Isnin, 3 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


DUN Selangor: Pindaan bolehkan sultan, MB diberi kuasa lantik SUK

Posted: 03 Jan 2011 01:18 AM PST

SHAH ALAM, 3 Jan – Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Ketika ditanya mengenai tarikh sidang tergempar itu akan diadakan, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim hari ini.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Khalid berkata dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan," katanya.

Khalid hari ini menghadap Sultan Selangor di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Pelantikan Khusrin, 54, berkuat kuasa 1 Januari lepas bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Khusrin, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Khamis ini.

Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah tuanku, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Menteri Besar itu berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Mohamad Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

SUK Selangor: Saya tiada agenda politik, kata Khusrin

Posted: 03 Jan 2011 12:54 AM PST

SHAH ALAM, 3 Jan – Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi menegaskan, beliau tiada agenda politik apabila dilantik memegang jawatan tersebut berkuat kuasa kelmarin.

Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau masuk pejabat pukul 6.45 pagi.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, dilaporkan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Pada sidang media hari ini, Khusin juga menegaskan, beliau tahu akan tanggungjawab dan peranan sebagai penjawat awam.

"Saya ingin tegaskan bahawa sebagai penjawat awam saya tahu peraturan dan tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat oleh penjawat awam.

"Saya tidak ada apa-apa agenda politik dan tugas saya adalah untuk membantu jentera kerajaan negeri sekarang berjalan dengan baik dan memastikan perhubungan antara eksekutif dengan pentadbir akan bertambah baik," katanya.

Beliau juga berkata, tiada masalah sekirannya kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak membenarkannya menghadiri mesyuarat exco.

"Saya tiada masalah, saya tahu pelantikan saya adalah sah. Selagi saya tidak mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar saya tidak boleh menghadiri mesyuarat.

"Tiada masalah," katanya yang akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Khamis ini.

Terdahulu, Khalid pada sidang media berkata Khusrin tidak akan hadir pada sebarang majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi sebagai 'ex-officio'.

Tambah Khusrin, beliau bersedia bekerjasama dengan Khalid dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

"Tiada masalah, saya dilantik SPA dan saya bertindak mengikut undang-undang sedia ada.

"Saya juga telah menulis surat kepada Menteri Besar untuk menemui dan mengadakan perbincangan dengan beliau, namun masih tiada jawapan," katanya.

Khusrin juga berkata, menerima pelantikan itu sebagai satu arahan dan akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

"Sebagai penjawat awam saya sentiasa patuh kepada arahan, saya terima pelantikan ini dan akan melakasanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin.

"Saya juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak bagi membolehkan saya melaksanakan tugas dengan berkesan," katanya.

Beliau juga kesal dengan serangan dan fitnah yang dilemparkan seolah-olah menggambarkan dirinya sebagai pegawai yang bermasalah.

"Banyak isu negatif yang telah dilemparkan kepada saya, yang menggambarkan saya seolah-olah pegawai yang bermasalah, tidak patuh kepada arahan, membelakangkan kerajaan negeri dan mempunyai agenda politik tertentu.

"Perlu ditegaskan bahawa apa yang saya buat selama bertugas di Jais dan Setiausaha Mais (Majlis Agama Islam Selangor) selama lima tahun enam bulan adalah mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

"Saya tidak membuat sesuatu yang di luar dari peruntukan undang-undang yang ada," katanya.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan