Utusan Online - Kota |
Nathalie Ratu Pelancongan, Gabrielle menang anugerah pakaian Posted: Nathalie Ratu Pelancongan, Gabrielle menang anugerah pakaian
SHAH ALAM 1 Jan. - Malaysia berjaya mencipta nama dalam pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa 2010 apabila peserta dari negara ini merangkul Anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik. Wakil Malaysia, Gabrielle Boudville, 20 yang berasal dari Selangor turut menduduki tempat ke-10 teratas daripada 55 peserta dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan itu. Pelajar jurusan rekaan fesyen Universiti Limkokwing itu berkata, kemenangannya itu sekali gus membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keunikan pakaian kebangsaan negara ini. ''Saya amat berbangga kerana Baju Puteri Perak rekaan pereka fesyen tempatan menerima penghargaan daripada pihak juri antarabangsa," katanya ketika ditemui ketika mengadakan sesi lawatan di Snowalk, i-City di sini hari ini. Gabrielle menerima anugerah tersebut dalam pertandingan akhir acara tersebut di Hotel Sunway Resort semalam. Mengulas kejayaannya itu, Gabrielle berkata, ketika ditanya oleh juri pentandingan mengenai cara memulihkan keamanan dunia, dia sempat mengetengahkan idea gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. ''Dengan mengamalkan konsep gagasan 1Malaysia, negara ini dapat meneruskan kehidupan yang aman dan damai walaupun ia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa," jelasnya. Sementara itu, peserta dari Australia, Holly-Anne Visser berkata, dia sangat kagum dengan keindahan negara ini. Peserta dari Venezuela, Stephanie Gonzalez pula berkata, sekembalinya ke tanah airnya nanti, dia mahu menceritakan tentang sikap rakyat Malaysia yang lemah lembut dan baik hati. "Anda (rakyat Malaysia) sangat bersopan-santun. Cara pertuturan sahaja sudah cukup membuktikan bahawa anda adalah masyarakat yang berbudi bahasa," jelasnya. Semenara itu, peserta Belanda, Nathalie Den Dekker dinobatkan sebagai Ratu Pelancongan Antarabangsa 2010. | ||
AEON jimat 10 juta beg plastik Posted: AEON jimat 10 juta beg plastikKLANG 1 Jan. - AEON yang mengendalikan pasar raya Jusco berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik di kalangan pelanggannya sebanyak 10 juta keping sejak memperkenalkan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik pada Januari 2008. Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat dan Penjenamaan Korporat AEON, Noryahwati Mohd. Noh berkata, pada akhir tahun 2010, AEON berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik sebanyak lapan juta keping manakala pada akhir 2009 sejumlah dua juta beg plastik dapat dijimatkan. "Pengurangan beg plastik sebanyak 10 juta keping ini sebenarnya turut menyumbang kepada penjimatan sumber tenaga iaitu sebanyak 14,640 liter petroleum," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan 'Hari Tanpa Beg Plastik' peringkat negeri di Bukit Tinggi di sini hari ini. Kempen itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Konsumerisme dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mahani Tan Abdullah. Noryahwati berkata, semasa AEON melancarkan kempen itu pada 2008, hanya lima peratus para pelanggannya yang menyambut baik saranan itu namun jumlah mereka kini meningkat kepada 15 peratus. Ketika AEON mula menjalankan kempen itu pada setiap Sabtu, pihaknya menghadapi rintangan kerana secara umumnya para pengguna di Malaysia sudah biasa diberikan kemudahan beg plastik percuma setiap kali membeli-belah, katanya. Pada 2008, AEON mengutip RM200,000 daripada penjualan beg plastik yang berharga 20 sen setiap satu pada setiap Sabtu itu dan menurutnya wang itu digunakan untuk membiayai projek penanaman pokok di AEON Mahkota Cheras dan program kemasyarakatan di Hospital Melaka. Mahani berharap kempen itu yang diadakan bertujuan untuk memelihara alam sekitar mampu menyedarkan masyarakat supaya kurang menggunakan beg plastik. Katanya, setiap pasar raya besar di negara ini memberi 100 juta beg plastik setahun untuk kegunaan para pelanggannya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan