Jumaat, 29 April 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan tangkis tanggapan Islam sekat kepemimpinan wanita

Posted: 29 Apr 2011 01:57 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa komited dan memberi keutamaan kepada program kepimpinan dan pengupayaan wanita sebagai langkah untuk menangkis perspektif negatif kononnya Islam tidak menggalakkan wanita menjadi pemimpin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ia adalah satu persepsi yang tidak tepat kerana Islam meletakkan wanita di tempat yang mulia dan mengupayakan wanita untuk berjaya di dunia dan akhirat.

"Banyak pihak yang menggunakan agama untuk mematahkan semangat wanita. Jangan biarkan sesiapa yang nak patahkan semangat kita sebagai wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Dari Perspektif Islam di sini hari ini. Shahrizat berkata, Islam tidak sesekali mengehadkan kepentingan kaum wanita, malah, ia menggalakkan wanita yang layak dan berkebolehan untuk mengambil tempat sewajarnya.

"Cuma interpretasi yang berasaskan budaya dan sikap yang negatif itulah yang menjadi batu penghalang, sama ada dari wanita sendiri ataupun dari kaum bapa.

"Kalau seorang wanita itu hidup bersama-sama kaum bapa mahupun kaum lain yang memberikan interpretasi yang positif dan mengikut semangat dalam Islam, maka kehidupannya akan berupaya, begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, kementerian menerusi agensinya, NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW), akan turun memberi semangat kepada wanita yang mempunyai kelayakan dan juga untuk menghadapi pelbagai cabaran.
"Wanita itu mesti mempunyai keyakinan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menghalang mereka (untuk berjaya) kalau mereka mempunyai kebolehan, (tetapi) kalau semangat mereka lemah, mereka tidak akan diberi tempat sewajarnya dan ini akan mengganggu-gugat pertumbuhan negara," katanya.

Seminar sehari anjuran NIEW dan Sekretariat Pemerkasaan dan Pembelaan Wanita Islam (Senada) itu bertujuan membetulkan salah tanggapan kononnya Islam tidak menggalakkan wanita menjadi pemimpin selain bagi membuka minda, sekali gus membolehkan lebih ramai lagi wanita menduduki tampuk kepimpinan tertinggi negara di sektor awam dan swasta.

Seramai 300 orang peserta daripada pegawai kerajaan, anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik dan ahli akademik menghadiri seminar itu. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Had umur persaraan sektor swasta mungkin dilanjutkan

Posted: 29 Apr 2011 01:53 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Had umur persaraan bagi sektor swasta mungkin dilanjutkan kepada 58 tahun selaras dengan umur persaraan sektor awam, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan mengambil masa sebelum dimuktamadkan.

"Kita dalam proses mengadakan perbincangan dengan semua 'stakeholder' untuk mencari satu jalan...suatu umur yang ditetapkan bagi sektor swasta. "Tujuan kita membenarkan mereka bekerja lebih lama (dari umur bersara pada 55 tahun sekarang) kerana mereka masih mempunyai keupayaan dan boleh menyumbang kepada produktiviti (syarikat masing-masing)," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk mengekalkan modal insan dan meningkatkan produktiviti.

Subramaniam berkata, kerajaan juga sedang mengkaji memperluaskan skim perlindungan sosial bagi menjaga kebajikan pekerja terutamanya jika diberhentikan kerja atau syarikat tempat mereka bekerja gulung tikar.

"Kita sudah pun memulakan perbincangan membabitkan kerajaan dan 'stakeholder' bagaimana untuk mewujudkan satu sistem atau dana kepada pekerja yang diberhentikan tanpa apa-apa arahan dan bukan disebabkan atas pilihan mereka.
"Skim ini diharap dapat membantu meringankan beban kerana mereka tidak bersedia berdepan dengan masalah sedemikian," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk menjaga kebajikan pekerja dan penggubalan terhadap Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Kebangsaan adalah antara langkah ke arah itu.

Katanya, dengan penggubalan akta itu, kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar gaji minimum berpatutan kepada pekerja kerana terdapat sektor yang gaji minimumnya masih rendah.

"Perkara-perkara ini diberikan tumpuan besar oleh kerajaan sebagai langkah untuk menjaga kebajikan tenaga pekerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata sambutan Hari Pekerja akan diadakan pada 7 Mei ini di Bukit Jalil dan akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, tema sambutan kali ini, ialah "Pekerja Merealisasi Transformasi Negara" yang mencerminkan pentingnya peranan warga pekerja dalam merealisasikan transformasi ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan