Berita Harian: Mutakhir |
MLFF akan dilaksana secara berperingkat mulai tahun depan Posted: 25 Apr 2011 02:57 AM PDT Mutakhir KUALA LUMPUR: Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) akan dilaksanakan di semua plaza tol secara berperingkat mulai tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2015, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.Beliau berkata, pelaksanaan MLFF bagi menggantikan sistem plaza tol sekarang memerlukan pindaan Akta Lebuhraya 1981 dan usul pindaan itu akan dibentang di Parlimen tahun ini untuk diluluskan. "Sistem ini dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di tol serta memberikan satu sistem lebuh raya yang lebih efisien," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Jalan Raya Dunia (PIARC), di sini hari ini. Sistem yang digunakan secara meluas di Eropah, Amerika, Australia, Kanada dan Singapura itu akan menolak bayaran secara elektronik apabila kenderaan yang menggunakan tag khas melepasi palang yang dipasang dengan alat pengesan.Projek percubaan sistem MLFF itu telah dilaksanakan di Plaza Tol Batu Tiga di Lebuhraya Persekutuan dan Plaza Tol Penchala di Lebuhraya Damansara-Puchong. Shaziman berkata, antara usul pindaan akta itu ialah untuk menyeragamkan peraturan tertentu dalam pelaksanaan tiket elektronik. "Pada hari ini syarikat konsesi yang menjalankan operasi jalan bertol ini, setiap perjanjian mereka adalah secara indvidu dengan kerajaan, ia tak seragam," katanya. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
MBMMBI: 10,000 guru Bahasa Inggeris dilatih tahun ini Posted: 25 Apr 2011 02:52 AM PDT Mutakhir KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk melatih 10,000 guru bahasa Inggeris tahun ini bagi memastikan pengajaran bahasa itu di sekolah berjalan lancar.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penyediaan latihan berkenaan selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu yang bermula tahun depan. "Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, kementerian telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha dan strategi bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bahasa Inggeris. "Sehingga kini, hampir 12,000 guru terbabit dalam program latihan khusus untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris yang diadakan tahun lalu dan untuk tahun ini kementerian mensasarkan 10,000 guru bahasa Inggeris diberikan latihan sama," katanya ketika menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.Ng ingin tahu apakah langkah kukuh yang diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar peringkat rendah dan menengah berikutan pemansuhan PPSMI untuk Tahun Satu dilaksanakan tahun depan. MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata selain menubuhkan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Dasar MBMMBI yang dipengerusikan beliau sendiri, kementerian akan melakukan pengambilan semula guru bersara bahasa Inggeris dengan menawarkan kerja secara kontrak.
Katanya, kerajaan turut membawa masuk 375 penutur jati dari luar negara untuk melaksanakan program peningkatan profesionalisme pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dengan 360 daripada pakar bahasa Inggeris itu dilantik sebagai mentor kepada guru Bahasa Inggeris bagi 1,800 sekolah rendah. Kementerian juga meningkatkan kapasiti bilik komputer di sekolah sebagai makmal Bahasa Inggeris dengan 20 sekolah dipilih sebagai perintis makmal itu tahun lalu dan diperluaskan ke 700 sekolah lagi tahun ini. Muhyiddin berkata, kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi membekalkan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris di pusat sumber sekolah rendah tahun ini. Bagi meminimumkan kesan perubahan dasar ini, kementerian memperkenalkan pendekatan pilihan lebih mudah iaitu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mengikut keupayaan seseorang guru dan murid. "Ini bermakna, kertas peperiksaan disediakan dalam dwibahasa dan terpulanglah kepada mereka untuk menjawab dalam bahasa yang mereka mudah fahami," katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan peralihan itu, proses perubahan digerakkan secara berperingkat sehingga memasuki fasa MBMMBI sepenuhnya apabila kohort terakhir PPSMI tamat pada 2015. "Dengan penjelasan itu, saya amat berharap kekhuatiran dan keresahan sesetengah pihak terhadap isu ini akan terungkai," katanya. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan