Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Anwar diperintah membela diriOleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR 16 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berjaya membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan tersebut. Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti kesemua keterangan saksi dan berpendapat bahawa Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi utama pendakwaan adalah saksi yang benar dan keterangannya boleh dipercayai. Selain itu, katanya, keterangan saksi utama tersebut disokong dengan keterangan doktor-doktor bahawa berlakunya penetrasi zakar serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kedua-duanya berada di kondominium berkenaan pada masa seperti dalam pertuduhan. Anwar yang tekun mendengar penghakiman selama satu jam 45 minit mulai pukul 9.08 pagi, sesekali menoleh ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk bersama anaknya, Nurul Izzah serta penyokong-penyokongnya di galeri awam sambil tersenyum. Raut wajahnya juga kurang ceria dan didengar seolah-olah mengeluh apabila keputusan selesai dibacakan oleh hakim tersebut. Mahkamah menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mula memberi keterangan membela diri. Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Mohd. Saiful Bukhari adalah saksi yang jujur dan boleh dipercayai yang memberi keterangan tanpa segan silu atau menokok tambah berhubung kejadian liwat tersebut. ''SP1 (Saksi pendakwa pertama - Mohd. Saiful Bukhari) telah disoal balas dengan panjang lebar, SP1 secara konsisten menggambarkan dengan terperinci bagaimana tertuduh memasukkan zakarnya ke dalam dubur pengadu dengan bantuan cecair pelincir. ''Tiada apa yang datang daripada pemeriksaan balas SP1 atau saksi-saksi lain yang boleh mencadangkan bahawa apa yang diberitahu oleh SP1 adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Saya mendapati keterangan SP1 tidak terjejas. ''Saya mendapati SP1 adalah saksi yang bercakap benar dan tanpa segan silu atau menokok tambah dalam keterangannya semasa menjelaskan bagaimana dia diliwat oleh tertuduh pada masa dan tempat sebagaimana dalam pertuduhan,'' ujarnya. Beliau sebelum itu berkata, pihak pembelaan cuba menggambarkan pengadu sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemuda itu bukan penganut agama Islam yang baik, datang daripada keluarga yang berpecah-belah termasuk adik perempuannya yang telah kahwin lari selain pengkhianat kepada Barisan Nasional apabila mengundi PKR pada pilihan raya umum. Hakim Mohamad Zabidin menegaskan fakta-fakta tersebut adalah tidak relevan dalam menentukan kredibiliti pengadu tetapi terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian. Beliau berkata, mahkamah perlu meneliti hujahan peguam berhubung tingkah laku pengadu seperti tidak lari selepas diliwat sebaliknya makan dan minum bersama tertuduh, melakukan segala arahan tertuduh ketika kejadian, tidak membuat aduan kepada pengawal keselamatan dan tidak membuat laporan polis dengan serta-merta. Menurutnya, pihak peguam mendakwa tingkah laku sedemikian menunjukkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari tidak boleh dipercayai, seorang penipu dan mencadangkan pihak pendakwaan menuduh pemuda itu di mahkamah mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu. Hakim tersebut bagaimanapun berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk beliau menggunakan kegagalan Mohd. Saiful Bukhari melarikan diri, membuat aduan atau membuat laporan polis bagi menunjukkan bahawa kejadian liwat itu tidak berlaku. Jelas beliau, tidak sukar untuk memahami kenapa pengadu berkelakuan sedemikian kerana dia ketika itu berusia 22 tahun, bukan pekerja biasa tetapi pembantu peribadi kepada tertuduh yang menjadi idola dan dianggap mempunyai karisma selain pengadu diberi layanan istimewa oleh tertuduh malah menghadiahkannya pakaian. Selepas mendapati kredibiliti Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas dengan tingkah lakunya itu, menurut Hakim Mohamad Zabidin, soalan seterusnya adakah keterangan tertuduh yang mendakwa dia diliwat boleh diterima dan selamat untuk mahkamah memanggil tertuduh membela diri. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Berpegang pada kesederhanaanOleh Zin Mahmud
OXFORD 16 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak dunia Barat dan Islam supaya melakukan tindakan bersama untuk mewujudkan masa depan yang penuh dengan keadilan, kebebasan, harapan, belas ihsan dan muhibah bagi generasi akan datang. Jika tidak, kata Perdana Menteri, masa depan akan dipenuhi dengan ketidakadilan, kezaliman, putus harapan, kezaliman dan kebencian. "Ini kerana pembahagian sebenar adalah bukan antara Timur dan Barat atau antara dunia maju dan membangun, atau malah antara orang Islam dengan bukan Islam. "Ia adalah antara golongan sederhana dan ekstremis dari semua agama. Bersama, marilah kita berpegang pada kesederhanaan sebagai tindakan terbaik dan cara untuk maju ke hadapan," katanya dalam syarahan bertajuk Gabungan Golongan Sederhana dan Kefahaman Antara Tamadun di Sheldonian Theatre di Universiti Oxford di sini. Najib berkata, kesederhanaan bukanlah konsep asing bagi manusia. "Ia juga bukanlah bersifat teori. Ia adalah prinsip hidup nyata yang diambil daripada tingkah laku Rasulullah SAW selepas bertahun baginda ditekan, diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy, baginda memerintah di Mekah dengan penuh wibawa, kemaafan dan kasih sayang," katanya. Perdana Menteri juga menyebut tokoh-tokoh besar bukan Islam yang mengamalkan kesederhanaan antaranya Nelson Mandela, Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jr. "Dalam hal United Kingdom, kenang kembali detik-detik gelap di Ireland Utara menjelang Persetujuan Good Friday di mana ekstremis kedua-dua belah pihak yang berlainan mazhab yang cuba menarik balik negara itu ke dalam kancah keganasan tetapi dengan gabungan golongan sederhana dari kalangan nasionalis dan loyalis yang bangkit bersatu untuk menyatakan tidak," kata beliau. Syarahan ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) dihadiri kira-kira 600 ahli akademik, ahli politik dan ahli perniagaan. Perdana Menteri adalah dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Britain. Najib mengingatkan, bagaimana di persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lalu, beliau menyeru kepada satu Gerakan Sejagat bagi Golongan Sederhana yang menyaksikan kerajaan, intelektual, ulama dan pemimpin niaga di seluruh pelosok dunia mengambil pendirian yang bersatu. "Ini kerana dengan semangat Wasatiyah atau kesederhanaan dan keseimbangan yang mesti diterapkan di seluruh dunia," jelasnya. Beliau selanjutnya mencadangkan supaya gagasan kesederhanaan atau Wasatiyah dijadikan kaedah bukan saja untuk menyelesaikan masalah ekstremisme tetapi juga krisis ekonomi global. "Jika sikap saya ini idealistik tersohor ia sebenarnya realistik. Ramai ilmuwan Islam memberi perhatian bagaimana Islam dengan pandangan dunia agama, budaya, politik, etika dan ekonominya dapat membantu menyelesaikan sebahagian cabaran besar hari ini. "Inilah persoalan yang menarik minat saya, bagaimanakah kesederhanaan dapat menyelesaikan masalah ekstremisme tetapi juga, dalam cara yang tidak terduga, dapat membantu kita menghadapi krisis ekonomi global. "Adalah bukan suatu yang kebetulan di mana institusi-institusi yang bergerak menggunakan prinsip Islam dapat melalui krisis ekonomi yang terburuk. Kewangan Islam meletakkan kemaslahatan awam mengatasi keuntungan peribadi. Dan perlu ditarik perhatian bagaimana bank Islam tidak akan membenarkan seseorang berbelanja atau memberi pinjaman begitu banyak wang tanpa benar-benar mereka memilikinya," ujar beliau. Menurut Najib, dunia Islam telah menampilkan diri sebagai kekuatan ekonomi. "Malaysia adalah pemimpin dunia dalam bidang kewangan Islam. Malaysia juga adalah pemimpin dunia dalam menjadi pengeluar sukuk atau bon Islam dengan 60 peratus daripadanya datang dari Malaysia. "Dalam hal ini, saya percaya kita perlu melihat secara mendalam bagaimana struktur kewangan Islam boleh membantu arkitektur ekonomi global yang sedang muncul. Hakikatnya, untuk menggantikan salah laku, kewangan Islam menawarkan kesederhanaan dan ketelusan. Bagi menggantikan ketamakan, kewangan Islam menawarkan keadilan," tegasnya. – Utusan Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kenaikan pangkat guru diberi nafas baru Posted: Kenaikan pangkat guru diberi nafas baruKUCHING 16 Mei - Warga pendidik kini boleh menikmati lonjakan gred dalam perkhidmatan melalui kaedah kenaikan pangkat yang diberi nafas baru melibatkan pengenalan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru bermula 1 Januari 2012. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi kaedah itu guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru. Menurutnya, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru, laluan kerjaya guru yang terlibat dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP) akan diperluaskan sehingga ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan. "Kewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya. Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 yang dilancarkan oleh Timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini. Sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta 4,000 warga pendidik dan tetamu jemputan. Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa mana-mana guru yang menunjukkan kecemerlangan seperti ditetapkan oleh lembaga tersebut boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Katanya, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. "Untuk itu, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus menjadi 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya. Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Katanya, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 pula dinaikkan ke Gred DG48, melibatkan 6,585 jawatan. "Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan