Berita Harian: Wilayah |
Sentral: Menepis nyamuk setiap pagi Posted: 11 Jan 2011 08:50 PM PST Wilayah Air longkang yang berwarna hitam dan berbau busuk selain dipenuhi sampah sarap akibat pembuangan sisa minyak hitam kenderaan dari bengkel kenderaan yang beroperasi di deretan kedai Jalan Batu 10 Kebun Baru, Sijangkang, mencetus kemarahan penduduk. SIJANGKANG: Penduduk bimbang longkang sepanjang lebih 15 meter di hadapan deretan kedai di Jalan Batu 10 Kebun Baru, yang tersumbat kerana tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), boleh menjadi 'lubuk' penyakit. Longkang berkenaan kini menjadi 'pusat ternakan' nyamuk termasuk aedes dan boleh membawa maut jika tiada usaha membersihkannya dilakukan segera. Penduduk Kampung Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Abdul Malek Marwan Abdul Manaf, 46, berkata beliau yang ke kedai runcit di kawasan itu setiap awal pagi terpaksa menepis nyamuk dipercayai dari kawasan longkang yang kotor dan tersumbat di situ.Katanya, selain bau menyengat hidung, beliau bimbang gigitan nyamuk itu boleh menyebabkan demam denggi kerana aedes biasanya menyerang pada awal pagi dan senja. "Kawasan longkang dan persekitaran di sini, langsung tidak terurus, manakala penduduk pula tidak dapat menghindari kawasan ini kerana deretan kedai untuk mendapatkan barangan keperluan pula terletak di depan jalan masuk utama ke kampung ini, iaitu berdepan longkang berkenaan," katanya. Beliau berkata, keadaan longkang yang tidak diselenggara itu berlanjutan sejak lebih setahun lalu walaupun aduan sudah dibuat penduduk kepada pihak terbabit terutama ketika wabak demam denggi melanda pertengahan tahun lalu. Selain itu, longgokan sampah dan barang buangan seperti kerusi kereta yang rosak, tong minyak kenderaan dan tayar dibuang di situ. Seorang lagi penduduk, Mohammad Azharuddin Mohammad Sajuki, 37, berkata sikap ambil mudah pemilik bengkel kenderaan di situ turut dikesali kerana mereka seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti penduduk. "Pemilik bengkel kenderaan di situ sepatutnya menjaga kebersihan tetapi malangnya, segala bahan buangan dicampak saja di kawasan berhampiran bengkel yang memburukkan lagi persekitaran di sini," katanya yang tinggal di situ sejak 20 tahun lalu. Keluhannya itu dikongsi Iskandar Dzulkarnain Mohammad Noordin, 39, yang mahukan pihak berwajib segera masuk campur menangani masalah itu demi kesejahteraan penduduk. "Siapa yang tidak sakit hati jika kawasan kediaman dicemari seperti ini, malah ancaman gigitan aedes juga menyebabkan saya melarang anak saya membeli barangan di kedai kerana bimbangkan keselamatan mereka terutama ketika awal pagi atau lewat petang," katanya. "Saya menggesa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) segera 'turun padang' menyelesaikan masalah ini, sekali gus mendisiplinkan mereka yang bersikap enggan menjaga kebersihan," katanya. |
Posted: 11 Jan 2011 08:46 AM PST Wilayah DERETAN lori mengangkut bijih besi yang didakwa menjadi punca jalan berselut di Kampung Bukit Besi, manakala (gambar kecil) menunjukkan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), memeriksa tayar lori yang diselaputi selut. DUNGUN: Lebih 100 orang mewakili 5,000 penduduk Bukit Besi, di sini, berhimpun sebagai tanda protes apabila jalan utama sepanjang 1.5 kilometer di kampung mereka dikotori tanah selut yang melekat pada tayar lori mengangkut bijih besi. Penduduk yang ditemui, Yusof Tahir, 52, berkata sejak dua hari lalu keadaan jalan bertambah buruk apabila tanah selut yang melekat pada tayar lori bertaburan di jalan kampung itu. Beliau berkata, penduduk berharap masalah itu dapat diselesaikan kerana banyak mendatangkan kesusahan kepada penduduk kampung."Keadaan semakin teruk apabila kasut pelajar yang berulang-alik ke sekolah kotor apabila melalui jalan ini. Begitu juga kenderaan penduduk apabila tayar diliputi selut tebal," katanya. Yusof berkata, selain berselut, jalan itu juga rosak dan berlopak akibat lori yang mengangkut bijih melalui jalan berkenaan. Katanya, lori yang melalui jalan itu mengundang bahaya kepada penduduk terutama pelajar sekolah dan berharap pihak berkenaan mencari jalan alternatif bagi kemudahan lori terbabit mengangkut bijih ke kilang.
Beliau berkata, rutin harian keluar masuk lori bermula jam 8 pagi hingga 11 malam untuk mengangkut bijih besi mengikut kuantiti aktiviti perlombongan yang dijalankan setiap hari. Katanya, perbincangan sudah dilakukan antara penduduk kampung, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah, Polis, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan pengurusan lombong bagi mencari jalan penyelesaian mengenai permasalahan itu. "Pihak kontraktor yang dilantik mengangkut bijih besi bersetuju membersihkan jalan raya yang diselaputi tanah selut dan selepas ini akan mengambil langkah membersihkan lori terlebih dulu sebelum melalui jalan di kampung ini," katanya. Hamid berkata, selepas ini akan diadakan perbincangan dengan pihak berkenaan dan berharap pihak berkuasa menyediakan jalan alternatif untuk lori mengangkut bijih besi melaluinya. Beliau berkata, pihaknya tidak berhak menahan lori berkenaan untuk melalui jalan itu, namun mereka perlu memikirkan keselesaan penduduk yang turut menggunakan jalan sama. Sementara itu, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Dungun, Nik Fahmi Nik Nordin, yang berada di lokasi pertemuan di Kampung Bukit Besi berkata, masalah itu hampir selesai apabila kontraktor mengangkut bijih membersihkan jalan terbabit. "Pegawai Daerah akan mengeluarkan arahan selanjutnya dan kita berharap penduduk bersabar kerana kita berusaha mengatasi masalah ini ," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan