Rabu, 5 Januari 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Takut kesan radiasi

Posted: 04 Jan 2011 03:59 AM PST

Wilayah

PENDUDUK memegang kain rentang membantah pembinaan struktur pemancar telekomunikasi  di atas bangunan tiga tingkat di Taman Megah, Bukit Beruang.

PENDUDUK memegang kain rentang membantah pembinaan struktur pemancar telekomunikasi di atas bangunan tiga tingkat di Taman Megah, Bukit Beruang.

Penduduk Taman Megah berang syarikat telekomunikasi bina struktur pemancar atas bangunan tanpa berbincang

MELAKA TENGAH: Penduduk Taman Megah, Bukit Beruang dalam Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), dekat sini, berang dan tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah syarikat telekomunikasi membina struktur pemancar di situ tanpa mengadakan perbincangan dengan mereka.

Mereka mendakwa pembinaan struktur setinggi enam meter di atas sebuah bangunan tiga tingkat di situ boleh menimbulkan masalah kesihatan berpunca daripada radiasi dikeluarkan oleh sistem pemancar berkenaan. Kemuncak rasa tidak senang hati dan bimbang itu diluahkan mereka baru-baru ini dengan mengadakan tunjuk perasaan secara aman di tapak projek itu. Mereka memaparkan bantahan itu menerusi kain rentang.

Bantahan itu turut disertai beberapa wakil dari taman berhampiran. Antaranya, Setiausaha JKKB Taman-taman Perumahan Bukit Beruang, Isa Harun dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawis, Othman Abu.

Turut serta, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Sulaiman Baba; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kerjasama, Wee Seng Siang dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Melaka, Tai Tam Yin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) Taman-taman Perumahan Bukit Beruang, Ng Soon yang mengetuai bantahan itu ketika ditemui berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pemasangan sistem pemancar itu kerana dilakukan tanpa persetujuan penduduk.
Beliau membidas pemilik bangunan berkenaan yang didakwanya hanya mementingkan diri sendiri kerana membenarkan pemancar itu dipasang tanpa memikirkan keburukannya jangka masa panjang.

"Saya mendapat banyak aduan daripada penduduk berdekatan di sini yang memberitahu pemilik bangunan ini hanya mementingkan diri dengan membenarkan tapak di atas bangunan itu dipasang dengan struktur pemancar komunikasi.

"Mereka tidak memikirkan kesan yang boleh berlaku jika pemancar berkenaan terus beroperasi dalam jangka masa panjang yang boleh mendedahkan penduduk kepada pancaran radiasi, sekali gus menjejaskan kesihatan," katanya.

Ng mengesahkan, beliau juga sudah mengadukan hal itu kepada Ahli Majlis MPHTJ, Loh Sin Wah. Ia turut dihadiri dua Ahli Majlis MPHTJ, Yong Fun Juan dan Fun Mei Lan.

Berita Harian yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan difahamkan pembinaan struktur pemancar di bangunan berkenaan dimulakan pada awal bulan lalu dan mendapat kebenaran dari Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH).

Sementara itu, penduduk, Flora Lock, 57, berkata dia kesal dengan sikap pemilik bangunan kedai jualan kereta terpakai yang membenarkan pihak terbabit memasang struktur pemancar di atas bangunan mereka.

"Jarak rumah saya juga begitu hampir iaitu 100 meter saja. Kini siaran televisyen juga sering terganggu dan ada kalanya tiada gambar langsung, tidak seperti sebelum ini," katanya.

Loh ketika ditemui, berkata pihak berkuasa sepatutnya perlu berbincang terlebih dulu sebelum meluluskan pembinaan struktur pemancar berkenaan kerana kawasan itu padat dengan penduduk di sekelilingnya.

Beliau mengesahkan mendapat maklumat bahawa pihak berkuasa terbabit meluluskan pembinaan struktur pemancar telekomunikasi itu pada 30 Julai lalu dan menghantar surat kepada Pejabat Tanah dan Galian pada 10 Ogos lalu untuk makluman pemasangan.

Katanya, pada 6 Oktober lalu, pihak berkenaan memaklumkan kepada Unit Kawalan Bangunan MPHTJ mengenai kelulusan untuk mendapatkan pengesahan dan memulakan pembinaan pada awal Disember.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bertarung maut

Posted: 04 Jan 2011 03:57 AM PST

Wilayah

PENDUDUK perkampungan nelayan Kuala Sepetang terpaksa menggunakan bot tambang sebagai pengangkutan utama untuk ke pekan terdekat.

PENDUDUK perkampungan nelayan Kuala Sepetang terpaksa menggunakan bot tambang sebagai pengangkutan utama untuk ke pekan terdekat.

Penduduk Kuala Sepetang naik bot tambang setiap hari

KUALA SEPETANG: Hampir dua dekad berlalu, lebih 3,000 penduduk di Kampung Kuala Sepetang masih menggunakan bot tambang untuk berulang-alik ke pekan terdekat bagi urusan seharian berikutan ketiadaan jambatan untuk memudahkan pergerakan mereka.

Lebih malang, bot yang digunakan bukan sekadar usang tetapi berisiko kerana tidak dilengkapi peralatan keselamatan mahupun tempat duduk sempurna, sebaliknya penumpang terpaksa berdiri mengimbangi badan sepanjang perjalanan. Walaupun tempoh perjalanan hanya memakan masa kurang daripada lima minit, ternyata penduduk berdepan dengan risiko terjatuh atau lemas terutama warga tua, kanak-kanak dan murid sekolah yang menggunakan pengangkutan itu hampir setiap hari.

Masalah itu didedahkan beberapa penduduk yang menyifatkan perkampungan nelayan Kuala Sepetang seperti dipinggirkan kerana tidak menerima sebuah jambatan walaupun permohonan untuk kemudahan itu sudah dimohon lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Yeong Ye Huar, 30, berkata sebelum ini pernah berlaku beberapa insiden buruk membabitkan penduduk termasuk murid sekolah yang terjatuh ke sungai ketika menaiki bot penambang.

"Kami tiada pilihan lain selain menggunakan bot tambang kerana ia satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan kami ke kawasan luar dari perkampungan nelayan itu.
"Sudah menjadi kebiasaan kepada kami, tetapi sekurang-kurangnya jika ada jambatan dapat menyelamatkan kami daripada terus menggunakan pengangkutan bot," katanya ketika di temui pada majlis ramah mesra anjuran Pertubuhan Kebajikan Tempatan As Siddiq, baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk yang juga aktivis masyarakat, Oi Kin Liu, 52, berkata permohonan untuk mendapatkan kemudahan jambatan itu sudah lama dibuat, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenainya.

"Masalah itu membelenggu penduduk setempat dan kegagalan pihak berkaitan menyediakan jambatan berkenaan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan bahkan ia dijadikan modal berkempen ketika pilihan raya kecil lalu.

"Saya bimbang jika masalah itu tidak diselesaikan segera, isu berkenaan akan dimanipulasi lagi pihak tidak bertanggungjawab untuk terus menyalahkan kerajaan, sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain, berkata pihaknya akan membantu menyalurkan permasalahan itu kepada pihak berkaitan selain menyelesaikan secara berperingkat berhubung beberapa isu terpencil yang dihadapi penduduk di perkampungan nelayan itu.

"Sebagai permulaan, kita akan membaik pulih beberapa kemudahan seperti gelanggang bola keranjang yang sudah uzur selain menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk miskin di perkampungan itu dalam masa terdekat," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan