Rabu, 12 Januari 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Kejayaan besar polis banteras dadah

Posted:

Kejayaan besar polis banteras dadah

Kejayaan besar polis banteras dadah

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Polis mencatatkan kejayaan besar dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah apabila berjaya membongkar 21 makmal memproses dadah dan merampas dadah bernilai kira-kira RM270.78 juta sepanjang tahun lalu.

Kejayaan membongkar 21 makmal memproses dadah terbabit boleh dibanggakan kerana ia meningkat 91 peratus berbanding hanya 11 makmal pada 2009.

Sembilan makmal dikesan di Pulau Pinang, empat makmal masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur, dua makmal di Negeri Sembilan manakala selebihnya masing-masing satu di Johor dan Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, lapan daripada makmal dibongkar didapati digunakan untuk memproses dadah jenis ekstasi, memproses syabu (tujuh), memproses heroin (lima) dan satu memproses pil Eramin 5.

Beliau berkata, siasatan mendapati makmal dibongkarkan ini adalah berskala kecil atau dikenali sebagai 'kitchen lab' dan diusahakan oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran tinggi memproses dadah.

"Bagi 2010, JSJN telah merampas dadah bernilai kira-kira RM270.78 juta iaitu berkurangan berbanding RM389.25 juta pada 2009 tetapi ia masih lagi dianggap kejayaan besar bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini kerana pada 2010, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menghapuskan kegiatan jenayah berkaitan dadah terutama penyeludupan dadah oleh sindiket pengedaran dadah warga asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, pihaknya menghadapi cabaran-cabaran baru dalam usaha menyekat bekalan dadah dari luar negara memasuki negara ini.

Katanya, ini kerana kumpulan sindiket warga asing bijak menyembunyikan kegiatan haram mereka dengan membawa masuk bahan terlarang itu melalui jalan laut dan lapangan terbang antarabangsa di beberapa negeri.

Bagaimanapun, katanya, hasil kecekapan anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan dibantu alat teknologi khas, seramai 1,432 warga asing berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik berbanding 48 peratus atau 969 orang pada 2009.

Tambahnya, 499 orang yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah Noor Rashid lagi, JSJN juga telah memperkukuhkan penguatkuasaan di lapangan terbang antarabangsa memandangkan sindiket pengedaran dadah warga asing mengambil kesempatan menyalah gunakan lapangan terbang untuk menyeludup dadah menggunakan pelbagai modus operandi.

"Sepanjang 2010, seramai 183 warga asing ditahan di beberapa lapangan terbang antarabangsa di negara ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berbanding 21 tangkapan pada 2009.

"Jumlah tangkapan itu menunjukkan peningkatan 771 peratus dengan 122 orang yang ditangkap merupakan warga Iran iaitu 121 orang kerana kesalahan menyeludup syabu dan satu tangkapan kokain," katanya.

Dalam tempoh sama, kata Noor Rashid, 1,548 orang telah diambil tindakan pencegahan khas di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 berbanding 1,324 orang pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 16.9 peratus.

Beliau berkata, selain tindakan pencegahan, JSJN juga menyita harta mereka yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Jelasnya, dalam tempoh setahun itu, kira-kira 67.79 juta harta telah disita berbanding RM71.65 juta pada 2009.

"Sepanjang tahun lalu, JSJN telah menahan 157,756 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan narkotik berbanding 125,650 orang atau peningkatan 25.6 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Bagi tahun ini, Noor Rashid memberitahu, pihaknya sudah merancang beberapa strategi untuk memantapkan lagi penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras kegiatan jenayah berkaitan dadah.

Selain meningkatkan keupayaan pegawai dan anggota, beliau berkata, JSJN akan menubuhkan satu bahagian di Ibu Pejabat Bukit Aman untuk menjalankan tugas khas mengumpul maklumat daripada orang awam dan bertindak segera di atas maklumat tersebut.

Menurutnya, bahagian khas terbabit dijangka mula beroperasi dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi dan pegawai ditugaskan mengendalikan bahagian itu turut diumumkan nanti.

"Dalam masa sama, JSJN juga akan bekerjasama dengan polis dari negara-negara jiran dan negara penyeludup seperti Singapura, Indonesia, Thailand serta Iran untuk bertukar-tukar maklumat," katanya sambil memberitahu orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi beliau di talian 019-4477640.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Misteri mayat lelaki pakai coli jatuh kondo terungkai

Posted:

Misteri mayat lelaki pakai coli jatuh kondo terungkai

Misteri mayat lelaki pakai coli jatuh kondo terungkai

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang memakai coli dan seluar jean biru di sebuah kondominium di Taman Dato Senu, Sentul, di sini hari ini, terungkai apabila dia sebelum itu didapati memecah masuk rumah penduduk.

Mayat mangsa berusia 26 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 12 bangunan itu ditemui pengawal keselamatan pada pukul 6.30 pagi.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, mangsa telah memecah masuk sebuah rumah di tingkat itu melalui beranda bersama seorang rakannya.

Katanya, bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik rumah yang terjaga menyebabkan kedua-duanya bertindak melarikan diri, namun mangsa terjatuh.

Difahamkan, polis tidak menemui sebarang pengenalan diri pada badan mangsa kecuali tiga buah telefon bimbit, tasbih dan serangkai kunci pendua rumah-rumah di situ.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

"Pada awalnya si mati sukar dikenal pasti kerana tidak menjumpai sebarang pengenalan diri di badannya.

"Kami bagaimanapun menghubungi abang ipar si mati menerusi telefon bimbit dan dia datang ke kondominium itu untuk membuat pengecaman," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati si mati pernah mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Si mati bukan penduduk kondominium terbabit dan siasatan sedang dijalankan tujuan dia berada di situ. Kita juga masih belum pasti dia terjatuh dari tingkat berapa," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dijalankan pemeriksaan lanjut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan