Utusan Online - Selatan |
- RM2.3j latih graduan menganggur
- Hidangan popular Asia Barat kini di Paroi
- Pengedar dadah nekad terjun bumbung
RM2.3j latih graduan menganggur Posted: RM2.3j latih graduan menganggurOleh AMRAN MULUP MELAKA 1 April – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.3 juta bagi pembiayaan program latihan graduan selama setahun dalam pelbagai bidang kejuruteraan dengan beberapa buah syarikat swasta di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peluang itu adalah untuk graduan dari negeri ini yang masih belum bekerja dan mereka yang baru menamatkan pengajian dari institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. Menurutnya, sepanjang tempoh latihan berkenaan, graduan terbabit akan dibayar elaun setiap bulan iaitu RM1,300 untuk pemegang diploma dan RM1,500 bagi pemegang ijazah. ''Program ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada graduan yang masih menganggur menjalani latihan dan bekerja sementara mereka mendapat pekerjaan tetap. ''Elaun mereka akan dibayar oleh kerajaan negeri menerusi peruntukan yang diterima daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MAIDA)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan bangunan lima tingkat tempat meletak kenderaan bernilai RM18 juta milik syarikat Infineon Technologies (Malaysia ) Sdn. Bhd. di Batu Berendam di sini semalam. Menurutnya, sebanyak 100 kekosongan akan diisi oleh graduan terbabit untuk ditempatkan di syarikat Infineon dan AUO Sunpower Corporation Sdn. Bhd. di Rembia dekat sini serta beberapa syarikat lain. Mohd. Ali berkata, selepas setahun graduan terbabit mengikuti program tersebut, mereka akan diserapkan sebagai pekerja tetap di syarikat terbabit serta memperoleh gaji yang lebih lumayan. Beliau berkata, graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, elektronik, elektrikal, mekatronik, kimia dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh memohon untuk mengikuti program tersebut. Katanya, Invest Melaka bertanggungjawab untuk mengenal pasti graduan yang masih menganggur dan mendaftarkan mereka untuk mengisi 100 kekosongan yang disediakan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Hidangan popular Asia Barat kini di Paroi Posted: Hidangan popular Asia Barat kini di Paroi
SEREMBAN 1 April - Biasanya orang ramai yang ingin menikmati hidangan Asia Barat asli akan tertumpu di kawasan ibu kota di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Ampang di Kuala Lumpur. Namun kini orang ramai di sekitar negeri ini tidak perlu lagi ke sana kerana hidangan negara Asia Barat turut boleh dinikmati di restoran Kabsa Al Arabia di Paroi di sini. Hidangan kabsa kambing dan minuman araisi arabiah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan pengunjung kerana mahu mencuba makanan dan minuman tersebut. Kabsa kambing ialah nasi yang dimasak bersama daging kambing dan diadun dengan rempah ratus yang diimport dari Arab Saudi manakala minuman araisi arabiah pula cukup menyegarkan dengan campuran madu selain buah-buahan yang pastinya memikat selera pengunjung. Pemiliknya, Abdul Hadi Jaru berkata, idea membuka restoran ini adalah hasil dari minatnya yang mendalam mengenai masakan Asia Barat berorientasikan Arab Saudi. "Saya mempelajari semua menu ini sewaktu saya bertugas sebagai petugas Lembaga Tabung Haji. Apa yang saya lihat apabila orang ramai yang mahu menikmati hidangan ini mereka terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menikmatinya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Antara hidangan yang turut disediakan termasuklah kabsa ikan kerapu, kabsa ikan bayan, ayam shawarma, sandwic shish tawook, makkawi mushakkal, hummus dan kacang foull. Tidak ketinggalan makkawi cocktail, mangga makkawi, safari jaru selain teh rabea wangi bagi menghilangkan dahaga. Abdul Hadi berkata, dengan adanya restoran ini ia juga diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung bukan sahaja di kalangan orang ramai malah pengunjung serta pelancong khususnya dari Asia Barat sendiri. "Restoran ini dibuka setiap hari bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 12 malam kecuali pada Jumaat yang hanya dibuka pada pukul 5 petang hingga 12 malam. "Orang ramai yang ingin mendapatkan tempahan untuk sebarang majlis juga boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya di talian 019-4444494," katanya. | ||
Pengedar dadah nekad terjun bumbung Posted: Pengedar dadah nekad terjun bumbungBATU PAHAT 1 April - Akibat takut dicekup polis, dua daripada tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah bertindak nekad dengan terjun dari bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Purnama, Peserai di sini semalam. Tindakan itu juga menyebabkan serpihan atap hampir terkena anggota polis yang memburu suspek. Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai dalam kejadian pukul 5.30 petang. Rumah itu dipercayai dijadikan markas pengedaran pelbagai jenis dadah untuk pasaran di sekitar Peserai. Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, suspek yang ditahan berusia dalam antara 20 dan 30-an dan polis turut merampas sejumlah dadah jenis heroin seberat 48.3 gram, ganja (0.82 gram), pil Eramin 5 (lapan biji) dan syabu (0.2 gram). "Salah seorang daripada suspek ditahan di dalam rumah manakala dua rakannya cuba meloloskan diri dengan memecah siling sebelum menyelusup keluar menerusi bumbung," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Rengit di sini hari ini. Adnan memberitahu, suspek yang ditahan terdiri daripada pemandu lori, peniaga dan penganggur, malah salah seorang memiliki lima rekod jenayah lampau dan turut dikehendaki pihak polis. Mereka kini ditahan reman hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan