Berita Harian: Wilayah |
Posted: 03 Jan 2011 03:26 PM PST Wilayah PENDUDUK Pulau Banggi, Kudat terpaksa berjudi dengan nasib setiap kali membawa barangan berat seperti kenderaan dari tanah besar dengan menggunakan tongkang berikutan ketiadaan perkhidmatan ponton. PULAU BANGGI (Kudat): Walaupun sukar dan berbahaya, penduduk pulau ini tiada pilihan lain, selain terpaksa bergantung kepada bot besar atau tongkang untuk mengangkut pelbagai barangan berat dari tanah besar di Kudat ke sini. Tongkang diperbuat daripada kayu terpaksa dijadikan alat pengangkutan utama untuk membawa pelbagai barangan seperti kereta, lori kecil dan bahan binaan dari beberapa jeti di tanah besar ke pulau ini. Ia sememangnya membimbangkan kerana tongkang bukan alat pengangkutan yang mampu menjamin keselamatan untuk membawa barangan berkenaan membelah ombak antara tiga hingga empat jam dari tanah besar sebelum tiba di jeti Karakit di pulau ini.Tinjauan Berita Harian di pulau ini malam kelmarin mendapati penduduknya terpaksa menggunakan tongkang untuk mengangkut kenderaan dari tanah besar berikutan ketiadaan perkhid-matan ponton. Berbeza dengan perkhidmatan ponton yang ditarik dengan bot penunda di kebanyakan kawasan lain di Sabah, perkhidmatan membawa barangan dari tanah besar ke pulau ini terpaksa bergantung kepada kecekapan juragan tongkang untuk memuatkan kenderaan dan pelbagai barangan lain ke dalam tongkang masing-masing. Seorang pemilik kenderaan yang enggan dikenali dan menyewa perkhidmatan tongkang untuk membawa kenderaan dari tanah besar ke jeti di Karakit, di sini, berkata masyarakat di pulau ini tidak mempunyai pilihan lain, selain terpaksa bergantung kepada tongkang.
Berita Harian difahamkan, perkhidmatan membawa barangan berkenaan dengan menggunakan tongkang disediakan beberapa pengusaha tongkang dengan caj berbeza mengikut jenis barang. Difahamkan, mereka mengenakan caj antara RM300 hingga RM350 bagi mengangkut sebuah kereta dari tanah besar, manakala caj bagi bahan binaan adalah antara RM200 hingga RM500. Seorang lelaki yang juga enggan dikenali, berkata penduduk di pulau ini memang menyedari bahaya dihadapi jika menggunakan tongkang untuk mengangkut barang tetapi mereka tiada pilihan lain. "Memang beginilah nasib kami. Tidak ada sesiapa yang berani berniaga ponton dari tanah besar ke pulau ini. Mereka melihat pulau ini tiada peluang buat duit," katanya. Beliau berkata, kejadian bot membawa penumpang dan bahan binaan karam di perairan Kudat ketika dalam perjalanan ke pulau ini pada 26 November 2009, tetap terpahat kukuh dalam ingatan anggota masyarakat di sini. Katanya, mereka terpaksa berserah kepada nasib setiap kali menaiki tongkang yang membawa bahan binaan dari tanah besar ke pulau ini. Dalam kejadian itu, 14 penumpang terkorban, 13 terselamat, manakala dua lagi hilang. Ketika kejadian, 29 penumpang terbabit dalam perjalanan ke pulau ini untuk menyambut Aidiladha. Bot berukuran 15.6 meter panjang dan enam meter lebar itu turut membawa 80 karung simen seberat 50 kilogram (kg) sekampit, 20 tin cat dan tong mengandungi 200 liter air bersih. |
Posted: 03 Jan 2011 03:25 PM PST Wilayah BEBERAPA remaja antara yang ditahan dalam Ops Tahun Baru JHEAINS di Bandar Baru Nilai. BANDAR BARU NILAI: Beberapa penjawat awam beragama Islam dikesan meraikan kedatangan tahun baru dengan meneguk arak beramai-ramai sambil berkaraoke bersama pelayan pelanggan (GRO) di beberapa premis di bandar ini. Perbuatan kumpulan itu bukan saja memalukan malah lebih mengejutkan, mereka enggan menerima teguran daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Seorang daripada enam lelaki berusia antara 20 hingga 30-an itu sebaliknya bersikap sinis dan memarahi penguat kuasa JHEAINS yang mahu merekodkan butir peribadi mereka dalam operasi dikenali 'Ops Tahun Baru' itu.Sumber memberitahu, kumpulan terbabit yang berasal dari kawasan sekitar bandar ini membawa empat GRO dari luar untuk berseronok di pusat karaoke yang terletak berhampiran sebuah kolej swasta di sini. "Kita mendapat maklumat yang ini bukan kali pertama mereka berkelakuan sedemikian. Ada laporan mengatakan mereka sering membawa GRO ke premis terbabit dan berkaraoke sambil meneguk minuman keras. "Berikutan maklumat itu, kita membuat risikan dan pemantauan selama beberapa minggu dan mengenal pasti kumpulan berkenaan sebelum menyerbu di tempat yang mereka rasa 'selamat'.
Beliau berkata, ketika serbuan, kumpulan itu cuba menyembunyikan beberapa botol arak di bawah kerusi, namun gagal. Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata 17 orang termasuk tujuh penjawat awam serta dua mak nyah ditahan dalam operasi di bandar ini serta Jempol, dekat sini. "Seramai 15 ditahan kerana meminum arak dan kes disiasat mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. "Dua lelaki yang berpakaian wanita (mak nyah) pula disiasat mengikut Seksyen 66 akta yang dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan