Sabtu, 1 Januari 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Kumpulan pecah rumah tumpas

Posted:

Kumpulan pecah rumah tumpas

Kumpulan pecah rumah tumpas

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


TUN Hisan Tun Hamzah (kiri) menunjukkan bahan kes yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Seri Kembangan, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Hasil kecekapan polis berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah dengan penahanan lima penjenayah termasuk seorang gadis warga China semalam dan kelmarin, kurang 24 jam selepas mereka memecah masuk sebuah rumah di Taman Sungai Besi Indah di sini Rabu lalu.

Kesemua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan di ibu negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, berikutan penahanan semua suspek itu, pihaknya percaya dapat menumpaskan satu kegiatan pecah rumah dan penipuan cek bernilai RM2.9 juta.

Katanya, ini kerana dalam serbuan itu polis menemui sejumlah 2,501 keping cek pelbagai bank yang dipercayai akan dipinda butirannya menggunakan peralatan khas.

"Turut ditemui empat pucuk pistol tiruan dan beberapa bilah parang panjang yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Menurut Tun Hisan, kejayaan itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an menaiki sebuah kereta Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Taman Sungai Besi Indah di sini.

Katanya, hasil soal siasat, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Desa dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga China yang kesemua mereka berusia 22 hingga 33 tahun.

"Pemeriksaan ke atas rumah terbabit menemui sejumlah cek dipercayai dipinda pemilik dan jumlah bayaran selain peralatan digunakan suspek untuk tujuan itu.

"Kita percaya mereka mencuri cek-cek itu dan kad kredit yang dihantar melalui pos dari peti surat penerima," ujar beliau.

Tambah Tun Hisan, pelbagai barangan dipercayai hasil samun ditemui di rumah berkenaan antaranya, jongkong emas, komputer riba, barang kemas, telefon bimbit dan mesin pencetak yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga buah kenderaan yang dua daripadanya menggunakan plat nombor Singapura dipercayai digunakan suspek untuk menyamun.

"Siasatan ke atas plat nombor tersebut mendapati ia menggunakan plat nombor palsu manakala sebuah lagi milik salah seorang daripada suspek," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut menemui beberapa jenis dadah seperti syabu, Eramin 5 dan ketamin serta peralatan menghisap dadah di dalam rumah tersebut.

"Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif dalam penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan mengenai modus operandi kumpulan itu dan jika terdapat ahli kumpulan yang masih bebas.

Kata Tun Hisan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan 457 Kanun Keseksaan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Polis gempur mat rempit

Posted:

Polis gempur mat rempit

Polis gempur mat rempit

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 1 Jan. - Hari pertama tahun baru 2011 menyaksikan Lebuh Raya Utara-Selatan di Nilai, dekat sini, bertukar menjadi 'medan tempur' apabila polis trafik menggempur lokasi mat rempit awal pagi tadi.

Operasi bermula pukul 1 pagi hingga tengah hari itu menunjukkan 'taring' sebenar pasukan polis trafik Bukit Aman apabila 320 motosikal di kedua-dua arah lebuh raya tersebut diperiksa.

Daripada jumlah itu, seramai 32 penunggang berusia 16 hingga 30 tahun ditahan manakala motosikal mereka disita polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.

Antaranya menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat motosikal yang tidak mengikut spesifikasi.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat laluan Seremban ke Kuala Lumpur merupakan pilihan mat rempit pada sambutan tahun baru ini.

"Kita bertindak hasil maklumat orang ramai dan risikan dibuat sejak beberapa hari lalu. Hasilnya kita temui aksi-aksi rempit ala 'superman' di tengah-tengah lebuh raya yang sibuk itu," katanya.

Beliau ditemui di lebuh raya berhampiran kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Seremban, Nilai, dekat sini, awal pagi tadi.

Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mat rempit kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, tetapi juga kepada anggota polis dan pengguna jalan raya lain.

Katanya, operasi membabitkan 50 anggota dan pegawai polis trafik dari Bukit Aman itu juga mengeluarkan 166 saman, JPJ (15 saman) dan Jabatan Alam Sekitar (empat).

"Seorang penunggang ditahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan di tengah lebuh raya itu," ujarnya.

Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi operasi mendapati penunggang motosikal yang ditahan diarahkan menolak motosikal masing-masing dari kawasan R&R Seremban separuh jalan di lebuh raya itu ke IPD Seremban.

Abdul Aziz mengingatkan semua penunggang motosikal, khususnya golongan remaja dan belia supaya insaf dan tidak meneruskan hajat menjadi mat rempit pada masa hadapan.

"Saya menyeru semua ibu bapa memerhatikan tindakan anak masing-masing serta mengambil tahu di mana mereka keluar bersama rakan-rakan terutama sekali apabila menunggang motosikal," tegasnya.

Abdul Aziz turut memberi amaran keras untuk mengadakan operasi seumpama itu bukan hanya di lebuh raya berkenaan tetapi semua kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk mat rempit.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan