Utusan Online - Jenayah |
Mayat mangsa bunuh dalam semak Posted: Mayat mangsa bunuh dalam semakOleh AZELI ALI
BUKIT MERTAJAM 2 Jan. - Mayat seorang wanita hampir reput ditemui dalam semak berhampiran dusun durian di Berapit, kira-kira empat kilometer dari jalan besar, di sini hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, penemuan itu dimaklumkan oleh orang awam. Katanya, anggota dari JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang datang ke lokasi menemui mayat mangsa, kira-kira 15 meter dari pondok milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang. Menurutnya, pihaknya turut menemui kesan darah di dalam pondok berkenaan. "Hasil pemeriksaan menemui mangsa berusia 30-an dan berketurunan Cina itu tertiarap dalam keadaan bogel. "Melihat keadaan mayat yang mula reput, kita percaya dia dibunuh seminggu lalu sebelum mayatnya dicampakkan ke kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. Zahruddin menambah, tiada sebarang identiti atau pakaian ditemui di sekitar kawasan itu dan menyukarkan pihak polis membuat pengecaman. Polis juga, katanya, sedang menyiasat motif pembunuhan dan meminta individu yang hilang ahli keluarga sejak seminggu lalu tampil membuat pengecaman. "Mereka boleh menghubungi Ketua JSJ SPT Asisten Supritendan S. Subramaniam di talian 019-6351119 untuk maklumat lanjut. "Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya. | ||
Pembantu rumah maut jatuh tingkat 12 Posted: Pembantu rumah maut jatuh tingkat 12
PUTRAJAYA 2 Jan. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 12, Pangsapuri Blok E2, Fasa 12, Presint 9, di sini malam semalam. Mangsa yang disyaki cuba melarikan diri daripada majikannya ditemui penduduk di lorong belakang sebuah tadika pukul 7.30 pagi ini. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Ketika kejadian, mangsa cuba memanjat keluar menggunakan kain selimut ketika majikannya tiada di rumah. Turut ditemui beg mengandungi barang-barang milik mangsa di sisinya. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, polis sedang menyiasat majikan mangsa sama ada telah mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pembantu rumah. "Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan ia telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. "Mayat telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan memberitahu, isterinya terdengar dentuman kuat pada malam semalam tetapi tidak mengesyaki apa-apa. "Kami sangka objek besar terjatuh dari bangunan 14 tingkat itu tetapi rupa-rupanya orang. "Saya percaya mangsa dari tingkat 12 sempat berpaut pada struktur besi di tingkat 10 sebelum terjatuh. Terdapat kesan bengkok pada beberapa batang besi di tingkat 10," katanya lagi. Katanya, majikan mangsa ketika ditemui pemberita enggan memberi sebarang ulasan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan