Ahad, 2 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


PLKN: Modul kesihatan reproduktif Mei ini, bukannya pendidikan seks

Posted: 01 Jan 2011 10:05 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Mei ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul baru itu bertujuan membina kekuatan minda remaja dalam pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, katanya.

"Ini bukan modul pendidikan seks... malahan ianya adalah modul untuk mendedahkan para pelatih dengan permasalahan-permasalahan yang berlaku di kalangan masyarakat terutamanya yang melibatkan remaja," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Zahid sebelum itu beramah mesra dengan 1,200 pelatih PLKN iaitu kumpulan pertama siri 8/2011 di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju di sini, sebelum mereka bertolak ke kem PLKN di Perak, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Zahid berkata modul itu kini dirangka Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dengan mengambil kira keperluan dan sensitiviti kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam masyarakat majmuk berdasarkan konsep 1 Malaysia.

"JLKN juga perlu kaji supaya pelaksanaannya nanti tidak bertindih dengan kandungan modul sedia ada, serta mengkaji semula Modul Integrasi, Modul Penyalahgunaan Dadah oleh AADK dan modul-modul lain yang sedang dilaksanakan pada masa ini untuk disesuaikan dengan PKRS," katanya.

Beliau berkata modul itu juga akan mendedahkan pelatih kepada perkara-perkara baru yang tidak diajar di sekolah, dan ia merupakan kokurikulum yang bersesuaian dengan kehendak semasa. Sementara itu, Zahid berkata seramai 3,000 remaja telah memohon untuk menyertai PLKN secara sukarela.

"Kesemua penyertaan pemohon kita terima dan dalam masa dua minggu ini kita akan tentukan sama ada mereka akan memasuki kumpulan pertama, kedua atau ketiga," katanya.

Zahid berkata peningkatan jumlah pemohon yang ingin menyertai program itu merupakan perkembangan yang baik berbanding pada peringkat awal yang menyaksikan ramai ibu bapa memohon supaya penyertaan anak-anak mereka ditangguhkan atau dibatalkan.

Seramai 140,000 pelatih PLKN Siri 8/2011 dari seluruh negara akan menyertai program itu di 79 kem PLKN di seluruh negara. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sarawak akan dipertahan ‘deposit hayat’ BN

Posted: 01 Jan 2011 08:48 PM PST

Tan Sri Taib Mahmud.

DARO, 2 Jan — Barisan Nasional (BN) Sarawak yang diterajui Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memastikan Sarawak kekal sebagai deposit tetap kepada BN pada pilihan raya negeri dan umum akan datang.

Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah berkata hakikatnya Sarawak masih lagi menjadi kubu kuat BN dan kedudukan itu harus dipertahankan pada pilihan raya negeri ke-10 yang mungkin akan diadakan dalam tempoh masa terdekat selain pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Pada pilihan raya umum lalu jika dikira undi BN di Semenanjung pastinya kurang, namun Sarawak dan Sabah telah memastikan BN kekal memerintah dan PBB sebagai komponen BN mempunyai jumlah ahli Parlimen yang ketiga terbesar iaitu 14 anggota selepas Umno dan MCA," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ambang Tahun Baru di Kampung Tian di sini semalam.

Ketika ini BN Sarawak menguasai 29 daripada 31 kerusi di Dewan Rakyat dan  62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tempoh penggal DUN Sarawak dijangka berakhir pada penghujung Jun tahun ini.

Dalam pada itu Wahab berkata semua anggota Parlimen BN dijangka akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Januari ini yang antara lain untuk membincangkan isu tertunggak yang dihadapi di setiap kawasan Parlimen. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan