Khamis, 28 April 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Budaya asing ancam dikir barat

Posted:

Budaya asing ancam dikir barat

Budaya asing ancam dikir barat

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my


PENAMPILAN tukang karut wanita antara elemen baru dalam dikir barat.


KOTA BHARU 27 April - Keindahan seni akan hanya menyakitkan hati dan mata memandang jika keasliannya terpalit atau sengaja dipalit dengan elemen tidak sepatutnya.

Bahkan, dari sudut nilainya sendiri sudah pasti tidak mampu memberi apa-apa kekuatan sama ada dari perspektif moral atau fizikal, sekali gus signifikan di sebaliknya gagal diterjemahkan kepada umum.

Demikian nasib kemungkinan akan menimpa seni dikir barat yang kini didakwa tercemar berikutan diwarnai elemen yang boleh menjejaskan keaslian seninya.

Antara elemen tersebut adalah membawa masuk atau penggunaan sistem muzik moden, menggunakan kaedah 'minus one' dan menampilkan tukang nyanyi wanita selain berunsurkan konsert rock dan dangdut semasa persembahan.

Perkembangan itu secara tidak langsung menggamit kebimbangan di kalangan pencinta serta peminat seni dikir barat asli negeri ini.

Presiden Koperasi Dikir Barat Kelantan Bhd., Zulkepli Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan Zul Wisma, melahirkan rasa dukacita terhadap senario yang berlaku di dalam persembahan dikir barat mutakhir ini.

Katanya, elemen tersebut mengetepikan konsep asal seni dikir barat yang menggunakan alat seperti gendang, gong dan canang di mana prinsip persembahan sepatutnya dibawa secara langsung kepada penonton.

"Seni asli dikir barat tiada muzik moden. Tiada 'minus one'. Manakala, kehadiran artis wanita hanya menimbulkan fitnah di kalangan orang ramai. Situasi ini patut diatasi.

"Unsur-unsur begini bukan sahaja akan melenyapkan kegemilangan seni yang diwarisi sejak puluhan tahun lampau tetapi mencemar warisan budaya yang menjadi kebanggaan anak Kelantan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan membawa masuk elemen tersebut oleh sesetengah pihak penganjur, adalah semata-mata untuk menjadikan persembahan dikir barat sebagai acara komersial bagi mengaut keuntungan.

Pada 1991, Kerajaan Pas Kelantan telah menyusun semula acara kesenian dan hiburan yang melibatkan persembahan hiburan tradisional seperti makyong, menora, wayang kulit termasuk dikir barat di negeri ini agar tidak bercanggah dengan Islam.

Persoalannya, sejauh mana penguatkuasaan penyusunan itu dilaksanakan sedangkan gejala buruk itu terus berleluasa, terutamanya dalam persembahan yang diadakan di padang atau di kampung-kampung.

"Jika senario ini terus berleluasa, maknanya penguatkuasaan itu tidak konkrit," katanya yang juga tukang karut termasyhur kumpulan dikir barat negeri ini.

Justeru, Zulkepli yang juga pengerusi salah sebuah firma audit di negeri ini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan berkaitan termasuk kerajaan negeri sendiri memandang serius senario yang berlaku demi mengekalkan keaslian seni dikir barat.

Dikir barat adalah permainan tradisional paling digemari oleh masyarakat Melayu Kelantan suatu masa dahulu dan sering dimainkan pada musim menuai serta pada majlis perkahwinan.

Persembahannya disampaikan secara berkumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara bertindak mendahului nyanyian sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dikir Barat Kelantan (Pendikir), Mohd. Ruby Jaffar berkata, senario tersebut bukan perkara baru dan telah mewarnai arena dikir barat di merata-rata tempat kebelakangan ini.

Namun, tambahnya, oleh kerana penguatkuasaan pihak berkenaan terlalu longgar, budaya asing semakin mudah menular mencemari seni asal dikir barat.

"Saya percaya fenomena tersebut tidak wujud sekiranya pemantauan dibuat secara bersepadu oleh pihak berkenaan terutamanya sewaktu meluluskan permit persembahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi kuasa kepada pihak persatuan untuk menapis setiap permohonan persembahan dikir barat dari mana-mana penganjur sebelum membuat persembahan.

Cadangan itu katanya, bagi membantu pihak terbabit menangani budaya yang bercanggah dengan undang-undang hiburan negeri di samping menjaga keaslian persembahan dikir barat itu sendiri.

"Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak terbabit bagi membuat apa jua pemantauan bersabit perkara itu sebab persatuan sentiasa memperjuangkan keaslian seni dikir barat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kemeriahan sambutan Pesta Songkran

Posted:

Kemeriahan sambutan Pesta Songkran

Kemeriahan sambutan Pesta Songkran


SEBAHAGIAN remaja keturunan Siam bergembira pada sambutan Songkran 1Malaysia dan Pesta Air Kelantan di Wat Sukhontharam di Kampung Kubang Panjang, Tumpat, baru-baru ini.


TUMPAT 27 April - "Suk-san wan songkran" atau Selamat Hari Songkran, disambut meriah di kalangan masyarakat Siam dan penganut Buddha yang masing-masing apabila bertemu, merapatkan kedua tapak tangan dan dibawa ke bahagian dada sambil tubuh dibongkokkan sedikit.

Permulaan yang penuh santun itu bertukar kepada sambutan lebih mengujakan apabila masing-masing menjinjing baldi berisi air dan menyimbah ke arah satu sama lain. Mereka yang mempunyai pistol air pula menghalakan hos dan 'menembak' sesiapa sahaja sebagai tanda bermulanya Pesta Songkran.

Dikenali sebagai pesta air mengikut kalendar Masehi, pesta itu disambut pada April iaitu hari yang paling panas dalam tempoh setahun. Justeru, pada sambutannya yang diadakan di Wat Sukhontharam, Kampung Kubang Panjang, dekat sini baru-baru ini, cuaca terik dikaitkan dengan penghujung musim kemarau.

Melihat sambutan yang cukup meriah dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung kalangan masyarakat Siam terutama golongan muda-muda dari pelusuk negeri, ternyata bahang yang menyengat bukan menghalang kepada mereka untuk bermain air.

Sambutan dipenuhi dengan gelak ketawa pengunjung yang "sporting" manakala di kalangan pelancong pula, mereka teruja untuk sama-sama mengalami pengalaman baru yang menghiburkan.

Suasana yang awalnya terkawal berubah kepada hiruk pikuk dengan pekikan dan teriakan keseronokan terutama di kalangan anak-anak muda yang datang berpasangan atau secara berkumpulan.

Menurut Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot a/l Cha Chan, Songkran merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam dan disambut berdasarkan kalendar lunar Siam iaitu pada bulan kelima dan jatuh pada hari ke-15.

Katanya, ia bukan sekadar pesta tetapi pengisian lebih berfokus kepada penyatuan hati golongan tua dan muda yang dimulakan dengan upacara memandikan patung Buddha. Ia diikuti memandikan sami atau dikenali sebagai Sangha kemudian, memandi dan menyiram tangan golongan yang lebih tua dengan air wangi-wangian seperti air bercampur bunga-bungaan, minyak wangi dan beberapa titisan lilin cair.

"Memuliakan golongan pemimpin agama dan ibu bapa dititikberatkan dalam upacara begini bagi mendidik golongan muda menghormati serta mengenang jasa mereka, di samping mengukuhkan ikatan kekeluargaan kerana kebiasaannya pada majlis sambutan, anak- anak di luar daerah akan pulang untuk meraikan bersama," ujarnya yang ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, sambutan di sini lebih terkawal berbanding di Thailand yang lebih agresif dengan kumpulan meraikan Songkran akan berlawan air atau menyimbah kepada sesiapa sahaja yang lalu lalang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

APMM Terengganu tahan 13 nelayan asing

Posted:

APMM Terengganu tahan 13 nelayan asing

APMM Terengganu tahan 13 nelayan asing

KEMAMAN 27 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 13 nelayan Vietnam kira-kira 125 batu nautika dari Pantai Kuala Terengganu berhampiran Pelantar Minyak Tiong Alfa kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, bot itu yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram berjaya dipintas ketika cuba melarikan diri ke perairan antarabangsa.

Menurut beliau, pihaknya mendapat maklumat berhubung kehadiran bot nelayan asing berkenaan kira-kira pukul 8 pagi daripada sebuah bot APMM, KM Jarak yang sedang menjalankan operasi.

"Kami mengekori bot asing terbabit dan berjaya mengejar serta menahannya," katanya dalam satu sidang akhbar di Pusat Tahanan Vesel Maritim Kemaman di sini kelmarin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan