Utusan Online - Rencana |
Posted: Penuhi keperluan guru, muridPENDIDIKAN sememangnya menawarkan 1,001 cabaran. Untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dibekalkan dengan ilmu pengetahuan bukan tugas yang mudah. Ada cabaran menyediakan sumber manusia, infrastruktur dan paling besar adalah memperuntukkan dana bagi membolehkan segala perancangan berjalan lancar. Sebab itu Timbalan Perdana Menteri, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN mahu segala usaha ke arah menyediakan sistem pendidikan yang 'sempurna' digembeleng menerusi langkah-langkah penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran mahu sistem pendidikan di negara ini 'mengejar' sudut positif yang ditawarkan negara-negara lain terutama dari sudut menyediakan tenaga pengajar kreatif, inovatif. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan SAIFULIZAM MOHAMAD Suruhanjaya Sekuriti baru-baru ini, Muhyiddin mengupas pencapaian bidang pendidikan sepanjang 2010 serta menggariskan tumpuan utama Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi tahun ini. Salah satu yang menjadi keutamaan beliau adalah menjenamakan semula aliran vokasional ke arah menyahut seruan kerajaan yang mahu menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi. Bagi Muhyiddin, dua tahun memikul tanggungjawab menjadikan sistem pendidikan di negara ini 'gudang awal' melahirkan sumber manusia berkebolehan menuntut kerja keras dan komitmen turun padang meninjau sendiri keperluan sebenar. Wawancara yang disertai jurugambar NOORADZREEN MOHD. NOOR itu turut mengajak Muhyiddin mengupas perihal sekolah-sekolah uzur dan daif yang menuntut dana besar untuk dipulihkan. Mengimbangi keperluan pendidikan di bandar dan luar bandar juga memerlukan perhatian besar Kementerian Pelajaran lantaran jurang antara kedua-duanya tidak boleh dibiarkan semakin melebar. MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat cabaran bidang pendidikan bagi 2011? MUHYIDIN YASSIN: Kita masih menumpukan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan. Saya bertanggungjawab untuk memastikan sasaran yang ditetapkan 2011 baik dalam bidang pra sekolah, literasi dan numerasi, sekolah berprestasi tinggi dan bai'ah atau tawaran ganjaran kepada pengetua dan guru besar. Perkara ini harap dapat dimulakan pada tahun ini di mana kita di peringkat akhir menilai prestasi pengetua dan guru besar sebelum dapat memberi ganjaran kepada mereka. Tumpuan 2011 adalah untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan menerusi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan kita akan mulakan dengan pelan strategik yang kedua mulai tahun ini. Apa perkara yang akan diberi keutamaan? MUHYIDDIN: Ada beberapa yang akan saya tumpukan. Yang pertama kualiti perguruan, itu saya sentiasa tekankan. Maknanya guru bukan saja mesti berdedikasi tetapi mereka mesti mampu menyampaikan ilmu kepada pelajar dengan cara inovatif dan kreatif - satu aspek baru yang ditekankan dalam pelan strategik kita. Di samping itu kita sudah perkenal dasar baru selain kurikulum standard bagi sekolah rendah, dasar baru sukan, program vokasional, Martabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang penting bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang kita sudah mulakan. Nampaknya ada perubahan seperti mana keputusan peperiksaan UPSR dan PMR yang menyaksikan peningkatan dalam mata pelajaran tersebut, tapi itu tidak cukup. Sebab itu kita akan mulakan program membawa masuk pakar Bahasa Inggeris mulai tahun ini. Ia penting untuk kita pantau supaya program pembelajaran Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi. Bagaimana pula dengan penekanan dalam bidang vokasional? MUHYIDDIN: Saya nak lihat bagaimana strategi meningkatkan bidang vokasional sebagai satu bidang yang penting. Pihak kementerian telah berbincang tentang bagaimana program ini dapat diperluaskan dari segi kapasiti, infrastruktur, tenaga pelatih dan yang paling penting kurikulumnya. Perlu ditekankan bahawa sepanjang masa 10 peratus daripada kohort dalam bidang pendidikan mengambil aliran vokasional. Jumlah ini tidak mencukupi untuk tampung keperluan pekerja berkemahiran tinggi untuk tempoh 10 tahun akan datang. Oleh itu kita putuskan untuk rancang dan lancar program vokasional secara besar-besaran. Kita akan menjenamakan sekolah vokasional sebagai kolej vokasional mulai tahun ini. Langkah ini penting bagi memberi laluan kerjaya bukan setakat di peringkat sijil tapi mungkin diploma, selepas itu ijazah di IPTA dan IPTS. Yang penting bagaimana kita nak merangka kurikulum ini sesuai dengan tuntutan NKEA yang telah ditetapkan dalam transformasi ekonomi. Dalam hal ini kita tentu akan menumpukan kepada kluster sektor industri, misalnya kawasan sektor pembuatan. Kita akan dirikan sekolah vokasional yang ada hubungkait dengan pembuatan atau pun perkapalan atau minyak dan gas. Itu cabaran besar sekali kerana ia melibatkan modal dan sumber. Di sini saya putuskan untuk pelawa swasta terlibat membantu meningkatkan kapasiti kita dalam bidang vokasional. Adakah aliran vokasional akan kekal untuk lepas PMR? MUHYIDDIN: Kita sedang teliti. Matlamat kita hendak salurkan pelajar aliran ini dari peringkat awal sedikit berbanding sekarang (selepas PMR). Ini kerana amalan sekarang didapati agak lambat. Keduanya tempoh di sekolah vokasional agak singkat iaitu dua tahun dan didapati tidak mencukupi untuk mereka menguasai kemahiran yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun. Saya fikirkan jika kita ada kemudahan, lebih awal lagi pelajar dapat dijuruskan dalam bidang vokasional itu adalah lebih baik. Ini kita sedang kaji, tapi setidak-tidaknya lebih awal daripada sekarang ini dan melibatkan tempoh lebih panjang. Aliran vokasional masih dalam sistem pelajaran sedia ada tetapi kita keluarkan sijil dalam bidang vokasional, maknanya ada akademik dan yang penting ada vokasional. Dalam pendekatan vokasional 70 peratus hands on manakala 30 peratus lagi akademik dan mata pelajaran teras juga kekal. Lain-lain lebih banyak kepada soal latihan kerja, pengenalan alat dan mesin seperti mana yang berlaku di banyak negara jadi kita perlu ubah ke arah itu. Penjenamaan semula sekolah vokasional akan dimulakan pada 2011? MUHYIDDIN: Buat masa ini yang sedia ada kita teruskan. Kalau kita nak perkenalkan mungkin lambat sedikit bagaimanapun kita sedang teliti seboleh-bolehnya untuk kita laksanakan tahun ini. Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp |
Bola sepak dan kerakusan politik Posted: Bola sepak dan kerakusan politikOleh SAHARUDIN MUSTHAFA SAMA ada saya berada di Jakarta, Indonesia sebagai wakil baru akhbar ini tepat pada waktunya atau tidak, bukanlah idea yang bijaksana untuk dikongsi dalam tulisan ini. Berkongsi dengan pembaca perkembangan mutakhir sukan bola sepak di negara yang mempunyai populasi penduduk 236 juta ini sebaliknya, menjadi nota yang mahu dimuatkan dalam perenggan seterusnya penulisan ini. Suasana di Jakarta khususnya menjelang perlawanan akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2010 saling tidak ubah seperti agenda nasional yang cukup besar bagi seluruh rakyat di negara republik ini. Maka benarlah pandangan yang mengatakan sukan mampu menerobos aliran pemikiran masyarakat. Sukan juga berupaya mencetus polemik, perdebatan dan percaturan idea di kalangan pencinta tegar sama ada yang berpusat di coffe house hotel-hotel waima di warung-warung kecil di tepi jalan. Penangan sukan bola sepak di Indonesia sendiri misalnya telah mengubah secara total landskap sosio budaya masyarakat dari segenap lapisan. Kerana mahu mendapatkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno sahaja hampir-hampir meragut nyawa mereka yang berpusu-pusu di pintu masuk stadium. Itu belum lagi ditambah dengan permainan media tempatan yang cukup ghairah memberikan liputan kepada skuad Garuda yang dari kaca mata mereka harus diangkat ke taraf yang paling tinggi biarpun sebelum memasuki gelanggang. Liputan meluas media-media tempatan terhadap sukan bola sepak di negara ini amat luar biasa sekali dan tidak pernah dilakukan di Malaysia. Sepanjang demam Piala Suzuki AFF 2010 lebih-lebih lagi selepas Garuda dibaham oleh Harimau Malaya 0 - 3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur di peringkat final pertama, liputan berbentuk provokasi menghiasi dada-dada akhbar serta dikupas dalam pelbagai bentuk perdebatan. Pasukan bola sepak Indonesia kepada rakyat negara itu tidak boleh tunduk pada pasukan tetangga. Kesilapan itu bagaikan satu 'dosa besar' dan wajar ditebus semula meskipun secara relatifnya sukan bola sepak sewajarnya dijadikan senjata untuk mengakrabkan hubungan dua buah negara. Rasa kasih dan sayang media tempatan terhadap para pemainnya dalam satu perspektif lain barangkali wajar diberi kepujian. Pemain-pemain skuad kebangsaan diangkat pada kedudukan yang paling tinggi biarpun sebelum waktunya kerana didorong oleh semangat nasionalisme yang tinggi. Prestasi pasukan merah putih itu dianalisis dari pelbagai sudut pandang. Sehingga ke hari ini, satu Indonesia bercakap mengenai bola sepak meskipun kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 musim ini sudah berada dalam genggaman Malaysia. Emosi rakyat negara ini terhadap pembangunan sukan bola sepak juga sangat mengagumkan berbanding perkembangannya sekitar lebih sedekad lalu. Generasi skuad Garuda hari ini barangkali boleh disifatkan amat beruntung kerana di tengah-tengah sebahagian besar rakyat Indonesia terhimpit dengan kesulitan hidup, mereka seperti memberi 'nyawa' dan harapan baru. Masakan tidak, di bumi negara ini masih ramai yang merasakan masa depan mereka semakin gelap kerana kadar inflasi yang meningkat. Itu belum lagi mengambil kira cabaran besar kepimpinan negara untuk menguruskan masalah rakyat dan rasuah yang bukan kecil jumlahnya. Alternatif Ketika ini, pasukan kebangsaan memberi alternatif membawa rakyat Indonesia untuk keluar daripada kedukaan. Sukan bola sepak Indonesia merentangi segala sempadan permasalahan dan sekali gus mencuri perhatian segenap lapisan rakyat negara ini. Piala Suzuki AFF 2010 mencetuskan kebangkitan masyarakat di negara ini untuk kembali menghijaukan padang yang sudah semakin pudar warnanya. Biarpun skuad Garuda yang di bawah bimbingan jurulatih, Alfred Riedl itu tidak ditabalkan sebagai juara AFF Rabu lalu, ia bukanlah isu yang harus dipanjangkan lagi. Sebaliknya, apa yang perlu diberi perhatian oleh seluruh pemerhati sukan ialah, bola sepak di negara ini telah membangkitkan gelombang nasionalisme yang lebih kental dalam jiwa rakyat Indonesia. Namun, kecintaan yang semakin menebal itu, sayang sekali dicemari dengan kerakusan segelintir pihak yang menjadikan bola sepak sebagai agenda kepentingan politik mereka. Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dipimpin Nurdin Halid dilihat saling tidak ubah mencari ruang dan kesempatan meraih keuntungan agenda peribadi sehingga mengenepikan keharmonian semangat kesukanan. Pelbagai kerapuhan dalam struktur pengurusan penganjuran AFF di Indonesia tidak diendahkan oleh Nurdin. Kesudahannya, penganjuran AFF di Jakarta khususnya pada peringkat akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menyaksikan kacau bilau di kalangan penyokong tegar sukan bola sepak. Kerana prestasi pasukan bola sepak itu yang kurang menyenangkan menyebabkan Nurdin didesak supaya meletakkan jawatan dan memberi ruang memimpin skuad itu kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik. Di tengah-tengah keghairahan rakyat Indonesia berusaha mengembalikan semula maruah bola sepak negara juga, muncul pula politikus-politikus yang sengaja mahu menumpang perhatian dengan menawarkan habuan-habuan yang lumayan untuk para pemain skuad kebangsaan negara ini. Andai benar janji-janji manis yang ditaburkan oleh penggiat-penggiat politik menjelang perlawanan akhir tempoh hari, Bambang Pamungkas, Christian Gonzales, Irfan Bachdim dan pemain-pemain lain tentunya boleh menggantung but dan hidup senang lenang tanpa perlu beraksi di padang lagi. Undangan politik buat pasukan kebangsaan negara itu menjelang detik penting perlawanan akhir benar-benar meresahkan banyak pihak terutamanya Reidhl yang menyuarakan rasa kurang senangnya dengan tindakan-tindakan itu. Bahkan, Reidhl juga dalam satu temubual dengan media menyifatkan, keghairahan media Indonesia mengangkat pemain kebangsaan serta kaum keluarga mereka sebagai bintang yang hebat merupakan percaturan yang kurang bijaksana. Faktor-faktor inilah yang memberikan tekanan dan bebanan psikologi yang bukan kecil kepada pemain-pemain bola sepak negara itu. Masakan tidak, harapan masyarakat yang digalas amat tinggi sedangkan menjelang hari perlawanan skuad lebih banyak menghabiskan masa menghadiri acara sosial anjuran ahli politik. Laporan lidah pengarang beberapa media tempatan turut merumuskan kegagalan pasukan Garuda di gelanggang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bukanlah menandakan ia kekalahan pemain-pemainnya. Pemain-pemain skuad kebangsaan itu tidak wajar dipersalahkan kerana mereka sudah melaksanakan tugas masing-masing. Garuda sudah mula berani untuk terbang tinggi. Para pemainnya serta jutaan penyokong sukan itu di negara ini sebetulnya juga sudah berada beberapa langkah ke hadapan daripada pemimpinnya menyorak kebanggaan terhadap pasukan itu. Sebaliknya, yang tewas dan paling kecewa ialah para pemimpin, oportunis politik dan mereka yang gemar mengeksploitasi maruah bangsa. Harus diingatkan, politik dan sukan merupakan dua agenda yang berasingan dan seharusnya dipisahkan secara total. Bukan saja buat Indonesia, bahkan Malaysia juga sewajarnya menjadikan hal ini sebagai panduan untuk membangunkan sukan bola sepak pada masa depan. Kita tentunya tidak mahu melihat Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi dan lain-lain menjadi mangsa eksploitasi politik di Malaysia. Lebih baik serahkan saja mereka yang bijak pandai menguruskan pasukan bola sepak. Orang politik kerjanya membela nasib rakyat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan