Utusan Online - Pahang |
Posted: SASTIEC uji ketahanan pesertaOleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM Para peserta bersaing meredah kawasan berbukit pada kejohanan SASTIEC 2011 di Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini. TIOMAN 19 Mei – Penganjuran sukan lasak, Sultan Ahmad Shah Tioman International Eco-Challenge (SASTIEC) 2011 yang diadakan di sini baru-baru ini merupakan medan kepada peserta menguji ketahanan mental dan fizikal. Sukan itu yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu mendapat sokongan penyertaan khususnya golongan muda dari dalam dan luar negara. Pengarah kejohanan itu, Datuk Thong Kok Sing berkata, pada pertandingan kali ini pihaknya menampilkan kelainan apabila peserta akan memasuki laluan kampung bagi merasai sendiri suasana desa dan alam semula jadi. Menurutnya, cara itu bertujuan memberikan kelainan dan halangan berbeza kepada peserta supaya mereka dapat meningkatkan potensi masing-masing dalam sukan tersebut. "Pertandingan kali ini dibahagikan kepada lima sektor iaitu peserta akan melalui 15 hentian pemeriksaan dengan jarak 35 kilometer bermula dari Tekek ke Kampung Nipah. "Selain melihat istana hinggap kepunyaan keluarga diraja Pahang di sini yang turut dikenali sebagai Pulau Naga, mereka juga dapat meninjau flora dan fauna yang menarik di sekitar pulau ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Jelasnya, cabaran itu telah berjaya menarik lebih ramai peserta iaitu 210 orang berbanding tahun lalu 119 orang sahaja. Katanya, antara peserta yang menyertai kejohanan itu ialah dari Kenya, Australia, Brunei, Itali, Rusia, Singapura, Thailand dan Vietnam selain Malaysia. Perlumbaan dilepaskan oleh penganjur kejohanan tersebut, Datuk Seri Tengku Kamarul Zaman Sultan Abu Bakar. Menurut Kok Siong, objektif utama penganjuran itu adalah menguji kekuatan stamina peserta menjelajah ke setiap lokasi perkampungan di sini selain meneroka alam semula jadi. Sementara itu beliau memberitahu, beberapa penambahbaikan aktiviti seperti berkayak dan berbasikal akan diadakan pada penganjuran yang sama nanti. Jelasnya, pihaknya ingin mengadakan kedua-dua aktiviti tersebut tetapi tidak dapat dilakukan kerana masalah kewangan dan logistik. "Kita berharap untuk mendapatkan sokongan daripada sektor swasta bagi menjayakan program bertaraf dunia ini pada masa hadapan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pertama kali sertai SASTIEC raih kejayaan Posted: Pertama kali sertai SASTIEC raih kejayaan
TIOMAN 19 Mei - Peserta Sabah, Heidilee Mohamad, 28, dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori lelaki tempatan pada kejohanan Sultan Ahmad Shah Tioman International Eco-Challenge (SASTIEC) 2011 yang diadakan di sini baru-baru ini. Heidilee yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatat masa keseluruhan 4 jam 49 minit bagi larian sejauh 35 kilometer sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM2,000. Katanya, laluan di sini lebih mencabar kerana bentuk muka bumi yang berbukit. "Bukan itu sahaja, banyak kali juga saya terkena duri rotan tetapi ia tidak menjadi halangan untuk saya menjuarai pertandingan itu," katanya di sini baru-baru ini. Pemenang tempat pertama kategori lelaki antarabangsa, Moses Kipsang Kandie, 24, dari Kenya mengakui trek laluan sangat mencabar kerana bersemak-samun selain peserta perlu mendaki bukit dan memanjat batu. Moses yang pertama kali menyertai kejohanan itu berjaya menamatkan larian 35 Kilometer dalam masa 4 jam 8 minit. Sementara itu, kategori wanita tempatan pula menjadi milik Cheah Meei Meci, 35, manakala kategori wanita antarabangsa disandang oleh peserta Kenya, Eunice Nyawira Muchiri, 19. Meei Meci yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, ia merupakan cubaannya yang pertama di pulau tersebut. "Apa yang penting kita jangan mudah putus asa dan terus berusaha sehingga ke akhir pertandingan," katanya. Bagi Eunice, dia teruja dan gembira kerana memenangi kategori tersebut dan menyifatkan kejohanan itu mencabar dan bercadang menyertainya pada tahun depan. | ||
Posted: RM300,000 baik pulih rumahOleh ALI MAHMOOD RAUB 19 Mei - Kerajaan memperuntukan lebih RM300,000 bagi membaik pulih rumah uzur dan usang di bawah Skim Membaiki Rumah Lama di kawasan Parlimen Raub tahun ini. Ahli Parlimen Raub, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sebanyak 100 rumah di 49 kampung yang dikategorikan sebagai rumah lama dan uzur terpilih untuk dibaik pulih. Menurut beliau, kerja-kerja membaik pulih rumah terbabit adalah sebahagian daripada program kerajaan dalam membela nasib rakyat khususnya golongan miskin. Beliau menjelaskan, setiap pemilik rumah terbabit akan diberi peralatan dan bahan binaan bernilai RM5,000 manakala kerja-kerja membaik pulih dilakukan di bawah seliaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). "Pemilihan setiap kampung hanya dihadkan dua rumah sahaja yang dinilai oleh sebuah jawatankuasa khas berdasarkan taraf hidup miskin dan keadaan rumah mereka yang uzur," katanya selepas majlis mesra rakyat dan penyampaian bantuan kepada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dataran Raub di sini hari ini. Beliau yang juga Menteri Pelancongan berharap skim itu mencapai sasaran dengan memilih individu yang layak menerima bantuan tersebut. Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim bagi mengatasi bebanan hidup mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan