Malaysiakini :: Berita |
Viedeo seks: Polis sekongkol dengan BN, dakwa PKR Posted: 29 Apr 2011 12:44 AM PDT PKR mendakwa polis bersekongkol dengan BN berhubung sebuah video seks yang didakwa membabitkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan aksi seks dengan seorang pelacur. Pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pemimpin parti itu mendakwa polis bertanggungjawab menuduh Anwar sebagai pelaku dalam video seks berkenaan. Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau mendapat aduan seorang pegawai polis yang dikenali sebagai SAC1 Isa Abdul Rahman dari Bukit Aman telah memberi ceramah kepada guru-guru di beberapa sekolah di Kelantan sejak beberapa bulan lalu dan mencemarkan nama baik bapanya itu. "Saya diberitahu pegawai dari Bukit Aman itu memberitahu guru-guru di Kelantan bahawa Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara dan pelaku video itu adalah Anwar. Kita mengecam perbuatan ini dilakukan sendiri oleh pegawai tertinggi Bukit Aman," katanya. Rakan naib presiden PKR Tian Chua juga senada menuduh polis "menari mengikut rentak parti pemerintah". Katanya, beliau secara peribadi juga mendapat aduan bahawa pekerja parti berbangsa Melayu PKR telah diberikan 'nasihat mesra' daripada polis. "Pekerja pilihan raya kami telah dipanggil dan diberi ceramah oleh polis yang berkata Anwar adalah lelaki di dalam video itu dan mereka mempunyai maklumat dalaman. "Ini bukan kes terpencil. Ramai ahli kami yang berbangsa Melayu dijadikan sasaran untuk diberikan 'nasihat' bahawa Anwar adalah pelakunya. Kata-kata seumpama itu telah banyak dialami oleh ahli PKR," katanya. Sementara itu, TV Selangor melaporkan gambar Anwar yang dirakam pada 22 Febuari lalu, jelas membuktikan beliau bukan pelaku dalam video lucah Datuk T yang diambil sehari sebelumnya. Ketika membandingkan dua gambar itu pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rambut individu dalam klip video berkenaan lebih nipis jika dibandingkan dengan rambut Anwar yang lebih tebal. Gambar yang dicetak dari laman web TV Selangor itu menunjukkan rambut ketua pembangkang lebih tebal ketika hadir ke perbicaraannya pada 22 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. "Saya tidak tahu kalau rambut Datuk Seri Anwar tumbuh dengan cepat," katanya. Perbezaan dalam dua gambar itu mengukuhkan pendirian kepimpinan parti yang konsisten menyatakan bahawa Anwar difitnah oleh gadingan Datuk T dan juak-juak Umno untuk mendapat sokongan pengundi Melayu. Datuk T merangkumi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim. Mereka menayangkan video itu pada 21 Mac kepada wartawan dan ahli politik terpilih, dengan mendakwa Anwar adalah pelaku dalamnya. Gandingan itu kemudian mengugut untuk menyebarkan video itu jika Anwar dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak berundur dari politik. Anwar membuat laporan polis terhadap Datuk T manakala Angkatan Muda Keadilan membuat pertuduhan qazaf terhadap tiga individu itu yang mempunyai kaitan dengan Umno. Nik Nazmi berkata penyebaran video itu menerusi Internet dan risalah berbentuk lucah adalah cubaan terdesak Umno-BN yang cuba menjatuhkan maruah Anwar dan keluarganya. |
Mat Sabu tunda pelancaran kelab penyokong di FB Posted: 29 Apr 2011 12:35 AM PDT Bimbang dengan reaksi negatif para perwakilan dalam pemilihan PAS, seorang bakal calon timbalan presiden Mohamad Sabu bertindak menangguhkan satu majlis pelancaran akaun Facebook bagi satu kelab penyokongnya. Mohamad Sabu berkata, beliau bertindak demikian bagi "mengelakkan salah faham" dan juga "mengekang budaya yang dilihat tidak sihat atau tidak boleh diterima oleh ahli PAS." "Saya berhasrat supaya program besar ini ditangguhkan sebab boleh dianggap sebagai bahan kempen kepada saya menjelang muktamar akan datang. "Sebagai parti Islam, kempen berlebihan akan dilihat negatif kepada parti dan jemaah," katanya ketika bercakap dalam satu sidang media hari ini. Tarikh baru bagi program yang dijadualkan pada 6 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan/ Selangor itu akan diputuskan selepas muktamar diadakan pada Jun, katanya. Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa beliau berniat untuk bertanding kali ini bagi membolehkan PAS menerima sokongan lebih luas dan bukan terhad kepada anggota parti sahaja. Raih sokongan lebih luas "(PAS) tidak akan kuat dan berjaya jika dapat sokongan daripada ahli semata-mata. Dia mesti dapat sokongan orang Islam luar PAS, orang bukan Islam, badan NGO dan sebagainya. "Saya nampak saya boleh sedikit memberi khidmat dalam membantu presiden dalam hal yang saya sebut itu," katanya yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu. Ketika ditanya, Mohamad menafikan bahawa PAS selama ini lemah dalam meraih sokongan daripada golongan luar daripada parti. "Tidak ada kelemahan cuma perlu dipertingkatkan sebab politik tahalluf atau pakatan ini masih macam agak baru kepada (PAS). "Walaupun kita telah buat pakatan dengan Semangat 46 sebelum ini, tapi dengan (parti) berbagai kaum ini agak baru, oleh itu kita perlu kembangkan lagi. "(Sebab) itu saya cuba beri khidmat. Kebetulan pergaulan saya dengan rakan-rakan ituagak luas terutama dengan orang-orang bukan Islam," katanya. Ditanya lanjut, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui berapakah jumlah pencalonan sebenar yang diterimanya setakat ini. "Ada yang kata 20 pencalonan, ada yang kata lebih 50. Saya tak tahu. "Setakat sekarang saya tidak mengambil keputusan untuk bertanding lagi. Hanya melihat perkembangan sehinggalah kepada 15 Mei akan datang, melihat jumlah pencalonan dan sokongan daripada kawan-kawan, itu yang kita perlu lihat," katanya lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Malaysiakini To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan