Isnin, 25 April 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


SMS, rekod panggilan hanya disimpan 30 hari

Posted: 25 Apr 2011 04:18 AM PDT

Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu syarikat pembekal perkhidmatan komunikasi hanya boleh menyimpan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan rekod panggilan telefon untuk tempoh 30 hari sahaja.

Pengurus Kanan Celcom Transmission, Mohd Norizal Hasim berkata selepas tempoh itu, semua data itu tidak dapat diperoleh kembali selepas ia diserahkan kepada bahagian bil.

"Kita tidak dapat mengesan setiap kandungan SMS dan rekod panggilan dalam tempoh masa yang lama," katanya ketika disoal Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, lapor Bernama.

Terdahulu itu, Foong mempersoalkan mengapa pegawai penyiasat Michael Leslie Squires sukar mendapatkan maklumat dalam SMS dan panggilan keluar masuk yang terdapat dalam telefon bimbit pegawai SPRM dan Teoh yang telah disita.

"Dalam kes ini pegawai penyiasat (Michael) telah pergi ke Celcom tetapi beliau balik dengan maklumat Celcom tidak menyimpan maklumat itu," katanya.

Sebelum ini suruhanjaya dimaklumkan telefon bimbit milik enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengandungi maklumat pada 15, 16 dan 17 Julai 2009, malahan sebarang maklumat dalam telefon bimbit Teoh juga gagal diperoleh.

Selain itu, Mohd Norizal, yang merupakan saksi ke-40 suruhanjaya, menjelaskan pihaknya menyediakan 'back up' selama setahun dan hanya merekod masa, tarikh serta nombor telefon penghantar dan penerima tetapi tidak menyimpan isi kandungan SMS.

"Kandungan SMS itu hanya akan diperolehi sekiranya SIM CARD itu dibuka melalui telefon lain," katanya ketika disoal peguam S.Sivaneindiren dari Majlis Peguam.

Turut hadir memberi keterangan, Pengurus Bahagian Operasi Pra-Bayar, Mohd Syahrizal Salllehudin, yang juga saksi ke-41 dan Eksekutif Celcom Norazlina Ahmad dan juga saksi ke-42.

Sementara itu, Penolong Kanan SPRM Putrajaya, Mohamad Azhar Abang Mentari, memberitahu suruhanjaya itu beliau menganggap berita kematian Teoh yang diterima daripada Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd Fauzi Shadoollah, adalah satu gurauan kerana mereka sering bergurau.

Ketika disoal peguam Choew Wee dari Majlis Peguam adakah Mohamad Azhar ada menghubungi sesiapa untuk mendapatkan pengesahan tentang perkara tersebut, Mohamad Azhar berkata: "Saya ada menelefon pegawai perisikan SPRM Hafiz Izhar Idris.

Selain itu, saksi ke-44 suruhanjaya, Mohd Fauzi Maslan berkata beliau tidak mengingati akhbar atau laman web yang dibaca berhubung kematian Teoh.

Sementara itu, penolong penguasa SPRM Selangor, Effezul Azran Abd Maulop memberitahu suruhanjaya beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail mengenai kematian Teoh pada pukul 2 petang, 16 Julai 2009.

"Ketika saya duduk di sofa di hadapan bilik saya di pejabat SPRM, tingkat 14, Mohd Anuar datang dan mengajak saya turun ke tingkat 5, bangunan Plaza Masalam tetapi tidak dimaklumkan tujuan turun ke tempat itu.

"Saya nampak Mohd Anuar jenguk ke tingkap dan berbincang sesuatu dengan pengawal keselamatan dan pada waktu itu saya nampak sekujur tubuh di koridor tingkat 5, bangunan itu. Mohd Anuar kemudian memaklumkan kepada saya mayat itu adalah saksi beliau," katanya ketika disoal Choew Wee.

Effezul Azran, yang merupakan saksi ke-45, turut menafikan beliau menggunakan kekerasan ke atas Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah.

Teoh, 30, Setiausaha Politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Akta baru beri kuasa penguatkuasaan pada Jakim

Posted: 25 Apr 2011 02:51 AM PDT

Undang-undang baru yang digubal untuk memperkemaskan lagi industri halal negara akan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menguatkuasa penggunaan dan pengeluaran logo halal di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata undang-undang itu sedang dalam proses penggubalan oleh Penasihat Undang-undang Jakim dan Pejabat Peguam Negara.

"Akta itu akan meliputi tindakan undang-undang dan penguatkuasaan kerana dulu tidak boleh ambil tindakan kepada mana-mana individu, syarikat swasta atau mana-mana syarikat luar yang mengeluarkan sijil kerana peruntukannya tidak diperkemaskan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau menjangka urusan mengenai akta itu dapat diselesaikan di peringkatJakim pada tahun ini juga tetapi akan mengambil tempoh tertentu sebelum dibentang di Parlimen.

Jamil Khir juga berharap kesemua sekolah tahfiz di negara ini berdaftar dengan Jakim supaya sijil pelajar akan diiktiraf seperti peperiksaan awam lain sekaligus menjamin masa depan pelajar.

"Kalau ada persetujuan di peringkat negeri, baru boleh daftar. Kita nak sekolah agama ini jaga pelajar dan kita nak supaya sijil-sijil mereka diluluskan untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan amanat sempena pelantikan Ketua Pengarah baru Jakim, Othman Mustapha, berkuatkuasa semalam yang menggantikan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang bersara wajib.

--Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan