Kosmo Online - Rencana Utama |
Terjebak kerana pemgaruh rakan Posted: Terjebak kerana pemgaruh rakanOleh NURUL IZZA ROSLY TERPENGARUH dengan ajakan teman-temannya, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Farizal, 30, terbabit dengan aktiviti menyamun ketika umurnya 28 tahun. Menurut Farizal, pada masa itu jugalah dia berjinak-jinak dengan dadah. "Saya menyamun kerana mahu memenuhi membeli dadah selain berhibur," katanya yang sudah dua tahun menghuni Penjara Kajang atas kesalahan menyamun. Mengakui agak gementar dan agak takut kali pertama terbabit dalam aktiviti menyamun, namun perasaan itu akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang mengujakan. Menyamun bukan saja menjadi pekerjaan sambilannya bahkan dia sudah terlibat dalam enam kes samun di kawasan sekitar Lembah Klang dan Johor. "Memang ada rasa takut setiap kali menyamun, namun kehendak diri mengatasi segalanya. Langsung tidak ingat ibu bapa kerana ajakan kawan-kawan lebih kuat," kata Farizal. Lazimnya, anak kesembilan daripada 11 beradik itu bersama empat rakannya menyasarkan van yang membawa bekalan rokok. "Menyamun van membawa rokok agak lumayan kerana kami memperoleh purata RM40,000 hasil daripada jualan rokok tersebut," katanya yang masih bujang dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan. Hikmah ditangkap Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Ketika Farizal sedang berehat-rehat di rumah sewanya di Cheras, Kuala Lumpur dia ditahan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, beberapa rakannya yang lain terlepas. Menurut Farizal, segala-galanya berubah selepas dia ditangkap. Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik tangkapan tersebut kerana dia seolah-olah dikejutkan daripada mimpinya. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. "Ketika ditangkap barulah rasa sedih dan menyesal sangat. Masa tu, wajah ibu dan keluarga muncul satu persatu. Pasti mereka terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku," katanya yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Sama seperti Farizal, Chin, 30, anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Rawang, Selangor mula terjebak dalam jenayah samun kerana ajakan kawan-kawan. Chin bersetuju menyertai kumpulan menyamun kereta mewah pada tahun 2009 untuk menyara keluarga kerana kesempitan wang walaupun bekerja sebagai seorang mekanik. MEREKA yang menyamun tidak peduli jika terpaksa mencedera atau membunuh mangsa. – Gambar hiasan "Kami bergerak berempat dan dua orang diperlukan untuk mencuri sebuah kereta mewah. Tidak sukar mencuri sesebuah kereta memandangkan saya seorang mekanik. Apabila misi mencuri kereta mewah berjaya, ia akan dijual pada harga serendah RM40,000. "Selepas misi kami berjaya, saya semakin seronok melakukannya. Dalam keseronokan itu, timbul juga rasa takut setiap kali melakukan perbuatan terkutuk ini tetapi apabila melihat wang yang banyak di depan mata, rasa takut itu hilang," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun. Chin amat merindui anaknya dan malu serta kesal dengan diri sendiri yang tidak berfikir panjang sehingga melakukan kerja haram yang memakan dirinya sendiri. Kini dia terpaksa meringkuk di penjara sehingga tahun 2014. Terdesak sara keluarga Seperti Farizal, Chin bertekad mahu mengubah hidup keluarganya. Tidak seperti Farizal dan Chin, Siva, 31, anak kedua daripada lapan beradik yang berasal dari Kuala Lumpur mula menyamun pada tahun 2008 akibat desakan hidup. Dengan pendidikan sehingga darjah tiga, Siva gagal mencari sebarang pekerjaan. "Keluarga saya susah, bukan tidak mahu kerja tetapi tiada orang mahu ambil saya bekerja. Saya tertekan kerana perlu memberi makan isteri dan anak lelaki yang berusia empat tahun. Disebabkan itu saya tekad menyamun seorang diri dengan menyasarkan orang awam yang lalu lalang di kawasan sunyi dan terpencil. "Sepanjang dua tahun menyamun, habuan yang paling banyak saya dapat ialah RM1,000 dengan hanya menyamun seorang orang awam. Biasanya saya akan menggertak mereka dengan pisau bagi membolehkan saya mendapat habuan dengan mudah," katanya yang bakal dibebaskan tahun ini. Aktiviti Siva bagaimanapun dapat dihidu oleh ibu dan isterinya. Siva mampu memperoleh wang tanpa melakukan sebarang pekerjaan. Dia terpaksa berbohong kepada kedua-dua wanita tersebut kononnya duit yang diperoleh adalah hasil pemberian kawan-kawan yang simpati dengan nasibnya. "Tapi saya tahu ibu tidak percaya dan sering menasihatkan saya supaya tidak buat perkara yang menyalahi undang-undang. Keseronokan menyamun lenyap apabila saya ditangkap pada tahun 2010 ketika sedang mengambil upah mencuci kereta. "Saya tidak melawan atau cuba melarikan diri tetapi biarlah saya ditangkap," katanya yang insaf dengan kesalahan yang dilakukan. Dalam pada itu, Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy memberitahu, terdapat dua faktor yang menyebabkan seseorang itu menyamun. Pertama, mereka merompak kerana mahu mendapatkan habuan seperti duit. Kedua, sifat tamak sehingga sanggup melakukan apa sahaja tanpa berfikir panjang. ANTARA senjata tajam yang digunakan oleh penyamun. "Tetapi faktor paling utama ialah sifat tamak kerana mereka mahu senang dengan cara yang cepat dan mudah tanpa perlu bekerja. Ada juga yang mengaitkan seseorang itu menyamun kerana dadah, namun peratusnya tidak banyak. "Jika seseorang itu dipengaruhi dadah, kita perlu lihat jenis dadah yang diambil. Ada beberapa jenis dadah yang menyebabkan seseorang itu bertindak berani dan agresif seperti syabu, ketamin dan ice. Mereka di bawah pengaruh dadah sebegini boleh melakukan apa sahaja tanpa berfikir," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Tambah Sundramoorthy, mereka yang mengambil dadah tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyamun atau merompak. Mereka hanya melakukannya apabila ada peluang di depan mata. Menurutnya, terdapat beberapa jenis samun yang sering berlaku iaitu samun jalanan, samun rumah dan samun kereta. Samun yang biasa terjadi ialah samun jalanan yang menjadikan orang awam sebagai sasaran lebih-lebih lagi apabila mereka berada di kawasan sunyi. Katanya, kes samun dan rompak terutamanya rompak kedai emas dan bank jarang berlaku di Malaysia jika dibandingkan di negara-negara lain lebih-lebih lagi yang melibatkan senjata api. Antara sebabnya ialah akses kepada senjata tersebut sangat sukar. Jika ada pun, ia melibatkan sindiket atau negeri-negeri yang terletak di sempadan. "Tanggapan bahawa penyamun hanya menyamun orang kaya perlu diubah kerana orang biasa juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa mereka. Malah, rumah di pekan-pekan kecil juga tidak terkecuali. Jadi, kalau anda orang yang kaya, jangan tunjukkan kemewahan itu. "Sukar untuk kita mengenal pasti seseorang itu penyamun atau perompak kerana mereka sama seperti kita. Jadi orang awam harus sentiasa berhati-hati jika ada individu yang datang menghampiri. Jangan sesekali menggunakan jalan pintas kerana mahu menjimatkan wang tetapi mengabaikan keselamatan," pesan beliau. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan