Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kestabilan Malaysia kekal - PM
- Projek nuklear: Kerajaan tidak tergesa-gesa
- 15,000 bakal hadir Jamuan 1Malaysia
Kestabilan Malaysia kekal - PM Posted: Kestabilan Malaysia kekal - PMKUALA LUMPUR 1 April - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa bahawa terdapat kestabilan di Malaysia dan ia akan berkekalan untuk jangka masa yang lama. "Apa yang berlaku di Asia Barat hanya berkisar di sana dan tidak mendatangkan kesan kepada Malaysia kerana kita mempunyai demokrasi yang segar, kerana kita ada dasar-dasar yang selaras dengan kehendak rakyat, kerana kita ada pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kita ada pekerjaan," kata Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan stesen televisyen Bloomberg yang disiarkan hari ini. Beliau ditanya sama ada tunjuk perasaan membantah kepimpinan di beberapa negara di Asia Barat dan Afrika Utara boleh merebak ke Malaysia kerana negara ini sudah diperintah selama lima dekad oleh Barisan Nasional. Katanya lagi, Malaysia mempunyai 2.2 juta pekerja asing selain mengamalkan dasar-dasar yang melindungi golongan berpendapatan rendah. "Kita sentiasa memenuhi keperluan sosial rakyat," katanya dalam temu bual mengenai pencapaian beliau selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri. Ketika ditanya sama ada perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memburukkan imej Malaysia di mata dunia dan menjejaskan kemasukan pelaburan seperti yang didakwa oleh Sir Richard Branson tahun lepas, Najib berkata, kes itu merupakan soal peribadi. "...disebabkan aduan oleh seorang individu yang kebetulannya adalah pembantu beliau (Anwar). Ia bukan satu tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia," katanya. Najib berkata, apa yang disebut oleh Branson, yang merupakan pengasas Virgin Group, tidak disokong oleh fakta, kerana pada 2009, pelaburan langsung asing adalah sekitar AS$1.7 bilion dan melonjak kepada AS$7 bilion tahun lepas. "Saya berpendapat angka-angka ini sudah cukup menjadi bukti," kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Beliau juga berkata, kerajaan komited untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengira kaum. Perdana Menteri berkata, kumpulan sasar ini bukan saja terdiri golongan miskin di luar bandar, tetapi juga di bandar. "Kita bukannya cakap pasal miskin tegar. Kita cakap mengenai mereka yang berpendapatan sekitar RM3,000 atau AS$1,000 sebulan," katanya. Laporan tahunan 2010 Program Transformasi Kerajaan yang diumumkan minggu lepas menunjukkan 99.8 peratus daripada 44,643 isi rumah miskin tegar tidak lagi berada dalam kategori itu. — BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Projek nuklear: Kerajaan tidak tergesa-gesa Posted: Projek nuklear: Kerajaan tidak tergesa-gesaKUALA LUMPUR 1 April - Kerajaan yang menyedari sepenuhnya impak krisis loji nuklear Jepun, tidak tergesa-gesa merealisasikan program tenaga nuklear Malaysia memandangkan daya majunya masih dinilai. "Saya rasa banyak negara di dunia membuat penilaian semula dan kita akan memanfaatkannya dan kerajaan akan membuat keputusan muktamad apabila masanya tiba," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada temu bual dengan Bloomberg baru-baru ini. Bagi melaksanakan pelan nuklear itu, kerajaan perlu melalui kajian daya maju yang ketat, susulan krisis nuklear di Jepun akibat gempa bumi. "Keselamatan orang ramai diutamakan, dan jika projek itu dilaksanakan, ia mesti memberi manfaat kepada negara. "Yang penting ialah mendapat sokongan rakyat," katanya. Rancangan untuk mendapatkan maklum balas komuniti antarabangsa dan melaksanakan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi amalan terbaik antarabangsa, sudah disediakan bagi melaksanakan program tenaga nuklear pertama Malaysia. Pada Disember 2010, kerajaan mengumumkan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear yang masing-masing mampu menjana 1,000 megawatt, dengan projek pertama sedia beroperasi pada 2021 dan loji kedua, setahun kemudian sebagai rancangan jangka panjang menyeluruh untuk bekalan tenaga yang seimbang. Kerajaan berpendapat, tenaga nuklear merupakan pilihan utama dalam mengimbangi sumber tenaga berikutan kos penyelenggaraan rendah dan tarif yang lebih rendah dalam jangka panjang. Pada masa ini, gas menyumbang 64 peratus daripada penjanaan tenaga di Malaysia, manakala selebihnya daripada arang batu. Sementara itu, Najib juga berkata, kerajaan memantau rapat projek kilang penapis Rare Earth Lynas Corporation di Kuantan. "Jika projek seperti itu mahu diteruskan, kerajaan akan pastikan ia melalui pemeriksaan yang ketat dan memenuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan," katanya. Projek kilang penapis berkenaan menarik perhatian dunia dan dibantah rakyat berdasarkan persamaannya dengan kilang seumpama itu di Bukit Merah, Ipoh. Kilang di Bukit Merah yang dibuka oleh Mitsubishi Chemicals pada tahun 90an dan dikatakan mengeluarkan bahan radioaktif dan menjejaskan kesihatan bekas pekerjanya, kini melalui kerja-kerja pembersihan yang menelan belanja RM300 juta. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
15,000 bakal hadir Jamuan 1Malaysia Posted: 15,000 bakal hadir Jamuan 1MalaysiaPULAU PINANG 1 April - Kira-kira 15,000 orang dijangka menghadiri Jamuan 1Malaysia di Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau esok, sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini. Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, jamuan tersebut disediakan sendiri oleh penduduk kampung secara gotong-royong. Menurutnya, jamuan bakal bermula pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang. "Sebanyak 10 ekor lembu dan 1,000 ekor ayam disembelih bagi menyediakan jamuan ini yang melibatkan penduduk beberapa buah kampung berdekatan. "Kami menjemput orang ramai tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk datang ke majlis ini dan bawa juga keluarga masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Jamuan berkenaan merupakan antara program yang disediakan sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke Pulau Pinang bagi mendekati rakyat dan mendengar masalah mereka. Pada sebelah pagi, Najib dijadual beramah-mesra dengan para pemandu teksi yang akan menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Perdana Menteri kemudiannya akan mengunjungi penduduk Taman Tun Sardon, Gelugor; Flat Padang Tembak, kediaman anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Flat Kampung Melayu di Air Itam. Sebelah petang pula, beliau akan bermesyuarat dengan para pemimpin BN sebelum menghadiri Karnival Kebudayaan India 1Malaysia di Penang International Sports Arena (PISA). Najib juga dijadual berjumpa dengan rakan-rakan Facebook beliau dari negeri ini. Pada sebelah malam, beliau akan menghadiri majlis Makan Malam 1Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan