Khamis, 28 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Roboh tiga rumah haram

Posted: 27 Apr 2011 12:58 PM PDT

AMPANG: Tiga rumah, dua bengkel dan sebuah stor yang didirikan secara haram di Lorong Permai 4/1, Taman Permai Jaya, di sini, dirobohkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Operasi yang dijalankan di atas tanah milik kerajaan itu dilakukan bagi menaik taraf talian penghantaran TNB dari kawasan Kampung Pandan ke kawasan Ampang East.


Kawasan setinggan itu diduduki sejak 1990-an oleh seorang pesara tentera udara, Abdul Karim Arifin, 60, yang menjadikan tanah itu sebagai tapak semaian bersama rakannya dan mendakwa mereka mempunyai geran bagi menduduki tanah itu dan enggan berpindah walaupun sudah mendapat surat dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bertarikh 3 Januari lalu.

Menurutnya, dia tidak berpindah kerana mahu mendapat kepastian mengenai perkara sebenar dan mendakwa mendapat surat kelulusan menduduki kawasan berkenaan daripada pihak TNB.


Pada masa sama, kawasan itu turut diduduki warga asing dipercayai warga Indonesia yang juga pekerja di tapak semaian milik Abdul Karim. Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membantu TNB dalam menjayakan projek naik taraf berkenaan dan pada masa sama membasmi kawasan setinggan dalam kawasan pentadbirannya.


Menurutnya, pihak MPAJ akan membuat semakan ke atas dakwaan Abdul Karim yang mendakwa memiliki kelulusan menduduki tanah itu dan tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jalan berlubang akibat mendapan

Posted: 27 Apr 2011 12:26 PM PDT

SUBANG: Kejadian jalan mendap yang membentuk lubang berukuran tiga meter di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang, dekat sini, sejak dua minggu lalu, mengundang perasaan gusar di kalangan penduduk terutama yang mempunyai anak kecil.

Menurut penduduk yang ingin dikenali sebagai Ani, 32, kejadian kali kedua selepas kejadian penghujung tahun lalu itu dipercayai berlaku berikutan struktur pembinaan jalan tidak kukuh, selain kehadiran kenderaan berat seperti lori sampah dan bas.


Katanya, dia menyedari jalan terbabit mendap ketika menghantar anak sulungnya berusia 11 tahun ke sekolah berhampiran.

Ani yang juga pengasuh kepada empat kanak-kanak berusia lima bulan hingga enam tahun itu, mengakui bimbang dengan keselamatan anak kecil dalam jagaannya dan memantau pergerakan mereka setiap waktu terutama ketika berada di luar kawasan rumah.


Menurutnya, sepanjang 12 tahun dia menyewa di kawasan kejiranan itu, kejadian jalan mendap tidak pernah berlaku.


Katanya, dalam kejadian pertama, suaminya membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi laman web rasmi pihak berkuasa berkenaan, namun laporan itu dikatakan tidak sah.

Berikutan maklum balas itu, mereka memutuskan untuk tidak melaporkan kejadian kedua kepada MBSA.


Sementara itu, jirannya, Siti Norhayati Wan Junid, 50, berkata masalah berkenaan sudah diadukan kepada ketua kampung, namun masih tiada tindakan diambil.

Katanya, longkang di depan rumahnya turut tersumbat apabila runtuhan batu jalan menutupi laluan air, malah banjir kecil turut berlaku terutama selepas hujan.


Bimbang keselamatan pengguna lain, dia meletakkan bendera larangan di lubang terbabit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan