Isnin, 2 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


AS semakin terancam?

Posted:

AS semakin terancam?

AS semakin terancam?

Oleh IRMAN HASHIM
pengarang@utusan.com.my


DUA anggota polis berdiri di sebelah poster orang yang paling dikehendaki, Osama bin Laden di New York pada 18 September 2001. - REUTERS


BERITA kematian perancang serangan 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Osama bin Laden dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) telah menggemparkan dunia.

Ada yang gembira dengan berita tersebut terutama mereka yang kehilangan ahli keluarga, rakan dan kenalan dalam serangan-serangan yang didalangi pengganas paling dikehendaki itu dan ada juga yang tidak mempercayainya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang berkongsi pandangan dengan ketua rangkaian keganasan, al-Qaeda itu, merasakan kematian Osama satu kehilangan besar dan kerugian.

AS mendakwa berjaya membunuh Osama dalam satu serangan yang diketuai tentera negara itu di Pakistan, kelmarin. Presiden AS, Barrack Obama menyatakan mayat Osama kini berada dalam simpanan negara itu.

Pengumuman kematian tersebut menimbulkan perasaan ingin tahu yang tinggi di kalangan orang ramai mengenai maklumat terperinci berhubung bagaimana, bila dan di mana ketua al-Qaeda itu dibunuh, selain apakah kesan dan impak kematiannya.

Jika dilihat latar belakang Osama, pasti ramai yang tidak mempercayai beliau akan menjadi penjenayah paling dikehendaki di dunia.

Ini kerana Osama yang dilahirkan di Jeddah, Arab Saudi pada 1957, merupakan anak ke-17 kepada seorang hartawan pembinaan di negara itu.

Osama juga merupakan seorang yang berjaya dalam kerjayanya. Sebagai seorang jurutera sivil, beliau terkenal dalam sektor pembinaan dan dianggarkan memiliki aset dan harta bernilai AS$400 juta (RM1.2 bilion).

Dia turut dilaporkan mempunyai tiga orang isteri dan lebih 20 orang anak.

Osama bekerja di syarikat bapanya sebelum menyertai perang di Afghanistan menentang penaklukan Kesatuan Soviet di negara itu pada 1979 di mana dia dilapor mula menubuhkan kem dan pusat ketenteraan al-Qaeda pada 1988.

Dia pulang semula ke Arab Saudi selepas askar Kesatuan Soviet berundur dari Afghanistan pada 1989, namun setahun kemudian berpindah pula ke Yemen kerana kecewa atas tindakan pemerintah Arab Saudi, negara kelahirannya membenarkan tentera AS menggunakan negara itu sebagai pangkalan menyerang Iraq semasa Perang Teluk.

Selepas dibuang oleh keluarga dan kerakyatan beliau ditarik pada 1994 kerana didakwa menyalurkan dana untuk aktiviti keganasan, Osama menetap di Afghanistan.

Dengan membentuk hubungan dengan beberapa organisasi pelampau dari pelbagai negara, dia menjadikan al-Qaeda sebagai nukleus dalam kempennya menghalau rakyat Amerika dan Israel dari negara-negara Arab.

Osama turut dituduh oleh AS mendalangi serangan bom ke atas berek tentera AS di Dhahran, Arab Saudi pada 1996, Kedutaan AS di Kenya dan Tanzania (1998) selain kapal perang AS di Yemen pada 2000.

Nama Osama dimasukkan dalam senarai pengganas paling dikehendaki di AS pada 1999 dengan tawaran hadiah bernilai AS$5 juta (RM15 juta).

AS mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas al-Qaeda dan tuan rumah kepada kumpulan itu di Afghanistan, Taliban selepas AS mengisytiharkan Osama sebagai dalang utama dalam serangan 11 September ke atas WTC dan Pentagon.

Ketika pemburuan ke atas Osama berlanjutan sehingga mengambil masa hampir 10 tahun, AS dimalukan kerana beberapa kali gagal menemui pengganas nombor satu dunia itu.

Petunjuk-petunjuk mengenai kedudukannya tidak membantu ketika perisikan AS berterusan menerima maklumat bahawa Osama bersembunyi di sempadan Afghanistan-Pakistan.

Misi-misi dalam jumlah tidak terkira yang dilancarkan oleh tentera AS termasuk serangan peluru berpandu drone AS bagi membunuh Osama ternyata sekadar membunuh anggota Taliban dan al-Qaeda, namun Osama tetap selamat dan masih bebas.

Bagaimanapun, selepas 3,539 hari insiden serangan ke atas WTC yang mengakibatkan hampir 3,000 orang terbunuh, Osama ditemui di bandar Abbottabad, Pakistan kelmarin dan dibunuh selepas satu serangan tentera AS ke atas sebuah rumah agam di bandar itu yang dikatakan menjadi tempat persembunyian Osama.

Di AS, berita kematian Osama disambut gembira oleh penduduknya dan sekutunya.

Beribu-ribu rakyat AS berkumpul di Ground Zero, WTC bagi meraikan dan menyambut pembunuhan dalang utama serangan 11 September dan musuh AS.

Namun, adakah kematian Osama membawa perubahan terutama dalam membantu menangani keganasan? Mungkin tiada sesiapa menangis di atas kematian Osama, tetapi pembunuhannya dilihat tidak akan mengurangkan ancaman militan ke atas Washington.

AS sendiri menyedari hakikat itu dan Obama telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di luar negara supaya berjaga-jaga terhadap ancaman keganasan ekoran kematian Osama.

Ini ditambah dengan perasaan tidak senang dunia Arab terhadap kehadiran AS di rantau Asia Barat yang dilihat semakin meningkat sejak pencerobohan AS di Afghanistan dan Iraq, selain konflik Israel-Palestin.

Osama yang mahu menamatkan pengaruh AS di dunia Islam, dilihat berjaya dalam beberapa insiden termasuk pengunduran AS dari Beirut, Lebanon pada 1985 selepas Hizbullah meletupkan berek tentera marin AS yang mengakibatkan 200 askar maut.

Ideologi anti-Amerika yang dibawa oleh Osama dan al-Qaeda turut dijadikan landasan beberapa kumpulan ekstremis dan militan lain di seluruh dunia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keganasan bukan Osama

Posted:

Keganasan bukan Osama

Keganasan bukan Osama

Mustafa Kamal Basri

OSAMA bin Laden, akhirnya tumpas di tangan musuh ketatnya, tentera Amerika Syarikat (AS) yang dibantu tentera Pakistan.

Pengganas nombor satu dunia itu disahkan terkorban bersama anak lelakinya dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah agam di bandar Abbottabat, kira-kira 100 kilometer di utara Islamabad, dipercayai menjadi tempat persembunyian beliau.

Kematiannya itu membawa kepada tamatnya pemburuan AS dan sekutunya selama hampir 10 tahun ke atas pengganas yang paling ditakuti AS dan Barat yang didakwa mendalangi serangan 11 September 2001, yang meruntuhkan dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan menggemparkan Pentagon.

Sejurus kematiannya, Presiden Barack Obama mengeluarkan pengumuman di White House mengucapkan syabas kepada tentera AS atas kejayaan operasi itu diikuti dengan sambutan kegembiraan oleh penduduk AS yang berkumpul di Ground Zero, bekas tapak WTC sambil mengibarkan bendera Amerika.

Pemimpin-pemimpin Barat terutama sekutu AS termasuk Israel memberi reaksi 'puas' atas kematian Osama dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan menggambarkan kegembiraan mereka atas kejayaan menumpaskan Osama.

Barat yang menganggap Osama sebagai igauan ngeri pada siang hari dan mimpi buruk di waktu malam tidak putus-putus memburu pemimpin yang mengasaskan rangkaian pengganas yang digeruni Barat – al-Qaeda kerana didakwa melancarkan serangan-serangan berani matinya terhadap sasaran Barat terutama Amerika di seluruh dunia sejak era George W. Bush selepas insiden 11 September 2001.

Walaupun beberapa kali AS mendakwa berjaya membunuhnya, setiap kali pula Osama muncul di kaca televisyen melalui video-video yang dirakam di tempat persembunyiannya dan memberitahu beliau masih hidup diikuti kenyataan amaran, ancaman serta seruan mengajak umat Islam bersama-samanya menyertai 'jihad' bagi menentang musuh Islam.

Kemunculan Osama dengan doktrin keganasannya adalah terjemahan perasaan tidak puas hati dan ketidakadilan dunia Barat terhadap Islam terutama dalam menangani isu Palestin.

Osama muncul mewakili segelintir komuniti Islam yang tidak puas hati dengan tindakan AS dan sekutunya termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwa menjadi alat Barat menyebelahi Israel dan bertindak mengetepikan keadilan dan hak asasi kemanusiaan.

Osama 'mendokong prinsip militan' sebagai jawapan kepada sikap berat sebelah Barat yang bertindak menutup mata atas kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan umat Islam.

Jika AS percaya militan dan keganasan sudah dihapuskan dengan kematian Osama, sebenarnya Osama bukan keganasan dan keganasan bukan Osama. Perang menangani keganasan dan militan hanya akan berjaya sekiranya AS dan Barat dapat mendokong keadilan dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya tanpa mengira ras, politik, agama, kaum dan warna kulit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan