Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Ajaibnya anugerah Ping LianSEJURUS selesai membelek poskad landskap bandar raya Kuala Lumpur bersaiz 4R, Yeak Ping Lian, terus menyarung apron lalu mencapai pen marker pelbagai saiz dan menggenggamnya dengan tangan kiri. Sementara itu, tangan kanannya mula menconteng kertas berukuran 52.5 X 75 sentimeter yang terletak di atas meja. Tanpa membuat sebarang ukuran dimensi untuk melukis di atas permukaan berskala besar, Ping Lian terus membentuk garisan-garisan padu yang membentuk ikon Kuala Lumpur iaitu bangunan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Sesekali jelas kelihatan keningnya berkerut, seolah-olah sukar untuk memahami dan memberi interpretasi terbaik terhadap poskad serta lukisan yang sedang dihasilkan. Tanpa meninggalkan elemen-elemen rumit seperti motosikal, lampu isyarat dan deretan kereta, Ping Lian tidak mempunyai masalah menyalin semula gambar tersebut secara keseluruhannya dalam bentuk lukisan. Mata mikroskopik Hasil kerjanya begitu teliti malah ramai penggiat seni lukis menganggap karya Ping Lian adalah terjemahan kaca mata seorang pelukis yang memiliki kanta mikroskopik. Mana tidaknya, hampir semua gambaran yang terdapat di poskad cuba dizahirkan melalui gabungan contengan garisan anak muda ini. Bukan sebarang contengan, sebaliknya lukisan Ping Lian mempunyai kualiti garis sekali gus memberi penegasan kepada subjek yang dilukis dan membentuk mod karya. Mengenali remaja berusia 17 tahun ini, Ping Lian sesungguhnya memiliki keupayaan melukis yang sungguh luar biasa. LEKA dalam dunianya sendiri, remaja autistik ini temui keseronokan berganda apabila mula melukis. Dilahirkan pada November 1993, Ping Lian disambut seperti bayi normal yang lain. Namun, apabila semakin membesar, karakternya mula berubah menjadi hiperaktif. Selepas dibawa bertemu pakar perubatan, dia didiagnos mempunyai Attention Deficit Hyperactive Disorder atau Gangguan Hiperaktif Kurangan Tumpuan bercirikan autisme. Ketika itu umurnya empat tahun. Bagaimanapun, insan istimewa yang tidak pandai membaca, menulis dan bercakap ini mencipta kejayaan peribadi apabila menghasilkan lebih 1,000 lukisan sejak berumur lapan tahun. "Saya dapati Ping Lian sangat minat melukis bahkan dia mempunyai bakat luar biasa terhadap seni itu. Buktinya, dia boleh melukis objek yang dilihat dengan begitu teliti. "Bagi manusia normal, kita lebih cenderung melihat objek yang besar dan berwarna terang atau garang, tetapi bagi Ping Lian, dia tidak pernah hilang pandangan daripada perkara yang kecil, malah dia lebih teliti melukis perkara yang sangat rumit. "Contohnya, jika kita melihat suasana di sebuah tokong sewaktu upacara keagamaan sebagai konsep gambar, Ping Lian melihat ukiran naga di bumbung tokong sebagai perkara utama yang tidak boleh ditinggalkan," kata ahli pengasas galeri The Art Commune Malaysia, galeri yang mempamerkan lukisan Ping Lian, Yvonne Hon. Berbicara mengenai kelebihan lukisan anak bongsu daripada tiga beradik itu, selain ketelitian, Ping Lian juga dikatakan tidak pernah membuang lukisan jika berlaku kesilapan lukisan, sebaliknya dia akan terus melukis hingga selesai. Tambahnya lagi, jika Ping Lian teringatkan sesuatu ketika sedang melukis, dia akan melukis apa yang terlintas di kepalanya. Ikan terbang "Jangan terkejut jika anda terlihat gambar ikan sedang terbang dalan satu lukisan Menara Berkembar Petronas yang dihasilkannya," ujarnya sambil ketawa. Mengambil masa seminggu hingga berbulan-bulan untuk menyiapkan lukisannya. Ping Lian juga suka melukis dua ke tiga lukisan dalam masa yang sama. KEBOLEHAN melukis Ping Lian dikesan sejak berumur lapan tahun. Apa yang pasti, Ping Lian sangat gemarkan gambar pemandangan dan figura manusia termasuk haiwan dalam mod yang ceria. Selain dakwat hitam putih, dia juga mahir menggunakan material cat minyak di atas kanvas dalam menghasilkan lukisan. Biarpun dilakukan sekadar untuk kepuasan diri, keunikan hasil contengan Ping Lian dilihat umpama hasil kerja artis berpengalaman. Malah, ramai pelukis terkenal yang kagum dengan kebolehan remaja istimewa ini. "Seorang Pensyarah Kanan Seni Lukis dari Itali berdiri setengah jam memandang lukisan Ping Lian. Ketika itu, Ping Lian mengadakan pameran di Pulau Pinang. "Katanya, tidak semua pelukis mampu menggabungkan garisan-garisan sehingga menjadi arca seni yang sangat mengkagumkan. "Saya masih tidak percaya seorang remaja autistik boleh menghasilkan karya serumit ini," ujar Yvonne. Yvonne yang memberi peluang kepada pelukis-pelukis daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk mempamerkan karya mereka di galeri miliknya di Subang Jaya menambah, pameran lukisan Ping Lian bukan sekadar pameran seni. "Ia lebih daripada seni. Ia adalah perkongsian peluang, harapan, inspirasi, kecekalan dan kemenangan. "Bagi ibu bapa yang memiliki anak autistik, jangan mudah putus asa. Kecekalan dan kegigihan Sarah dalam mendidik Ping Lian boleh kita jadikan contoh bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita berusaha keras untuk mendapatkannya," kata Yvonne. Kreativiti Ping Lian juga pernah diangkat martabatnya apabila Shell Malaysia mengabadikan lukisan dalam bentuk kalendar tahun 2007 syarikat itu. TANPA perlu mendraf, lukisan akan terus diterjemah mengikut gerak hatinya. Selain itu, Ping Lian juga sering dijemput untuk menyertai pameran solo dan berkumpulan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Jepun selain Malaysia sendiri. Pada tahun 2004 ketika berusia sembilan tahun, lukisan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar yang dihasilkan berjaya meraih bidaan bernilai RM100,000 oleh pembida yang enggan dikenali. Hasil bidaan tersebut didermakan sepenuhnya kepada badan yang memerlukan. Selain itu, Ping Lian juga mendapat tempat pertama dalam kerja dakwat "ArtFirst" Princeton, Universtity Medical Center di Princeton, Amerika Syarikat pada tahun 2009 melalui lukisan Gereja Christ Melaka IV. Tidak ketinggalan, Ping Lian turut mendapat pengiktirafan Heroes of Autism di California, pada tahun 2009. Dengan anugerah dan kebolehan melukis yang luar biasa yang dimilikinya, Ping Lian telah diberi gelaran seniman cendekiawan (prodigious savant) luar biasa. Terdapat kurang daripada 100 cendekiawan seniman di seluruh dunia dan Ping Lian, seorang rakyat Malaysia adalah seorang daripadanya. |
Posted: Bahaya alat tiruanOleh IKHWAN IDERIS ANGGOTA bomba memeriksa keadaan bas yang remuk teruk. Kemalangan maut seperti ini sering dikaitkan dengan sikap pemandu dan masalah teknikal bas. KES kemalangan ngeri bas ekspres yang semakin menjadi-jadi tetapi akhir-akhir ini ia hangat dikaitkan dengan isu alat ganti tiruan yang kononnya banyak digunakan oleh pengusaha bas ekspres. Segalanya bermula apabila Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak mendedahkan terdapat kecenderungan kebanyakan syarikat pengusaha bas untuk menggunakan alat ganti tiruan. Alasannya, ia dapat meminimumkan kos syarikat selain mudah didapati. Menurutnya, situasi penggunaan alat tiruan telah lama berlaku namun tidak ramai yang melaporkan kepada pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pengguna tentunya berasa risau apabila Zainal mendedahkan antara alat ganti tiruan yang kerap digunakan adalah cakera brek yang diguna semula, yang menjadi nadi kepada keselamatan perjalanan bas-bas ekspres terutamanya dalam perjalanan berbukit. "Cakera brek tiruan apabila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit akan menjadi panas dan ia akhirnya akan gagal berfungsi pada saat kecemasan," katanya. Bagaimanapun, isu ini tidak hanya melibatkan pengusaha bas ekspres. Malah pengguna sendiri banyak menggunakan alat ganti tiruan, sama ada secara sedar atau tidak. Dianggarkan 80 peratus daripada 11 juta kenderaan di negara ini terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya berikutan penggunaan alat ganti tiruan. Berdasarkan kajian, alat ganti yang tidak sempurna dan alat ganti tiruan menyumbang kepada 40 peratus daripada jumlah kemalangan jalan raya. Mungkin sesetengah daripada pengguna tidak menyedari terdapat pemilik kedai alat ganti tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna untuk membeli alat ganti tiruan yang bisnesnya dianggarkan bernilai RM1 billion setahun. Pengalaman pahit memakai alat ganti tiruan pernah dialami oleh seorang pemilik kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Halim. Kejadian itu berlaku hanya dua minggu selepas Halim membeli tayar di sebuah kedai tayar di Klang. INILAH keadaan fizikal tayar terpakai yang dijual dengan harga lebih murah. "Masa itu saya dalam perjalanan ke Klang. Saya perasan ada kereta di belakang memberikan isyarat lampu tinggi tetapi saya diam saja. Sasaran lanun "Selepas memandu seketika, tiba-tiba kereta saya hilang kawalan hingga hampir terbabas. Bila saya berhenti dan periksa, tayar itu sebenarnya disalut supaya nampak baru dan akhirnya pecah. "Saya dah serik pakai alat ganti tiruan. Disebabkan barang murah, nyawa saya hampir melayang," katanya. Presiden Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA), Ahmad Zaki Ariffin berkata, alat ganti kereta nasional iaitu Proton dan Perodua menjadi sasaran lanun cetak rompak untuk dipalsukan ekoran permintaan yang tinggi di pasaran. "Fenomena ini bukan sahaja mendatangkan impak yang buruk kepada industri automotif negara, malah ia turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya," katanya. Hal itu turut diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Urusan Proton Part Centre Sdn. Bhd., Rali Mohd. Nor. Katanya, jualan tahunan alat ganti tulen bagi jenama itu pernah mencatatkan sedikit kerugian beberapa tahun lalu disebabkan wujudnya persaingan akibat lambakan alat ganti tiruan bagi jenama itu dalam pasaran yang dianggarkan berjumlah RM6 juta. Usaha untuk membanteras penggunaan alat ganti tiruan di pasaran pula bukan mudah. Ini kerana bentuk dan pembungkusan alat ganti tiruan menyamai alat ganti asli. SEBARANG alat ganti tiruan tidak memberi jaminan seperti alat ganti tulen. Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Saifulbahri Abdul Kadir berkata, perkembangan teknologi pada masa kini dapat menghasilkan barangan tiruan yang hampir seratus peratus menyamai alat ganti tulen. "Ciri-ciri perbezaan sukar dilihat dengan mata kasar dan kami terpaksa menggunakan kepakaran daripada pemilik cap dagang itu sendiri untuk menentukan ia adalah tiruan atau sebaliknya. "Kita memang boleh membuat rampasan apabila mendapat aduan. Kalau kita ambil tindakan kita kena memaklumkan kepada pemilik cap dagang. "Masalah di sini ialah pemilik cap dagangan itu tidak mahu bekerjasama dengan kita. Adakalanya mereka tidak mahu datang untuk membuat pengecaman sekiranya sesuatu produk itu dirampas. "Bagi mereka perkara ini remeh sebab itu mereka tidak mahu datang. Sedangkan barang mereka sendiri yang dicetak rompak. Akhirnya masalah ini berbalik semula kepada KPDNKK," katanya. Mereka yang didapati menjual barang alat ganti tiruan boleh didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi pesalah individu manakala denda sebanyak RM250,000 bagi syarikat. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan