Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Alat ganti survival miniOleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN KEPUTUSAN menceburi bidang automotif sekitar tahun 80-an sememangnya langkah yang tepat bagi seorang anak jati Perak berusia 40 tahun. Dia kini bergelar antara pengusaha kereta klasik berjaya di negara ini. Ternyata kemahiran membaiki kereta lama terutama jenis Mini milik gurunya semasa menuntut di sebuah sekolah teknik di Taiping, Perak memberi kelebihan kepada Rosli Jaafar hingga mampu menjalankan bisnes bengkel kereta Mini sepenuh masa sejak 18 tahun lalu. Meskipun permulaan penglibatan dalam perusahaan bengkel pada tahun 1990-an dilihat agak sukar disebabkan bekalan alat ganti yang sememangnya mahal, dia nekad meneruskan bengkel tersebut. "Pada tahun 90-an, alat ganti terpakai sukar dicari dan jika ada pun yang baru harganya mahal kerana diimport dari England. "Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 90-an, saya bernasib baik kerana alat ganti terpakai telah masuk ke Malaysia terutamanya kereta Mini potong dari Jepun," katanya. Menyingkap kembali perkembangan kenderaan ciptaan Sir Alec Issigonis, kereta Mini klasik merupakan sebuah kenderaan kecil yang dikeluarkan oleh British Motor Corporation (BMC), Leyland Motor Corporation (BLMC) dan Rovers Group dari tahun 1959 sehingga tahun 2000. Ia adalah kereta buatan British paling popular dan dianggap sebagai ikon tahun 1960-an. Ia mempunyai reka bentuk unik, tiada batasan zaman, menjimatkan ruang dan memiliki enjin pacuan roda depan yang menjadi ikutan pengeluar kereta lain. Bahkan, disebabkan populariti tersebut, kereta Mini menduduki tempat kedua dalam senarai kereta paling berpengaruh dalam abad ke-20. Ia hanya dikalahkan oleh kereta Model T Ford. Dalam sejarahnya, Mini telah bersilih ganti nama pengeluar iaitu Austin, Morris, Leyland, British Leyland, Austin Rover, MG-Rover dan Innocenti. Namun, satu perkara yang tidak diganti dan masih kekal adalah reka bentuknya yang klasik sehinggakan pada zaman ini ia masih utuh di jalan raya. Bagaimanapun, setelah mengecapi tempoh kegemilangan selama 41 tahun, Mini klasik akhirnya menghentikan pengeluaran pada Oktober 2000 dan digantikan dengan New Mini buatan BMW dengan rupa yang lebih moden setahun kemudian. KHAZIN (paling kiri) bersama ahli-ahli jawatankuasa kelab Peminat Kereta Mini Malaysia yang bergiat aktif mewarnai aktiviti industri permotoran negara. Meskipun pengeluaran Mini klasik tidak lagi dihasilkan, ia masih digilai para peminat yang setia di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini. Antara individu terkehadapan menghidupkan kembali Mini klasik ialah para mekanik yang berhadapan dengan 1,001 kerenah kenderaan tersebut. Bagi mereka yang telah berkecimpung dalam dunia kereta Mini sejak bertahun-tahun lamanya, mereka menganggap keadaan itu sebagai cabaran yang memberi kepuasan. Kini, melalui Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia, ahli-ahli kelab tersebut mula menganjurkan aktiviti riadah agar momen bersama kereta comel masing-masing dapat diteruskan. Kereta potong Jepun Mengulas lanjut berkenaan kereta Mini, Rosli yang merupakan pemilik bengkel Mini Heritage (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu berkata, kereta potong Mini dari Jepun menjadi pilihan kerana negara matahari terbit berkenaan adalah pengimport kedua terbesar dari England. "Pemilik kereta Mini di Malaysia mempunyai alternatif untuk mendapatkan alat ganti terpakai yang jauh lebih murah berbanding sebelum ini. "Sebenarnya kereta potong dari Jepun asalnya diimport dari England memandangkan Jepun adalah pengimport kedua terbesar dari sana. "Boleh dikatakan hayat Mini klasik di seluruh dunia disebabkan adanya alat ganti. Kalau alat ganti sudah tiada, kemungkinan kereta ini akan pupus," katanya yang memiliki kereta pertama dari model Mini Clubman. Bercerita mengenai peralatan membaiki, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, tiada masalah bagi membaiki kereta Mini kerana peralatan boleh dibeli di mana-mana sahaja. Namun, terdapat beberapa bahagian sahaja yang memerlukan peralatan khas yang dibuat sendiri dan kemungkinan tiada di pasaran iaitu puller untuk membuka flywheel. "Sebelum ada alat khas itu, mekanik terdahulu mengetuk menggunakan penukul bagi membuka bahagian tersebut, tetapi risiko perumah (casing) enjin untuk pecah amat tinggi. "Jadi, saya mengelak menggunakan penukul kerana apabila pelanggan melihat kita pakai penukul, mereka tidak yakin nak hantar kereta pada kita," katanya yang turut memiliki enam orang pekerja. Tambahnya, trend memiliki kereta Mini semakin hari semakin meningkat daripada pelanggan baru terutama generasi muda. Bahkan, peminat dari luar negara seperti Jepun, Singapura, Brunei dan China turut menggunakan khidmatnya. Sementara itu, seorang lagi mekanik Mini yang berjinak-jinak dengan kereta berkenaan sejak tahun 70-an, Alvin Teo Huwy Tim memberitahu, membaiki kereta Mini tidak begitu sukar jika seseorang mengetahui teknik yang betul. MEKANIK menjadi individu terpenting semasa program konvoi sama ada di dalam atau luar negara. "Membaiki kereta Mini ini tidaklah susah. Hanya keadaan enjinnya agak sempit sikit selain peralatan membaikinya yang agak luar biasa. Ia juga menggunakan ukuran inci yang menjadi identiti kereta buatan British. "Sebaliknya, jika kita lihat kereta Jepun, semua peralatan menggunakan ukuran milimeter (mm)," katanya yang tidak kekok berkongsi pengalaman. Tahan lama Alvin yang membuka bengkel secara sambilan di Malim Jaya, Melaka mempunyai pandangan yang sama dengan Rosli apabila lebih suka menggunakan peralatan membaiki yang dibuat sendiri kerana lebih praktikal dan tahan lama. Jelas lelaki berusia 59 tahun itu lagi, rata-rata peralatan membaiki sedia ada di pasaran tidak tahan lama dan kurang memberi kepuasan kepadanya. Bekas pekerja di syarikat pengedaran kereta British, Wearne Brothers Limited yang telah lama menutup operasinya itu berkata, bagi menyelenggara kereta Mini, peralatan khas perlu digunakan supaya sesetengah bahagian tidak rosak. "Semasa di Wearne Brothers dahulu, kita sudah biasa menghasilkan peralatan khas bagi memudahkan kerja membuka bahagian yang sukar atau sempit, contohnya pada klac. "Jika tiada peralatan khas pun boleh buat kerja tetapi agak susah sikit. Mini bukan seperti kereta lain kerana semua bahagian enjin disekalikan pada satu bahagian," ujar Alvin yang turut memiliki tiga buah kereta Mini model Mk1, Mk3 dan Traveller. Mengulas mengenai pengalaman berkonvoi yang disertainya baru-baru ini ke Koh Samui, Thailand, dia berkata, tidak semua alat ganti dibawa oleh mekanik sebaliknya setiap peserta bertanggungjawab membawa barangan yang dirasakan perlu. "Kebiasaannya, kita akan membawa benda-benda penting yang sering mengalami masalah seperti palam pencucuh, kabel palam pencucuh, karburator, hos air dan hos petrol. "Jika berlaku masalah pada sesebuah kereta semasa perjalanan, saya biasanya mencari penyelesaian pantas tidak kira apa cara sekalipun. Yang penting, kereta boleh bergerak sehinggalah kita menemui kawasan yang sesuai untuk membaiki kereta. Saya juga akan mengelak daripada menggunakan trak penunda," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan