Utusan Online - Rencana |
Dunia bebas keganasan bukan mustahil Posted: Dunia bebas keganasan bukan mustahilNajib Tun Razak (dua dari kiri) meninjau persiapan auditorium Malaysia ketika melawat Oxford Centre For Islamic Studies (OXCIS), London, semalam. Turut hadir Pengarah OXCIS Dr. Farhan Nizami (kiri). - BERNAMA TERLEBIH dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jack Straw atas ucapan pengenalan beliau yang begitu indah; Dr. Farhan Nizami, seorang cendekiawan terkemuka yang telah saya kenali sejak sekian lama; dan semua wakil daripada dunia akademik, perniagaan dan diplomatik yang hadir di sini hari ini. Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk berada di Sheldonian Theatre, dewan yang telah menjadi pentas ucapan tokoh-tokoh terkemuka sejak lama dulu. Setiap tahun, berpuluh rakyat Malaysia datang ke Oxford untuk melanjutkan pelajaran, menjadikan Kelab Malaysia Universiti Oxford sebagai kampung halaman mereka ketika berada di perantauan. Biasiswa Khazanah-OCIS Merdeka, yang diwujudkan pada 2006 sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, menjadi pemangkin kepada pertambahan jumlah pelajar Malaysia yang datang ke sini. Hasil daripada kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan OCIS untuk mengadakan kajian tentang isu baru yang muncul dalam bidang kewangan Islam, hubungan antara negara kita, insya-Allah, akan menjadi bertambah kukuh. Kepelbagaian, dialog dan perkongsian hidup secara aman merupakan tema penting dalam Islam. Dalam kitab suci al-Quran, Allah SWT berfirman bahawa Dia mencipta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan sebagai suatu rahmat agar mereka boleh berkenal-kenalan dan memanfaatkan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan mereka. Oleh itu, sejak bilakah Islam sinonim dengan keganasan? Kenapakah mereka yang menganjurkan kebencian dan tindakan melampau sanggup mencemarkan Islam, agama yang menganjurkan keamanan dan kasih sayang? Adakah tindakan melampau oleh segelintir umat Islam ini boleh dianggap mencerminkan ajaran Islam yang sebenar dan perangai penganutnya? Tafsiran yang amat salah ini sungguh mendukacitakan saya dan seluruh umat Islam. Mungkin empat pemuda yang menuju ke selatan Yorkshire pada suatu pagi Julai berpendapat bahawa dengan membawa bom buatan sendiri dalam beg galas masing-masing, mereka membuktikan bahawa mereka adalah "umat Islam sejati". Mungkin mereka berfikir bahawa dengan meletupkan diri masing-masing, mereka bertindak seperti yang diperintahkan oleh Allah atau mematuhi ajaran al-Quran? Mereka tersilap besar. Saya ingin menegaskan bahawa mereka yang memasang bahan letupan pada tubuh masing-masing dan meletupkan diri mereka, bukan tergolong sebagai syuhada. Mereka tidak mewakili ajaran Islam. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sesat dan melakukan dosa yang amat besar. Begitu juga halnya, semua mereka yang menganjurkan kebencian dan menyalakan api permusuhan yang membawa kepada tindakan kufur itu, turut berdosa seperti pihak yang menganjurkan kejahatan tersebut juga. Kita bersimpati dengan mangsa mereka yang terdiri daripada golongan tidak bersalah, orang awam yang menjalani kehidupan seharian masing-masing. Islam tidak pernah menghalalkan tindakan jahat sedemikian. Ia juga bukan sebahagian daripada ajaran Islam. Malah, Islam mencegah perbuatan membunuh diri; seperti yang disebut dengan jelas dalam kitab sucial-Quran, Surah 2 Ayat 195, marfumnya: "Janganlah sekali-kali kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Ini menunjukkan bahawa tindakan membunuh diri dilarang sama sekali dalam sebarang keadaan. Dalam Islam, nyawa adalah seuatu yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan nasib seseorang manusia itu hanya ditentukan oleh-Nya. Perlu dijelaskan bahawa menurut "maqasid syariah", kewajipan paling utama ialah melindungi dan memulihara nyawa. Mewujudkan sebuah dunia yang bebas daripada keganasan bukanlah sesuatu yang mustahil. Kita mampu mencapainya. Bagaimanapun, ia memerlukan lelaki dan wanita yang memiliki sikap berkasih sayang terhadap sesama insan, tanpa mengira kaum; ia memerlukan mereka yang menganjurkan sifat sederhana; ia menuntut agar kita tidak lagi menjadi golongan majoriti yang hanya berdiam diri, tetapi mula mempamerkan keberanian dan keyakinan dalam menunaikan tanggungjawab. Kita perlu menangani perkara yang menjadi punca berlakunya keganasan global. Tindakan hanya memburu individu tertentu, menghancurkan pertubuhan mereka, memporak-perandakan kekuatan kewangan mereka dan memburuk-burukkan ideologi mereka semata-mata, adalah jauh daripada mencukupi. Kita perlu mampu membezakan antara gejala dan punca utama yang menyebabkannya berlaku. Melalui cara ini sajalah, kita akan dapat mencapai penyelesaian berkekalan. Memang amat mudah untuk mengatakan bahawa penyelesaian bagi fahaman pelampau Islam boleh dicapai apabila lebih ramai umat Islam diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka. Ya, itu memang menjadi tanggungjawab kita, tetapi ia bukanlah tanggungjawab di pihak kita sahaja. Seperti mana umat Islam perlu menyuarakan pandangan mereka, begitu jugalah halnya bagi penganut agama Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan golongan Ateis yang bencikan sifat tidak mahu bertolak ansur, keganasan dan kekejaman. Kita perlu mendengar suara golongan yang berpendirian sederhana di semua negara dan dari semua lapisan kehidupan. Jika ini dilakukan, kita semua akan dapat melihat wujudnya keamanan sebagai ganjarannya. Sekiranya seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan raya hanya dianggap sebagai seorang pengacau, tetapi jika 10 orang berdiri bersama-sama di situ, tentu tindakan mereka tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Dan jika jumlah 10 orang itu bertambah menjadi seratus, seribu, sejuta dan malah satu bilion orang dan seterusnya membentuk sutu kumpulan besar dan bersatu dalam memperjuangkan niat mereka, maka golongan yang menganjurkan kebencian akan hanya mempunyai satu pilihan sahaja. Mereka sama ada menyertai kita atau kekal dengan pendirian mereka, sebelum hancur, hasil daripada kesungguhan kita untuk bertindak sebagai satu pasukan. Oleh itu, semua pihak yang menghargai kesederhanaan, maruah dan keadilan, tidak kira di mana jua mereka berada, perlu berdiri teguh dan dengan penuh bersemangat untuk menghapuskan golongan yang menganjurkan keganasan dan menafikan hak mereka yang berpendirian sederhana untuk memastikan kekecewaan, biar di mana jua ia dirasai, diberi perhatian, dan setiap pandangan yang disuarakan, didengari. Ringkasnya, kita tidak boleh membiarkan saat ini dikuasai oleh puak pelampau, di mana mereka yang bersuara paling lantang, akan memperoleh manfaat paling besar. Sebab itulah kita semua berada di sini pada petang ini iaitu untuk memupuk kemajuan, bukan menyebabkan berlakunya pertembungan budaya, tetapi untuk meningkatkan persefahaman, dan malah, mungkin untuk meraikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita atau berkongsi segala yang kita miliki. Kemodenan dan kesederhanaan perlu bergerak seiring. Dialog antara kita perlu diteruskan. Izinkan saya bercerita tentang pengalaman Malaysia. Takdir dan sejarah menghadiahkan kepada kami sebuah negara bangsa yang menjunjung tinggi kepelbagaian. Malaysia bukan sahaja dianugerahi dengan kepelbagaian etnik, tetapi juga dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama. Sejak negara kami mencapai kemerdekaan pada 1957, kecuali ketika berlaku Peristiwa 13 Mei, rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan stabil. Di Malaysia, Islam adalah sinonim dengan kesederhanaan, keterangkuman dan tadbir urus yang baik. Enam puluh peratus daripada rakyat Malaysia beragama Islam, manakala 40 peratus lagi menganut pelbagai kepercayaan lain seperti Buddha, Tao, Konfusianisme, Kristian, Hindu dan Sikh. Walaupun Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi ia melindungi hak semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni. Saya ingin menegaskan bahawa prinsip kesedehanaan bukan sesuatu yang baru dalam Islam. Wasatiyah berulang kali disebut dalam al-Quran. Ayat 143 Surah 2 menyebut, marfumnya: "Kami jadikan kamu umat yang seimbang". Kitab suci ini seterusya menyebut bahawa kesederhaan menghasilkan keadilan dan keadilan bererti ilmu pengetahuan dan kebebasan. Oleh itu, perlu diingatkan bahawa pendidikan, yang disertai prinsip demokrasi kebebasan, membolehkan kita memilih apa yang baik dan terpuji. Adalah sesuatu yang lojik bahawa kesederhanaan bererti memilih jalan yang lurus dan betul. Mereka yang berfahaman sederhana perlu mempertahankan ideal ini. Apa yang palsu atau mengelirukan, perlu ditolak dan dibuang. Kesederhanaan juga dianjurkan oleh agama Kristian. Agama Yahudi juga menyeru kepada kesederhanaan. Kitab Taurat mengajarkan kesederhanaan dan etika, sikap dan sifat yang perlu diamalkan dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup dalam erti kata yang sebenar-benarnya mengenai adat resam bangsa Yahudi. Dalam ajaran Tao, prinsip kesederhanaan dianggap sesuatu yang amat penting dalam pembangunan diri seseorang dan menjadi satu daripada tiga tiang utama ajarannya. Tidak wujud apa yang dikenali sebagai Islam liberal atau Islam pelampau, Islam konservatif atau Islam makrifat, Islam jihad atau Islam penyerahan atau Islam pertengahan. Yang ada hanyalah Islam, satu cara hidup yang lengkap. Mengamalkan sikap sederhana bukan bererti bersikap bacul, tidak berprinsip, lemah atau menyerah sahaja. Dalam mematuhi tradisi Islam terbaik, Malaysia tidak akan menyimpang daripada menyokong apa yang betul dan adil, tidak kira sama ada sesuatu perjuangan itu diterajui oleh dunia Islam atau bukan. Kami tidak akan berundur daripada mempertahankan golongan yang lemah dan tertindas, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Kami tidak akan kelu daripada menyuarakan kebenaran. Kini, kita semua amat menyedari tentang bahaya keganasan dan kekejaman puak pelampau. Akibat serangan 9/11, hinggalah kepada pengeboman di Madrid dan Bali, kepada kemusnahan yang dilakukan di London ini, banyak manusia terus dilanda ketakutan akan kehilangan nyawa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Memartabatkan profesion keguruan Posted: Memartabatkan profesion keguruan
Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengiktirafan kepada mereka. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara". Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik skim perkhidmatan guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa: Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya. Oleh yang demikian, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan. Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan. Khabar gembiranya insya-Allah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 Januari 2012. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesion keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kira sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru. Pujangga bermadah: Guru umpama kandil yang terang menyala, Suluh cahayanya penerang jalan, Sepatah kata dijadikan pelajaran, Segumpal pesan dijadikan pedoman, Ilmu dicurah mengorak alam terkembang. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan