Rabu, 5 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Isu Misbun: BAM tunggu Nadzmi balik

Posted: 04 Jan 2011 05:58 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menunggu kepulangan presidennya Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh dari luar negara sebelum dapat membuat kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek.

Setiausaha Agung BAM Ng Chin Chai yang dihubungi Bernama hari ini enggan memberikan sebarang komen manakala Misbun gagal dihubungi.

"Saya telah dinasihatkan supaya tidak memberikan sebarang komen demi kebaikan badminton negara," kata Ng.

Beliau berkata BAM akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu setelah Mohd Nadzmi pulang dari urusan di luar negara, namun masih belum memutuskan tarikh yang sesuai.

Sehingga hari ini punca utama Misbun meletakkan jawatan sebagai jurulatih negara secara tiba-tiba Jumaat lalu masih menjadi tanda tanya.

Laporan media bagaimanapun mengemukakan pelbagai andaian, antaranya rasa kurang senang Misbun terhadap rombakan baru sistem kejurulatihan badan tersebut yang diputuskan Pengarah Prestasi Tinggi BAM Datuk James Selvaraj.

Misbun yang melatih perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei sejak lebih enam tahun lalu meletakkan jawatan menerusi e-mel ke pejabat BAM pada tarikh 31 Disember lepas.

Hasil tunjuk ajar bekas juara perseorangan negara itu telah membantu Datuk Lee Chong Wei merangkul pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk gelaran All England tahun lepas dan kedudukan sebagai perseorangan nombor satu dunia.

Chong Wei yang kini berada di Taiwan bagi mempertahankan gelaran Kejohanan Siri Super Final Masters, semalam dilaporkan turut berhasrat untuk keluar daripada BAM mengikut langkah jurulatihnya.

Kontroversi peletakan jawatan Misbun itu bagaimanapun tidak menjejaskan latihan skuad negara di Stadium Juara Bukit Kiara di sini.

Tinjauan Bernama mendapati skuad negara, antaranya pemain perseorangan Mohd Arif Abdul Latif menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingan beberapa jurulatih, termasuk Rexy Mainaky. – Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Peniaga nasi kandar buat laporan polis terhadap setiausaha politik Lim Guan Eng

Posted: 04 Jan 2011 05:41 AM PST

GEORGE TOWN, 4 Jan – Peniaga nasi kandar Syed Kassali Mohamad Aliyar hari ini membuat laporan polis mendakwa Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik mengasarinya dan menyita peralatan di gerainya tanpa sebarang notis malam semalam.

Pemilik gerai "Nasi Kandar Mohamad Aliyar" di Gat Lebuh Maccalum itu membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini.

Bercakap kepada pemberita, Syed Kassali mendakwa tindakan Ng yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar dan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang menyita peralatan di gerainya pada pukul 11 malam semalam itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Beliau mendakwa beberapa pekerjanya turut dihamburkan dengan kata-kata berunsur perkauman.

Sementara itu, Ng pada sidang media berkata gerai nasi kandar itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak Mei tahun lepas dan pernah diberikan notis sebanyak empat kali.

Beliau menafikan dakwaan Syed Kassali bahawa kakitangan MPPP telah menyita peralatan dalam gerai itu dan menurutnya hanya barang-barang yang diletakkan di kaki lima dan di atas jalan raya berhampiran gerai nasi kandar itu disita.

"Tindakan yang diambil itu adalah untuk kepentingan orang ramai, malah jalan raya juga perlu bebas daripada sebarang halangan yang menyukarkan semua pihak," katanya dan menurutnya tindakan itu diambil mengikut ketetapan Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan. – Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan