Selasa, 17 Mei 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Smart Solat mantapkan akidah

Posted:

Smart Solat mantapkan akidah

Smart Solat mantapkan akidah

Oleh NORAZLIZA ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


Para peserta diberikan pendedahan mengenai teknik yang betul ketika berwuduk pada program Smart Solat di Taman Senawang Indah, dekat Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 16 Mei – Usaha memperhalusi serta mendalami ilmu bersolat seharusnya dipergiatkan secara berterusan ke arah memantapkan akidah umat Islam terutamanya di kalangan generasi muda.

Ini kerana solat yang merupakan tuntutan wajib dan salah satu daripada lima rukun Islam itu membolehkan umatnya mendekatkan diri dengan Allah sekali gus menjauhi perkara negatif dan terlarang di sisi agama.

Untuk tujuan itu, satu program Smart Solat telah dianjurkan oleh UMNO cawangan Taman Senawang Indah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) negeri, dekat sini, baru-baru ini yang dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam mendidik masyarakat untuk menjalani ibadah itu berlandaskan tertib yang ditetapkan.

Ketua Cawangan UMNO Taman Senawang Indah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Latifi Thalib, 63, berkata, program sedemikian diharap mampu membina generasi belia dan remaja yang berakhlak mulia selain memupuk minat serta memperkasakan kemahiran asas solat dan kewajipan mengerjakannya.

Menurutnya, program tersebut memberi tumpuan kepada remaja sebagai kumpulan sasarnya memandangkan golongan terbabit mudah terpengaruh dan terjebak dalam kancah gejala sosial yang semakin membimbangkan saban hari.

''Solat merupakan benteng utama serta dasar kekuatan iman mereka. Oleh itu, nilai-nilai agama seperti solat perlu diterapkan dan diperhebatkan lagi terhadap setiap umat Islam," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Lebih membanggakan, program tersebut telah mendapat penyertaan yang amat menggalakkan sehingga menyaksikan lebih 160 peserta berumur tujuh sehingga 40 tahun mengambil bahagian dalam program tersebut yang berlangsung di Surau Taman Senawang Indah baru-baru ini.

Tambah Ahmad Latifi, selain bertujuan menyedarkan peserta tentang kewajipan solat, ia juga mendedahkan kepada peserta berhubung cara mengerjakan solat dengan betul yang dikendalikan oleh 15 tenaga pengajar dari ABIM negeri.

Jelasnya, peserta dibahagikan beberapa kumpulan mengikut perbezaaan umur agar dapat memastikan peserta mendapat kefahaman lebih tepat dan keberkesanan pengisian program.

''Peserta akan diterangkan serta disalurkan dengan ilmu berkaitan solat oleh tenaga pengajar selain berpeluang berinteraksi dan bertanyakan soalan tentang sebarang kemusykilan menjalankan ibadat berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Angkatan Belia Islam Malaysia negeri, Abdul Razak Kamarulzaman berkata, kebanyakan peserta telah mengetahui cara asas solat.

''Maka, penekanan pada program ini adalah untuk memperhalusi segala teknik dan bacaan ketika takbir, cara berdiri, bacaan, rukuk, sujud dan tertib lain termasuk kepentingan berwuduk agar ia dapat dilakukan dengan sempurna," katanya.

Jelasnya, solat juga merupakan terapi yang terbaik kepada jiwa seseorang, malahan cara solat yang sah dapat membina rohani yang kuat di samping menjadi umat Islam yang maju dan berdaya saing.

''Kesempurnaan amalan solat perlu dititik beratkan oleh setiap umat Islam kerana ia bakal memberi kesan kepada keperibadian seseorang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelatih PDK raikan Hari Guru

Posted:

Pelatih PDK raikan Hari Guru

Pelatih PDK raikan Hari Guru

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


Salah seorang pelatih bersalaman dengan seorang tenaga pengajar sempena sambutan Hari Guru 2011 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Serting Hilir Kompleks, Jempol, semalam.


JEMPOL 16 Mei - Meskipun tidak sempurna seperti insan lain, namun jasa dan pengorbanan guru mendidik golongan orang kurang upaya (OKU) akan sentiasa abadi di hati 32 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Serting Hilir Kompleks di sini.

Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Guru hari ini, pelatih pusat berkenaan turut tidak mahu melepaskan peluang meraikan tenaga pembimbing mereka yang tidak kenal erti penat dan putus asa dalam membangunkan aspek pendidikan kelompok terbabit.

Menurut seorang pelatih, Mohd. Fadil Mustafa, 26, dari Felda Serting Hilir 1, dia bersama rakannya tidak pernah melupakan sambutan Hari Guru, malah sentiasa teruja untuk meraikan hari tersebut.

"Tanpa guru, tiada ilmu. Saya akui, menjaga pelatih seperti kami bukanlah tugas yang mudah dan bukan semua guru mampu menjaga serta mendidik insan seperti kami.

"Kami di sini mempunyai pelbagai kekurangan dan ragam berbeza. Kadang kala kasihan apabila melihat ada pelatih yang tidak mahu mendengar arahan guru. Tetapi mereka tetap sabar melayan kerenah kami," kata Fadil yang menyertai pusat berkenaan sejak dua tahun lalu selepas terlibat dengan satu kemalangan jalan raya.

Bagi rakannya pula, Emy Marlina Mat Piah, 24, yang menghidap penyakit sawan, dia amat terhutang budi kepada guru yang sentiasa sabar dalam mencurahkan ilmu kepada pelatih OKU.

"Saya telah berjaya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan lima. Namun disebabkan masalah kesihatan saya tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

"Mujur ada PDK, saya mampu mempelajari pelbagai ilmu kemahiran. Kini saya sudah pandai menjahit dan mahir membuat jahitan cross-stich. Saya juga sudah mampu melakukannya di rumah," katanya.

Menurutnya, tanpa guru mustahil dia berjaya melakukannya dan menjual hasil kerja tangan kepada orang ramai.

"Saya gembira dan bertuah apabila mendapat guru seperti mereka. Apabila sampai di PDK pagi tadi, saya dan rakan sudah mengucapkan selamat Hari Guru kepada cikgu kami," katanya yang turut menghadiahkan kek serta cenderamata kepada guru mereka hasil wang yang dikumpul oleh pelatih pusat terbabit.

Tambah seorang lagi pelatih, Mohd. Riduan Jamrus, 26, guru boleh diibarat sebagai ibunya sendiri.

"Kami di sini seperti sebuah keluarga. Apabila tiba Hari Ibu kami tetap meraikan bersama guru, apatah lagi Hari Guru," ujarnya yang mempunyai masalah pembelajaran dan semakin mahir menganyam bakul.

Sementara itu, Penyelia PDK tersebut, Zaini Jamani berkata, dia amat terharu dengan pelatih terbabit yang tetap mengingati sambutan Hari Guru setiap tahun.

"Pagi hari lagi mereka sudah menemui saya untuk mengucapkan selamat Hari Guru," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Orang Asli sambut baik pendakwah

Posted:

Orang Asli sambut baik pendakwah

Orang Asli sambut baik pendakwah

JEMPOL 16 Mei - Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Sot, di sini menyambut baik kehadiran pendakwah Islam yang sedia memberi bimbingan dan pengetahuan agama demi kehidupan yang lebih sempurna.

Ketua kampungnya, Atan Talib, 48 memberitahu, dia sentiasa menantikan kehadiran pendakwah untuk terus membimbing dan pada masa yang sama mengharapkan satu program jangka masa panjang disediakan di kampung itu untuk mereka mendekati Islam secara serius.

''Kadang kala kami terlupa apa yang telah diajar dalam Islam. Maklumlah perkara baru dan ia perlukan tunjuk ajar yang berterusan.

''Bagi kami, ceramah agama dan praktikal amat memberi kesan untuk anak buah memahami pendidikan Islam itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Orang Asli Sungai Sot di sini baru-baru ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan