Ahad, 24 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Idam lelaki penyayang

Posted: 23 Apr 2011 01:59 PM PDT

Dekritawati Yuliana Buhari
Dekritawati Yuliana Buhari

KUALA LUMPUR: "Saya letak dua syarat penting jika ditakdirkan ada lelaki menyukai saya dan kalau ditakdirkan bertemu jodoh satu hari nanti. Dia mestilah benar-benar menyayangi saya sepenuh hati tanpa ada sebab lain.

"Jika benar-benar suka, dia harus terima saya seadanya, ikhlas dan bukan kerana saya anak jutawan atau disebabkan harta peninggalan arwah emak," kata Dekritawati Yuliana Buhari, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.


Sering mengelak setiap kali diajukan soalan berbaur peribadi, gadis yang menginjak usia 25 tahun ini mengakui tidak akan menolak takdir jika dipertemukan dengan lelaki yang mempunyai ciri-ciri sedemikian bagi menamatkan zaman bujangnya.

Mengenai pelbagai gosip dan pernah dikaitkan dengan penyampai di sebuah stesen televisyen terkenal, Zulkifli Bujang, Rita hanya menyatakan: "Biarlah rahsia. Saya tak nak komen apa-apa." Akur bahawa tumpuannya kini lebih kepada amanah arwah ibunya supaya menjalankan perniagaan yang diwariskan itu sebaik mungkin, dia mengakui atas keazaman kuat untuk melonjakkan perniagaan itulah dia mempertaruhkan seluruh komitmennya.


Rita yang baru pulang daripada mengerjakan ibadat umrah pertengahan bulan lalu bersama adiknya Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erni Erinawati Sofea, 21, dan Siti Nur Fatimah, 13, tidak menafikan sepanjang melakukan ibadat di Tanah Suci, dia turut berdoa supaya ditemukan jodoh dengan lelaki terbaik untuk masa depannya.


"Bohong kalau saya langsung tidak berdoa untuk jodoh kerana doa di sana (Madinah dan Makkah) akan dimakbulkan tanpa hijab. Saya berdoa kalau ada jodoh, supaya ditemukan dengan lelaki terbaik untuk dunia dan akhirat," katanya.

Ditanya mengenai restu keluarga terutama bapanya, Buhari Mohamed terhadap lelaki pilihannya, Rita berkata, soal itu tidak pernah dibincangkan secara terbuka.


"Abah tidak pernah letakkan syarat selama ini jika saya ada calon atau teman lelaki. Abah boleh terima sesiapa saja asalkan lelaki itu jujur atau benar-benar sayangkan Rita," katanya tegas.

Ditanya mengenai pengalaman mengerjakan umrah bersama tiga adiknya serta ahli keluarga lain, anak sulung daripada enam beradik ini mengakui mereka terkejut apabila terhidu bau badan arwah yang sangat wangi sepanjang melakukan ibadat di sana.


"Pertama kali terhidu bau wangi itu ketika saya solat di Masjid Nabawi, Madinah. Terfikir juga di hati, takkan ia satu kebetulan atau mainan perasaan, tetapi saya biarkan ia berlalu begitu saja.


"Sebaik sampai di Makkah, perkara sama terjadi ketika saya dan adik melakukan tawaf dan sai. Lalu saya tanya adik (Rina) sama ada dia turut terhidu wangian sama, dan Rina mengiyakan. Dia akui, dia juga tercium wangian yang sering emak pakai.


"Tak tergambar perasaan saya bersama adik di kala itu kerana terlalu rindu kepada arwah emak. Namun kami gagahkan diri supaya dapat melakukan umrah sebaik mungkin dengan mengetepikan rasa sedih, sebaliknya terus melakukan ibadat dengan penuh khusyuk," katanya.


Tidak menafikan apabila tercium bauan berkenaan, dia berasakan seolah-olah ibunya turut sama 'menemani' mereka melakukan ibadat sepanjang hampir dua minggu di bumi anbia itu.


Terlalu gembira dengan kejadian itu, dia dan adiknya berpakat setiap seorang daripada mereka melakukan umrah masing-masing buat ibu tercinta.


Untuk itu, katanya, setiap hari dia memastikan mereka empat beradik bersungguh- sungguh mengerjakan umrah serta penuh keikhlasan agar mendapat umrah mabrur buat ibu yang sudah tiada.


"Empat hari berturut-turut kami melakukan umrah sebagai pernyataan keikhlasan diri kami adik-beradik tanpa rasa penat. Sebaliknya, setiap kali terbayang wajah emak, semangat untuk mengerjakan ibadat itu semakin membara.


"Kuasa Allah memang menakjubkan kerana memberi kami kekuatan untuk terus melakukan ibadat dan langsung tidak terfikir soal kerja di pejabat walaupun tahu tanggungjawab besar buat saya demi memastikan perniagaan kosmetik yang dilakar oleh emak lebih 17 tahun lalu tetap mantap dan bertahan lama," katanya.


Ditanya mengapa dua adiknya, Md Erwan Nasri, 23, dan Erni Reenilawati, 20, tidak ikut sama mengerjakan umrah, dia mengakui mereka ditugaskan menjaga operasi perniagaan supaya ia berjalan seperti biasa.


"Alhamdulillah, saya bangga apabila adik dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut perancangan yang dilakukan bersama.


"Bukan tidak percaya kakitangan yang ada tetapi memandangkan Reeni pernah mengerjakan umrah bersama emak pada 2008 dan Nasri pula ada tugas yang perlu diselesaikan, kami melakukannya dengan penuh perancangan rapi," katanya.


Ditanya sesuatu yang indah untuk dikongsi, dia mengakui ketika mengerjakan tawaf selamat tinggal (wida), dia dapat melaksanakannya dengan penuh ketenangan meskipun dia dan adik masih bersedih dengan peristiwa pembunuhan kejam ibunya.


Pada 30 Ogos tahun lalu, Allahyarham dan tiga yang lain iaitu pemandu ibunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil, 32, mati dibunuh di Tanjung Sepat, Banting, Selangor sehingga menggemparkan negara kerana pembunuhan itu disifatkan paling kejam di negara ini.


"Saya panjatkan doa semoga emak dan mangsa lain ditempatkan di kalangan insan beriman dan berharap si pembunuh mendapat hukuman paling setimpal dengan perbuatan mereka.


"Sepanjang berdoa, air mata tidak putus-putus mengalir kerana kami terlalu merindui emak dan rasa betapa sayu saat hendak meninggalkan bumi Allah yang tercinta itu.


"Namun terus-terang saya katakan, kehidupan saya selepas mengerjakan umrah sungguh tenang dan bersemangat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ashraf pilih Dayana

Posted: 23 Apr 2011 01:57 PM PDT

GOMBAK: Siapa sangka hubungan sebagai adik angkat kepada keluarga Lokman Abdul Hamid yang membimbingnya dalam rawatan perubatan Islam sejak dua tahun lalu, membawa jodoh buat artis Ashraf Muslim.

Hubungan akrab dengan keluarga itu membuahkan bibit cinta antara pelakon berusia 30 tahun itu dengan anak kedua Lokman, Noor Dayana, 24, yang juga pelajar Jurusan Perubatan di Universiti Mannipal, India.


Pelakon utama drama Ustaz Amirul itu selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis berkenaan di rumah keluarga Noor Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, di sini, jam 9.30 pagi semalam.

Pasangan itu kelihatan segak dan anggun apabila mengenakan busana tradisional moden berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, manakala pelamin disediakan Azmi Othman. Cincin pertunangan disarungkan ke jari Noor Dayana oleh ibu saudara Ashraf, Fatimah Azim.


Pertukaran hantaran menyaksikan pengacara Gadis Melayu TV9 musim ketiga itu memberi lima bentuk hantaran iaitu buah-buahan, sirih junjung, bekas cincin, kek dan coklat, manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang berisi alat perapian lelaki, sirih junjung, coklat, kek, pakaian, samping dan bekas cincin.


Majlis pertunangan yang dibuat secara tertutup untuk ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak media, turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Ditanya lanjut mengenai bakal isterinya, Ashraf berkata, Dayana yang kini menjalani praktikal di sebuah hospital di Melaka memiliki ciri wanita idamannya, malah mereka juga berkongsi minat serupa iaitu dalam bidang perubatan.


"Ciri-ciri Dayana yang merendah diri, bertudung, solehah dan sedap mata memandang merebut hati saya. Keserasian yang ada membuatkan kami yakin untuk bersatu,'' katanya.

Pasangan yang merahsiakan jumlah wang hantaran itu bercadang menaiki jinjang pelamin pada 1 Syawal (30 Ogos) di Masjidil Haram, Makkah.


"Kami ingin menurut sunnah nabi dan sahabat yang memilih tempat suci itu untuk berkahwin. Selepas diijab kabul saya akan buat tawaf, solat sunat dan selepas itu baru akan membatalkan air sembahyang,'' katanya yang kurang mengambil tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada pusat perubatannya.


Selepas pertunangan, Ashraf turut memperkenalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah yang dikongsi bersama bakal bapa mentuanya bersebelahan kediaman itu. Pusat Perubatan itu dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Mohamed Khaled berkata, mukjizat al-Quran seharusnya diterapkan pada rawatan moden kerana ia dapat mengembalikan zaman kegemilangan Ibnu Sina. Doktor dan cendikiawan Islam itu menggunakan ayat al-Quran dalam kaedah rawatan moden.


Pusat perubatan berkenaan yang ditubuhkan pada 2000 memberi perkhidmatan perubatan melalui rangkaian ayat al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit fizikal, rohani dan akhlak.


Kini ia mempunyai cawangan di sembilan lokasi iaitu Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Langkawi dan Singapura.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan