Utusan Online - Jenayah |
4 larikan barangan kemas RM7 juta Posted: 4 larikan barangan kemas RM7 jutaOleh ROZIANAH RISMAN PETALING JAYA 30 April - Dalam apa disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku, empat lelaki disyaki warga asing melarikan sejumlah barangan kemas bernilai RM7 juta tanpa menggunakan sebarang senjata selepas memperdaya seorang pekerja kedai emas di Jalan Petaling Jaya Utama, malam semalam. Ketika kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, semua pekerja dikatakan sedang sibuk memasukkan sejumlah berlian dan emas ke dalam beg selepas pameran selesai dijalankan. Tiba-tiba muncul tiga individu dan berpura-pura bertanya kepada salah seorang pekerja kononnya untuk membeli barangan kemas. Ketika pekerja itu sibuk melayan tiga individu terbabit, seorang suspek lain segera melarikan beg yang berisi barang kemas tersebut. Pekerja terbabit hanya menyedari kehilangan barang berkenaan selepas kesemua suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menyiasat suspek yang terlibat di dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan. "Kita masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bangunan tersebut. Ia bagi membantu kita mengenal pasti identiti suspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Tambahnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil memberikan maklumat berhubung kes terbabit. | ||
Dua ditahan bersama syabu RM1.2 juta Posted: Dua ditahan bersama syabu RM1.2 juta
JOHOR BAHRU 30 April - Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah masuk ke negeri ini. Ia berikutan tertangkapnya dua warga asing dari Asia Barat bersama dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai, dekat sini Rabu lalu. Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri pukul 4.30 petang. Beliau berkata, kedua-duanya ditahan sejurus tiba di LTASI dari Kuala Lumpur setelah dikesan menyembunyikan syabu seberat 4.5 kilogram di dalam ruangan khas beg yang dibawa. "Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan jaringan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan berdasarkan siasatan awal, salah seorang suspek didapati kerap ke Malaysia sejak 2009. "Akibat daripada pemeriksaan ketat di pintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai mereka mengalihkan sasaran dengan menjadikan lapangan terbang di dalam negeri untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini. Mohd. Mokhtar berkata, buat masa ini, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Ketua JSJN Negeri, Asisten Komisioner Kamarudin A. Aziz untuk menyiasat perkara itu secara terperinci. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung kes penangkapan kedua-dua suspek bersama dadah tersebut. "Cukup sekadar ini sahaja. Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan," katanya. Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan