanya sebuah terminal bas awam," katanya. Rakan sekerjanya, Xiao Ar, 18, berkata, walaupun banyak premis niaga sudah ada penyewanya tetapi kadar sewa tidak seharusnya terlalu tinggi. "Pihak pengurusan terminal patut menawarkan kadar sewa yang murah kerana terminal ini baru dibuka. Kita tidak tahu bagaimana sambutannya," katanya. | ||
Posted: Dua sekolah agama dibina
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Dua buah sekolah agama akan dibina di kawasan Lembah Pantai di sini berikutan langkah kerajaan yang bercadang membina lebih banyak sekolah di kawasan itu bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin bertambah. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kementerian telah mendapat kelulusan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk membina dua sekolah agama itu. Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi pembinaan sekolah berkenaan yang lokasinya mungkin berdekatan Masjid Khadijah di Pantai Dalam dan Masjid Tun Rahah di Bukit Kerinchi. Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk menambah sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasan Parlimen Lembah Pantai. "Perkara ini telah diperjuangkan sejak dua tahun lepas, sebelum saya jadi menteri lagi, saya pun telah memohon kepada Timbalan Perdana Menteri sendiri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menambah sekolah di Pantai Dalam ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini. Raja Nong Chik berkata, jumlah populasi akan bertambah padat di masa depan kerana kebanyakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar raya ini tinggal di rumah pangsa dan apartmen di sekitar kawasan itu. "Pertambahan penduduk di kawasan ini menyebabkan kepadatan, kalau kita tengok ibu bapa pun dari golongan muda, boleh dikatakan 90 peratus golongan itu duduk di kawasan flat," katanya. Beliau berkata kerajaan bimbang dengan masalah itu kerana kerajaan mahu meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara menyeluruh. "Kalau sekolah ini tidak diberi perhatian, mereka (pelajar) tidak akan dapat meningkatkan kedudukan mereka, takut masalah-masalah timbul apabila mereka dewasa kelak," katanya. Mengenai tinjauannya di sekolah itu, Raja Nong Chik berkata 280 murid mendaftar untuk Tahun Satu dan mereka akan belajar dalam sembilan kelas. Beliau berkata terdapat kira-kira 1,000 murid bagi sesi pagi dan petang dan menurutnya keadaan kesesakan dalam bilik darjah itu perlu diatasi. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan